Kita Ada Masalah dengan Lambakan Mall di Lembah Klang dan Kita Harus Bercakap Tentangnya
oleh Johan Radzi

Kelmarin, saya mendapat tahu bahawa lagi sebelas mall akan ditegakkan di sekitar Lembah Klang oleh pemaju-pemaju lokal dan antarabangsa. Mall-mall ini, khabarnya, akan menjana ekonomi setempat, selain menyediakan seribu satu tawaran untuk warga kota yang semakin rencam dan kompleks. Sementara gagasan ini disambut mesra oleh beberapa pihak, saya tidak merasakan apa-apa kecuali satu kekhuatiran dan kegelisahan terhadap apa yang sedang menimpa kota tersayang kita ini.


Sebelum memulakan bicara, saya fikir molek jika saya tegaskan pendirian peribadi saya. Saya bukanlah seorang luddite; yang ingin membakar balai-balai kemajuan dan menyeru umat agar kita kembali kepada hutan, alam, dan gunung-ganang. Modernisasi telah terbukti menjadi ubat yang mustajab bagi banyak manusia selama tiga abad ini. Meskipun begitu, terdapat trend-trend yang membimbangkan sekiranya kita tidak berwaspada. Lambakan mall adalah salah satunya.

Seperti mana-mana anak kota, saya juga didewasakan dengan pengalaman berkunjung di mall. Kami menonton wayang di pawagam, membeli baju dan celana, bertemujanji dengan kekasih, memborong buku-buku dan komik-komik Jepun dan Amerika di mall. Sewaktu kecil, ibu sentiasa membawa saya beradik berjalan-jalan di Subang Parade dan Midvalley Megamall. Sebagai pusat beli-belah, infrastruktur ini bisa menyajikan beraneka tawaran buat orang-orang yang ingin berkunjung dan membeli di bawah satu bumbung yang sama. Tetapi mall – jika dileluasakan tak terkawal, akan menimbulkan problem-problem lain.  Apakah ia?

Beberapa tahun lalu, seorang lelaki backpacker mat salleh pernah beritahu saya bahawa KL adalah antara ‘kota yang terbanyak mall’ yang pernah disaksikannya sepanjang pengembaraan di Asia Tenggara. Dia memaklumkan kepada saya bahawa ini tidak normal buat tanahairnya nun jauh di Eropah – mereka lebih giat membudayakan muzium, pustaka, taman rekreasi, dan pusat sukan. Kemudian sepasang Amerika-Pinoy juga menyuarakan hal yang sama kepada kami (keluarga saya buka hostel backpacker di Bukit Bintang, jadi kami berpeluang untuk bertukar-tukar gagasan dengan banyak orang dari seantero dunia yang mampir). Seperti Manila, KL sedang terjerumus ke budaya mall yang hambar dan memiskinkan dompet. “Terlalu banyak mall, terlalu sedikit sekolah”, ujarnya berseloroh. Entah kenapa saya berasa sakit hati dengan sendaan lelaki tersebut.

Tetapi bukankah benar, mall memang sentiasa jadi keutamaan pemaju-pemaju dan perancang-perancang kota di Kuala Lumpur? Lihatlah berapa banyak mall yang ditegakkan dasawarsa ini – lengkap dengan papan iklan mereka yang berwarna-warni, rekabentuk yang menggugah, dengan jenama-jenama antarabangsa yang bikin kita cuak mendengarnya? Mall-mall yang dibina di KL terlalu banyak. Anda boleh berjalan pejam mata selama sepuluh minit dan perkara pertama dan terakhir yang anda tatap juga tetaplah seketul bangunan mall. Tuhan rahmati Malaysia dengan mall yang berjumlah-jumlah.

Ketika saya menyuarakan ketidakpuashatian diri pada gejala pertumbuhan mall di KL via medsos, saya mendapat ratusan tentangan daripada juak-juak pro-mall. Sebahagian besar daripada mereka pula hanyalah badut-badut twitter yang menyarung topeng devil’s advocate. Selain daripada hujah dangkal, mereka langsung tak ada apa-apa yang menarik untuk dilontarkan. Tapi ini sepatutnya juga tak memeranjatkan – capaian otak mereka yang singkat bandiwth itu tidak memadai untuk mereka cakna akan masalah yang ditimpa KL pada hari ini. Mungkin ini satu penyakit pasca moden untuk menjadi skeptikal dan bersinis dalam segala perkara. Di sini saya akan patahkan hujah-hujah rapuh mereka itu.

Satu alasan yang diberi  pro-mall adalah bahawa ia menyediakan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan. Dengan wujudnya mall – hujah mereka – anak-anak tempatan akan berpeluang untuk mengisi sector-sektor pekerjaan yang berlapis-lapis di mall. Saya rasa ini satu pengamatan yang aneh. Lihatlah pekerja-pekerja di mall sekitar anda – siapakah yang sebenarnya mengendalikan ayam goreng Shihlin kegemaran anda atau toko-toko solek yang anda giurkan di Instagram? Ya, warga asing. Di mana-mana mall di Lembah Klang juga begitu. Tetapi sekejap, mengapa mereka ada di sana? Betulkah di Malaysia kita kekurangan pekerjaan?

Realitinya, bukanlah Malaysia kekurangan pekerjaan, tetapi gaji-gaji yang ditawarkan di negara kita selalunya amat rendah untuk warga lokal. Tedapat banyak asbab yang menjuruskan kepada situasi ini (misalnya, pernahkah anda terfikir mengapa Kesatuan Buruh di negara kita agak kendur jika dibandingkan dengan negara-negara seberang?). Akhirnya, warga-warga imigranlah yang menyanggupi untuk bekerja dengan bayaran yang tidak setimpal ini. Mereka menjual kudrat dan membanting tulang denagn gaji leceh. Sudah tentu mereka susah untuk memilih – kondisi di negara asal juga tidak memihak. Malahan, itulah yang menjadikan mereka buruh imigran pada pangkal cerita.

Saya terfikir, jika mahu selesaikan masalah pekerjaan – mulakanlah dengan peningkatan gaji minima. Dengan ini, kantor-kantor dan gudang-gudang akan diisi oleh anak-anak tempatan yang rajin dan beriltizam. Majikan-majikan seringkali mendapat laba yang besar daripada jurang ekonomi serta eksploitasi pekerjaan. Jika hal ini dibuat, kita sudah tidak memerlukan lagi sebelas mall. Yang ada di Lembah Klang sudah memadai. Kedai-kedai dan toko-toko kita sudah memadai.

Alasan yang kedua terpacul dari mulut-mulut badut ini adalah orang-orang yang menginginkan mall diganti dengan sekolah, pustaka, kebun, taman, galeri, muzium, dan pusat sukan adalah poyo. Mereka akan bersyarah kepada anda tentang bagaimana pustaka-pustaka di KL ‘sepi’ kerana tidak dilawati oleh anak-anak muda kerana mereka lebih gemar berulangkaji di starbucks dan mekdi. Jika institusi awam yang sedia ada ini pun tidak dilawati, apa salahnya kita nak bina mall?

Ya, jika pustaka atau galeri kita tidak dilawati, apa solusinya? Bina lagi banyak mall. Bangang.

Punca kekurangan orang lawat pustaka dan galeri kita juga banyak. Satu hal, pendidikan seni di sekolah-sekolah kita tidak merangkum. Kita jarang benar diajar untuk menilai aestetika – kerana di sekolah, kita lebih didesak untuk mengejar markah-markah tinggi atas kertas peperiksaan. Kita tidak diajar bagaimana untuk menghayati karya dan melawati pameran. Selain itu, beberapa pustaka juga terletak jauh daripada awam. Jika kita lihat Shah Alam misalnya, pustaka awam yang terdekat terletak jauh di padang golf di seksyen 13. Untuk sampai di sana anda harus menaiki kereta, meredahi sedikit jalan raya yang macet, menyusuri sebatang jalan yang sepi di pinggir padang, sebelum bertarung pula untuk berebut tapak parkir di halaman librari. Poin bonus: tidak ada pengangkutan awam yang efisien untuk menghantar anda ke sini. Selamat datang ke utopia Tun Mahathir – anda hanya perlu beli kereta dan 90% masalah harian anda akan selesai.

Secara peribadi saya tidak tahu jin apa yang bertandang di kepala perancang-perancang saat mereka menyisihkan institusi-institusi awam ini di pinggiran kota. Siapakah yang mendapat manfaat daripada pustaka yang disimpan jauh di sudut rimba? Bukankah lagi molek kiranya ia diletak berhampiran rumah-rumah kejiranan, universiti-universiti awam, dan orang banyak? Bukankah anak-anak mahasiswa inilah yang sepatutnya akan meriuhkan kakilima-kakilima bangunan ini? Lantas, untuk apa lagi dijauhkan? Saya dimaklumkan oleh teman yang sudah lama menetap di Shah Alam bahawa asalnya pustaka memang diletak di dekat pusat bandar, tapi kemudian ia dialihkan – atas kebijaksanaan yang bagaimana saya masih belum mengerti.

Atau lihat juga Perpustakaan Negara yang… saya tidak sampai hati untuk bercakap tentang Perpustakaan Negara. Cara akses yang susah, halaman yang hambar dan sepi, seperti dikendalikan takat laih saja. Saya tidak menyalahkan masyarakat jika mereka tidak merapati instutsi awam seperti pustaka dan galeri, sebaliknya penjaga infrastruktur inilah yang cuba untuk mengakrabkan diri dengan umum. Pustaka dan galeri khususnya menyandang tanggungjawab yang besar untuk melestarikan seni dan susastera tanahair. Tetapi ia tidak berakhir di situ.

Kepentingan pustaka awam ditulis oleh Eric Klenenberg, dalam satu esei yang cemerlang berjudul Worry Less About Crumbling Roads, More About Crumbling Libraries yang disiarkan dalam portal akhbar The Atlantic. Menurut hemat beliau:

Bertahun-tahun saya mengamati bagaimana ruang kongsian boleh membentuk interaksi kita. Satu tempat yang seringkali mengangkat ideal moden tolak ansur dan pencerahan adalah pustaka-pustaka lokal. Pustaka bukanlah institusi yang selalu meniti di bibir-bibir sarjana sosial, pembikin dasar, dan penghulu-penghulu komuniti untuk bersembang tentang cara-cara melonjakkan kapital sosial. Tapi ia tetap sejenis bentuk infrasturktur yang paling kritikal, yang paling mustahak tetapi dipandang enteng oleh masyarakat secara umum.

Sama ada pustaka-pustaka yang saya lawati di pinggir kota di Palo Ato, California, kota-kota seperti Austin, Texas, atau pecan kecil seperti Suffern, New York, saya sering menyaksikan satu masyarakat yang majmuk dan berbagai; baik dari sudut umur, kaum, dan etnik, lapisan-lapisan sosial, dan kecenderungan politik. Mereka pun sedar akan satu sama lain dan mereka tidak ada pilihan melainkan untuk sama-sama bergaul dan berhadapan dengan masalah-masalah kecil yang dikongsi bersama: menanti giliran untuk mengguna komputer, bagaimana untuk melayan karenah patron yang degil atau tidak sihat mentalnya, apa yang harus dibuat untuk masalah kekurangan bilik air, dll. Meluangkan waktu di dalam infrastuktur-infrastruktur seperti ini menuntut kita untuk mempelajari perbezaaan-perbezaan kita dalam cara yang beradab dan madani.

Hujah ketiga dan paling jahil yang terpacul dari mulut mereka adalah bahawa mall dibina atas wang-wang pelabur dan korporat, maka siapa kau untuk berbuat bising? Jika kau tidak suka mall, kau jangan melangkah masuk mall. Gampang.

Inilah hujah yang paling mencolok mata. Kekadang ia boleh terpacul daripada mulut-mulut orang yang paling senang menyangka dirinya intelijensia. Tetapi ambillah buah keras ini: sampai berapa ratus mall lagikah yang kita harus bina di Kuala Lumpur ini untuk menginsafkan kita bahawa ruang awam kita adalah ruang yang dikongsi bersama, dan bukannya milik kuasawan-kuasawan dan saudagar-saudagar atasan yang langsung tak pedulikan apa-apa kecuali fulus dan nama?

Kita sedang bercakap tentang KL; ibukota yang mengorbankan satu sekolah perempuan yang bersejarah semata-mata untuk didirikan Pavilion. Kita menggadaikan Penjara Pudu yang ikonik dan kaya warisan sejarah (dengan lukisan muralnya yang terpanjang itu), lalu di tapaknya kita bina satu pejabat buruk entah apa yang mengkayakan kroni-kroni keparat. Kita ranapkan kampung-kampung dan desa-desa di Bukit Pantai dan dibangunkan pejabat-pejabat dan mall-mall yang lebih memanfaatkan expat-expat luar negeri ketimbang anak sendiri. Bahkan di tempat-tempat lain bukit digondol, rimba ditebang, dan desa-desa diratakan untuk tujuan-tujuan komersial yang langsung tidak memihak orang kebanyakan. Ya, memang itu semua duit pelabur (apa kita marhaen boleh bikin?) tapi kota kita tetap ada jiwa untuk dibela. Identiti kota kita inilah yang perlahan-lahan menuju ajal dengan konstruksi-konstukrsi gentrifikasinya.


Inilah ruang-ruang awam kita yang dicerobohi oleh orang-orang yang berkuasa, dan mereka isikan ruang kita dengan budaya konsumerisme yang tidak berkesudahan. Segalanya tentang wang, wang, dan konsumsi tak berpenghujung. Seolah-olah kita perlukan benar jenama-jenama besar dan antarabangsa ini untuk kelangsungan hidup. Dengan jenama-jenama dan toko-toko yang diperagakan secara ulangan, konsumerisme sedang perlahan-lahan menyerap masuk ke dalam lingkungan hidup. Lalu, amat payah bagi kita untuk tidak menilai diri kita sebatas apa yang kita beli dan busana apa yang kita sarungkan. Sesetengah barangkali akan pergi lebih jauh lagi dengan menyelar ini sebagai neo-kolonialisme. Tentu, ia tidak mustahil.

KL dan kawasan lebarannya, Lembah Klang adalah milik warga marhaen. Saya berdiri atas keyakinan itu. Sebelas mall yang bertumbuhan di wilayah kita ini bukanlah apa-apa yang mustajab, melainkan satu penjarahan brutal ke atas realiti tanah kita yang semakin sempit dek pembangunan melulu. Semakin hari seinci demi seinci ruang kita dijajahi dengan wajah-wajah konsumerisme yang menghisap. Setiap kali anda berjalan kaki di pedestrian Bukit Bintang, atau melawati puing Penjara Pudu, atau menuruni gerabak LRT sambil menyendiri di terowong, atau menatap KLCC yang bercahaya pada sebelah senja, tanyalah dirimu: milik siapakah KL yang berdiri dan nyata di hadapanku ini? Adakah ia milik kita – anak-anak marhaen yang bekerja, berbanting tulang, bersosial dan berinteraksi di ruang yang dikongsi bersama ini; atau ia milik kuasawan-kuasawan elit di puncak menara Babel mereka, sambil ketawa melanggarkan gelas-gelas martini, dan memperkotak-katikkan mimpi-mimpi?

Johan Radzi

Penulis Tinju & Peluru terbitan Roman Buku

5 thoughts on “Kita Ada Masalah dengan Lambakan Mall di Lembah Klang dan Kita Harus Bercakap Tentangnya
oleh Johan Radzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *