Menulis Cerpen
oleh Regina Ibrahim

For most of my creative writing life, I’ve tried to write novels. Novels are the pinnacle of fiction writing in the same way oil painting is the pinnacle of art. I thought that if I was going to be a writer, I didn’t have a choice but to write novels,” Joe Bunting penulis Let’s Start Writing Short Stories.

Ini bukanlah artikel tentang teknik teknik istimewa bagaimana, panduan atau tips. Menulis tentang apa sekalipun kita disaran untuk menulis dengan jelas, terang, bulat dan difahami. Lebih bagus kalau disukai mampu dinikmati oleh pembaca. Menulis, kalau bukan untuk pembaca untuk siapa lagi?

Atas nama penulisan kreatif, ingin sekali lagi dijelaskan bahawa tidak ada PANDUAN atau HOW TO… yang hakiki. Kembali kepada ajaran guru guru bahasa di sekolah terdahulu apabila membuat karangan haruslah ada Pembukaan, Isi, Penutup. Sama sahaja. Cuma kali ini kita lebih dewasa berperasaan, berdaya kreatif dan sudah kaya kosa kata.

Para penulis mempunyai stail masing masing. Samada memikat atau tidak terpulanglah pada pembaca. Ada yang mahu bereksperimen, mencuba stail penceritaan baharu, mengugat perasaan pembaca dan paling utama mahu bercerita. Dewasa ini terdapat ramai penulis penulis yang aktif menulis cerpen. Cerpenlah sebenarnya medan yang paling tepat sebelum penulis melangkah ke novel. Jangan tidak tahu ada novel novel besar dikembangkan dari cerpen cerpen berjiwa yang mendapat sambutan. Karya awal Faizal Tehrani Cinta Hari hari Rusuhan antara contoh terdekat dinovelkan setelah dinasihati Pak Samad yang menyarankan dia mencari cerpen favurit untuk dikembangkan.

Berapa jumlah perkataan untuk cerpen? Terpulang. Boleh jadi 800 hingga 3000. Jadi jangan terlalu gusar tentang jumlah kata, peduli harus jatuh pada isi dan cerita yang mahu disampaikan. Dibahagi bahagikan mengikut Pembukaan, Perenggan yang memuatkan isi isi penting, dialog dialog mampan berasingan dan penutup yang bulat penuh atau penutup terbuka yang artistik.

Di zaman sastera moden ini, certot atau cerita ketot juga mendapat sambutan sebenarnya. Nikmat menulis certot bagaikan memasukkan inti sardin ke dalam karipap, supaya penuh dan digigit penuh nikmat. Certot juga membenarkan kamu untuk memilih ayat ayat yang besar, padu, bermakna sambil bereksperimen. Boleh berlucu lucu sinis, boleh berprosa seperti puisi atau sajak panjang. Tulis sahaja, jangan gusar, sunting sehingga jadi 100 – 200 perkataan. Ini adalah latihan kamu sebenarnya dalam penulisan. Latihan apa? Latihan untuk tidak meleweh lewah dengan kata kata penyambung, apitan, sendi dan ayat ayat panjang sedap tetapi tidak membawa bermakna.

Ada penulis penulis muda yang berpandukan pada teknik penulis veteran favurit mereka seperti Edgar Karet, Murukami, Wan Nor Azriq dan lain lain. Medan itu kemudiannya digunakan untuk luahan luahan cerita yang terkait luahan berperisa lokal. Proses peniruan/panduan ini terjadi sehingga penulis benar benar bertemu stail peribadi yang unik dan menarik.

“Kita membontoti langkah ketua pilihan, sepanjang jalan mencium flora dan fauna yang mungkin memberi inspirasi baharu untuk menyimpang ke destinasi yang jauh lebih baik,”

Di kesempatan kali ini saya ingin berkongsi resepi peribadi saya sebagai tukang cerita.

  1. Mulakan dengan mencatat cerita utama di nota. Tanpa cerita cerpen tidak akan bergerak.

Contoh: Kisah janda anak 2 yang mahu memulakan hidup baru. Saya mula berkhayalan tentang namanya, kisah lalunya, rupa dan bentuk fizikal, cabaran yang harus dilaluinya. Dirangka kasar (Janda – anak 2 – gemok perlu kurus – bekerja – menjadi isteri kedua – sebab sebab – kenapa jadi janda – godaan lelaki sedia ada – bertemu anak teruna – konflik – reka hinaan hinaan – tamat dengan bahagia)

  1. Taip sahaja apa yang telintas di kepala. Masukkan elemen elemen yang dirasakan sesuai. Editan/tokok boleh berlaku kemudian. Proses editan peribadi adalah satu proses yang nikmat, baik pulih ejaan, menggunakan istilah yang tepat dan suntikan kosa kata baharu yang menangkap (sedang IN), semua akan berlaku apabila melakukan editan peribadi.
  2. Sama seperti penulisan lain, apa sahaja informasi paling tidak harus tepat. Boleh dicari melalui google, diubah sedikit namanya, apabila dibaca berbunyi lebih realistik, meskipun fiksyen.
  3. Hal hal tradisi atau adat yang mahu dikongsikan? Antara subjek yang saya suka, bagi saya ini akan mencantikkan lagi penceritaan tanpa perlu berlebih lebih. Hal ini tergantung pada latar belakang penulis. Dalam novel mungkin kamu mampu berelaborasi.
  4. Lokasi, usia dan jantina penting. Agar mudah digambarkan gerak watak dalam cerpen. Dialek dialek tempatan, satu dua juga boleh digunakan dalam tanda kutip. Begitu juga dengan kerjaya dan rupa paras yang boleh mewakili pengkisahan. Semua disebut secara sipi sipi sahaja. Lainlah kalau semua butiran butiran tersebut menjadi fokus utama cerita.
  5. Resah atau konflik digambarkan sepintas lalu namun jelas. Dalam cerpen tidak perlulah diulang ulang sikap watak. Ada waktunya cukup dengan sekali penerangan sahaja, meskipun sikap tersebut di bawa ke hujung cerita. Durasi bacaan yang pendek membuatkan pembaca ingat.

Di atas hanyalah resepi peribadi. Kamu mungkin ada cara yang lebih progresif. Apa yang jelas, penulisan cerpen harus diterokai sekiranya kamu berminat untuk menulis lebih jauh lagi. Ambil sahaja isu isu semasa, jadikan cerita, rangka jalan, fikirkan watak utama, POV, masukkan perasaan, ungkapkan dengan penuh dinamis maka jadilah cerpen.

Apa yang dimahukan dalam sebarang penceritaan adalah FLOW (aliran cerita), kesesuaian kosa kata dan rentetan kisah. Tanda tanda baca seperti tanda soal, seruan, koma, koma bertindih, tanda kutip “code uncode”, huruf condong, ejaan dan kesan titik sama sahaja aturannya dalam sebarang bentuk jenis penulisan.

Percayakah kamu bahawa CERITA YANG SAMA kalau diberikan pada beberapa penulis hasil kreatif akhir mereka tidak akan sama? Perbandingan itu hanya akan jadi milik/hak pembaca. Pembaca pula pelbagai ragam citarasanya. Jadi jelas, kamu sebagai penulis tidak perlu takut atau bimbang untuk menulis cerpen. Ianya lebih banyak membantu proses penulisan sebenarnya.

KESIMPULAN:

  1. Latihan penulisan:   cerpen adalah latihan asas, tempat untuk melihat kesalahan penulisan, ditegur, dibaik pulih sebelum kamu terjun ke arena yang lebih sukar yakni menulis novel.
  2. Jangan teragak agak untuk menulis: semua penulis mahu jadi yang terbaik. Apa salahnya memulakannya sekarang?
  3. Kamu ada cerita untuk diceritakan: Kamu sudah menyerap kejadian harian dari buku, media filem, suratkhabar, televisyen dan medsos. Kini tiba masanya kamu mahu berhenti menyerap dan mula menulis, menghulurkan cerita. Mana tahu dengan menulis cerpen kamu akan bertemu tujuan kehidupan, jawapan kenapa kamu hadir di dunia dan apakah langkah langkah seterusnya untuk kamu.
  4. Boleh memancing pihak penerbitan sedia ada: Berjaya mendapatkan terbitan untuk cerpen antara titik awal perkenalan dengan pelbagai penerbit, atau menjadi bukti dalam portfolio penulisan.

“Agents look to literary magazines to find talented emerging writers,”

  1. Semua penulis terbaik bermula dengan menulis cerpen antaranya  Stephen King, Ernest Hemingway dan Mark Twain

Berikut adalah contoh bagaimana rangka pada cerpen yang sedang diusahakan: *catatlah secara kasar dalam bahasa apa sekalipun.

  • Tersangkut di R and R (ada sebab dia tak bertudung) – pramugari tekankan moral palsu sedikit di sini.
  • Dari Sungai Petani untuk hadir ke temuduga dalam bus yang ambil masa 6 jam.
  • Bus tertinggal jumpa Nizam, merokok. Non-smoking kejadah? Sindiran pada penguasa R and R
  • Orang terlalu ramai. Urusetia tak nampak dia. Rasa kecil. Nizam pujuk. Nizam could be somebody. Masuk free semua naik lrt mrt pun free. Ciwi tengok kl…
  • Naik bus malam balik Sungai Petani pun free – reka harapan dan kesan romantik
  • Hantar sampai depan rumah
  • Orang uruskan mayat, siapa mati? Create tension/cemas
  • Rungutan ibu. Meraung. ibu tidak nampak Bus terbalik masuk gaung di changkat jering
  • Rush outside… Nizam no where to be found.

Melalui nota nota ringkas seperti di atas Penulis tidak akan membuang masa, malah kalau ditekuni ada pelbagai lagi idea kreatif akan muncul sewaktu menulis dan setelah siap draf pertama. Penulisan akan jadi lebih berkesan kalau disebut hal hal remeh yang ‘familiar’ dengan pembaca. Hal hal seperti cuaca, orang ramai, restoran sunyi, teh ais tidak sedap, bau makanan boleh diguna pakai bagi menimbulkan gambaran dalam cerita.

(Cerita penuh bertajuk Temuduga boleh dibaca di portal bukuroman)

Pengakuan: Saya bukan pakar yang hebat, namun garis pandu sebagai ibu ibu akan tetap ada untuk kamu. Anggaplah penerangan ini hanya sebagai garis pandu tambahan selain dari kelas kelas penulisan yang sudah kamu ikuti.

CERPEN: singkatan gabungan dua kata Cerita Pendek, paling tidak mempunyai isi cerita sebanyak 800 perkataan sehingga 3000 perkataan. Boleh lebih, namun ia akan menjadi novela. Certot yakni cerita ketot juga sedang digilai sekarang kerana ia lebih padat. Kumcer pula adalah kumpulan cerita pendek (antoloji solo atau berkumpulan).

Secara peribadi, ini adalah langkah awal untuk menjadi berani menulis novel. Dari sini kita akan melihat proses bercerita mencari plot, sub plot dan berkreatif dengan ungkapan ungkapan semasa, zaman lampau, bahasa daerah dan ekspresi ekspresi lain yang munasabah demi jalan cerita yang menarik.

Penceritaan yang melibatkan PEMBUKAAN, ISI dan PENUTUP sama sahaja dengan penulisan penulisan rencana pendek yang lain, cerpen memberi kamu kebebasan bercerita dan berekspresi sebaiknya. Oleh kerana ianya pendek, kamu awal awal lagi boleh memilih gaya bahasa yang pelbagai. Mahu bercerita secara ringan? Berat? Bahasa Kuno? Stail DBP terserah kamu. Seperti biasa, rangka dahulu cerita, watak utama dan watak watak lain di atas kertas kasar (mapping).

Bertolak dari kertas kasar tersebut kamu sudah memilih lokasi, bentuk berbual/dialog sekiranya ia penting. Tetapkan POV (point of view) awal awal samada aku atau gantinama gantinama yang kamu rasa selesa dan menarik. Terlalu banyak menggunakan POV1 juga tidak menarik juga…

  1. Aku bangun menuju ke dapur
  2. Fatimah bangun menuju ke dapur

Dua ayat di atas boleh disedapkan lagi dalam cerpen sama seperti novel. Rangka kejadian kejadian penting di atas kertas dan mula memindahkan semuanya menjadi cerpen yang lengkap dengan pembukaan, mengenalkan pada watak, kisah atau gelisah untuk dipanjangkan menjadi cerita. Tidak ada susunan wajib di sini, asalkan ceritanya masuk akal.

Nota: Hati hati sekiranya memilih POV aku. Kesilapan penulis awal adalah apabila aku diulang berkali kali dalam satu perenggan. Sebaiknya aku digantikan dengan ayat nyata atau perbuatan.

Contoh: Aku merenung wajah Nora lama. Aku sentuh dahinya, dia diam melihat aku kembali. Aku sedih kerana kami terpaksa berpisah. Sebaiknya: Aku merenung wajah Nora seketika. Tangan kuangkat menyentuh dahinya, diam… matanya melihatku. Sedihnya saat kami harus berpisah.

Seperti biasa kreativiti membolehkan kamu menyentuh hal hal semasa atau adat lama, disentuh secara mendalam atau sipi sipi terpulang pada jalan cerita kamu. Gaya bahasa juga adalah kebebasan. Kamu mungkin suka pada gaya gaya sastera dan ayat ayat besar, gunakan kalau rasa mampu. Apa yang penting di sini adalah gaya bahasa tersebut harus memikat, jangan sampai mebuatkan pembaca merasa bosan dan memaksa diri untuk memahaminya.

Cerpen cerpen alaf baru lebih bersifat terus ke maklumat, tidak lagi berselindung dengan kiasan kiasan melewah tidak menentu.

CONTOH: Cerpen PENYANYI KOTAI yang telah disiarkan oleh laman CUKARIA (sila rujuk cerpen tersebut di laman CUKARIA melalui facebook).

  1. Pembukaan sengaja memperkenalkan watak gadis india bernama Maria. Diselitkan tentang dirinya yang habis sekolah. Suasana sosial membesar di estet getah. Secara santai digambarkan bagaimana Maria melihat kehidupan. Sipi sipi sahaja digambarkan dia mahu bekerja tetapi tidak tahu kerja apa…
  2. Bercerita tentang watak utama menemukan KOTAI. Dia tidak tahu, pembaca juga tidak tahu. Ini ruang untuk penerangan budaya. Dialog dialog yang sengaja dipelatkan, bagi tujuan gambaran watak Maria dan tauke KOTAI.
  3. Unsur unsur mistik dan seram dimasukkan perlahan di pertengahan cerita. Direka secara realistik melalui watak penyanyi kotai yang sudah berusia dan kekeliruan mata penglihatan Maria di sini. Dikongsikan juga fungsi mata YIN mengikut mitos orang Cina. Rekaan seram haruslah ada kaitan dengan kehidupan Maria… disebut tentang penonton yang nenek nenek bersiap rapi, roh roh berwajah buruk dan berwajah tenang.
  4. Dialog dialog yang berada dalam “…………..” code tanda kutip boleh dikreatifkan sebaik mungkin. Ini semua sebenarnya tergantung pada kekayaan kamu setelah memerhati hal hal sekeliling. Awas! Sebarang ungkapan dan pemilihan kata di luar code uncode haruslah menuruti tata bahasa yang piawai. Dialog dialog membenarkan kamu menggunakan bahasa daerah. Dalam kes cerpen Penyanyi Kotai, saya memilih kata kata Hokkien, Mandarin dan pelat (kerana itu pengalaman peribadi saya).
  5. Cerita diteruskan lagi agar menjadi lebih menarik. Tawaran syarikat Tv. Gangguan di hotel penginapan. Tidak perlu terlalu gah, cukup untuk memberikan aliran kisah.
  6. Penutup sebenarnya hanyalah mahu bercerita tentang roh roh yang dahagakan hiburan, mereka kecewa takut kalau kalau Maria akan berhenti menghibur. Di sini saya memilih untuk memerli sifat orang dalam dunia hiburan apabila berurusan dengan PEMINAT. Rasa rendah diri, rasa tanggung jawab dan kiraan yang rapi sewaktu bercerita. Pengurus bercakap Mandarin, tok bomoh yang tenang, Maria yang nampak roh roh dan kesudiannya untuk terus menghibur.
  7. Jadi dari awal pembukaan sehinggalah penamat, cerpen akan menjadi padat dan ada isi untuk dibaca, dipelajari, diteladani (kalau boleh) oleh pembaca. Pembaca tidak akan merasa rugi kerana merasakan ianya sesuatu yang baru dan segar.

Jelasnya setiap perenggan tidak disia siakan, harus saling berkait. Pantas informasinya kerana ia adalah cerita pendek. Lebih baik kalau penamat akan menggemparkan dan tidak disangka sangka. Inilah masanya penulis boleh berkhayal menjadi orang lain dan membantu watak untuk berekspresi. Kamu tetap kekal sebagai penglipur lara.

Kita tidak mahu penulis bersifat satu dimensi. Baca satu cerpen, seolah olah kita sudah membaca semua penulisan beliau. Cuba hayati watak sebaik mungkin. Ceritakan sifat watak, tidak kira antagonis atau protagonis, fizikal, bau badan, cara berbual…ianya lebih enak dibaca.

Contoh: Sebelum mengenakan solekan pagi itu Fauziah mengorek hidungnya. Terkejut apabila disapa oleh sepupunya yang berada di luar bilik. Segan kalau dilihat nanti, apa kata orang? Orang cantik korek hidung. Rambutnya yang ikal diikat tocang kuda, dia sudah menetapkan hati mahu memakai baju kurung biru kegemaran. Siap semua, dia melihat lagi tubuh 5 kaki 4 inci di cermin, berpusing kiri dan kanan dua tiga kali. Fauziah memang jenis yang mementingkan imej penampilan diri. Hidungnya dihalakan ke ketiak kanan dan kiri…

“Patutlah…sib baik tak lupa,” dia berbisik dalam hati, serta merta mencapai minyak wangi

Teknik perbualan demi perbualan juga boleh menjadi cerpen. Melalu pebualan kisah dan rasa boleh diringkaskan. Suka, Lucu, Marah atau kecewa boleh digambarkan di situ, tetapi ianya haruslah menarik dan paling penting jadi dekat atau menarik minat pembaca.

Apa yang paling penting adalah hal hal di bawah:

  1. Penguasaan bahasa
  2. Cerita apa yang mahu disampaikan?
  3. Watak watak mudah yang tidak bersimpang siur
  4. Falsafah cerita kamu itu apa dia?
  5. Jalan dan hubung kait watak watak supaya ada pertembungan rasa manusia
  6. Kepekaan kamu pada budaya semasa atau budaya lampau bagaimana?
  7. Penutup juga bebas. Kamu boleh membiarkan pembaca berfikir sendiri, memberi mereka kesimpulan dari perspektif penulis atau mebiarkan mereka merangka sendiri bentuk moral yang mahu kamu kongsikan. Pokoknya ada penutup yang baik dan konkrit.

Cerpen alaf baru berfungsi sebagai wadah ledakan perasaan, omelan pada sistem hidup sedia ada dan tidak semestinya berpaksi pada protagonis atau antagonis. Kerana ianya pendek, ia harus padat dan memikat sepanjang waktu. Semak kembali perenggan perenggan samada kamu mengulangi penerangan yang sama. Cerpen juga adalah proses penjimatan waktu bercerita dan bersifat ringkas.

Bagi yang tercari cari antoloji cerpen yang memikat bolehlah membaca tulisan Anas Mohd, Johan Radzi, Fazleena Hishamuddin, Syafiq Ghazali  dan beberapa penulis muda lain di Penerbitan Romanbuku.

Secara peribadi cerpen yang baik sudah tentu mempunyai cerita menyeluruh yang baik, berbudaya, asli, menyentuh secara tidak langsung hal hal biasa/tidak biasa manusia dan ada waktunya membangkitkan rasa yang tidak pernah difikirkan oleh pembaca, mengingatkan semula atau mungkin sahaja memberi impak baru.

Contoh: Dia harus pulang ke kampung. “Weilah… lamo tok kelih, demo hile gi manno?” sapa Mustafa sewaktu bertembung di pekan. (jadi di sini perkataan Kelantan atau lokasi tidak perlu diungkapkan langsung).

 

SELAMAT MENCUBA… DAN SELAMAT MENULIS.

Regina Ibrahim

Regina Ibrahim sudah menghasilkan antoloji Cerpen bersama fixi . Ia telah digunakan sebagai kajian di universiti tempatan . https://www.slideshare.net/FARAMAL/cerpen-regina-ibrahim Beberapa karyanya boleh dibaca di laman  media sosial CUKARIA, beliau suka menyentuh isu manusia dan bercerita secara terus terang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *