1984, Sebuah Terjemahan Kasar
George Orwell

Jam tigabelas, pada satu April yang cerah dan dingin. Winston Smith, dagu dirapat ke dada untuk berlindung dari angin yang mencucuk, cepat-cepat menyelit melalui pintu kaca flat Victory, tapi tak cukup pantas untuk mengelak pusar debu pasir yang menurutinya.

Bau kobis dan tikar usang menyelubungi koridor. Di hujungnya, di dinding, sebuah poster berwarna tertampal. Ia terlalu besar sebenarnya untuk dipamerkan di dalam. Poster itu memaparkan satu wajah gergasi lebih semeter lebar: seorang lelaki kira-kira 45 tahun, berkumis lebat; garang, tapi kacak. Winston melangkah ke tangga. Tak guna mencuba lif bangunan itu; jarang sangat ia berfungsi, lagipun elektrik sedang dicatu pada waktu siang. Ini sebahagian daripada persediaan kempen berjimat cermat Minggu Membenci. Bangunan ini tujuh tingkat, dan Winston, tiga puluh sembilan dan mengidap ulser varises di pergelangan kaki kanannya, memanjat perlahan-lahan, dan sekali-sekala berhenti mengambil nafas. Di tiap landing, bertentangan lif, poster dengan wajah gergasi tadi memerhati. Poster tersebut dibikin supaya matanya seakan menuruti pergerakkan kita: ABANG BESAR SEDANG MEMERHATI KAMU tertulis di bawahnya.

Di dalam flat itu kedengaran satu suara tegas membaca senarai angka yang berkaitan dengan pengeluaran besi jongkong. Suara itu datang dari plaq besi oblong seakan cermin kabur yang membentuk sebahagian daripada permukaan dinding di sebelah kanan. Winston menghidupkan suis, dan suara itu sedikit tenggelam, meski butir kata-katanya masih jelas. Peralatan itu dipanggil teleskrin dan ia boleh diperlahankan, tapi tiada cara untuk mematikannya terus. Winston melangkah ke jendela; kelihatan tubuhnya yang kecil dan lemah. Seragam biru yang dikenakan, yang merupakan seragam Parti, tambah menyerlahkan betapa kurusnya beliau. Rambutnya cerah, wajahnya kemerahan dan kulitnya kasar: kombinasi kesan sabun, pisau cukur tumpul dan kesejukkan musim dingin yang baru berakhir.

Di luar, meski melalui cermin tingkap yang ditutup, dunia nampak sejuk. Di jalanan, olak-alik angin memusar debu dan perca kertas, dan meski matahari bersinar dan langit biru, seakan tiada warna wujud, kecuali pada poster yang tertampal merata-rata. Wajah berkumis poster-poster itu memerhati dari tiap sudut. Dari hadapan rumah bertentangan ia berkata ABANG BESAR SEDANG MEMERHATI KAMU. Matanya yang cengkungelap menerobos mata Winston. Di satu sudut lain, satu lagi poster kelihatan, terkoyak di satu sudut, dan berayunan dek angin, melindung dan mendedah satu perkataan: INGSOC. Di kejauhan, sebuah helikopter melayap antara atap, terapung buat seketika seperti seekor lalat, lalu melencong menjauh: rondaan polis, mengintip rakyat melalui jendela mereka. Ia boleh diabaikan sebenarnya. Yang lebih merbahaya adalah Polis Fikiran.

Di belakang Winston suara dari teleskrin masih membebel tentang jongkong besi dan pencapaian lebih hasil Rancangan Tiga Tahun ke-Sembilan. Teleskrin itu menangkap dan memancar di waktu yang sama. Apa-apa bunyi yang Winston bikin, kecuali bisikan yang terlalu perlahan, akan dirakam dan selagi dia kekal dalam liputan penglihatan teleskrin itu, dia boleh didengar dan dilihat. Tidak petanda yang kita diperhati atau tidak. Berapa kerap, atau melalui sistem apa Polis Fikiran mengawasi tidak diketahui. Barangkali mereka mengawai semua orang di sepanjang masa. Apapun, bila-bila masa saja, mereka boleh menyusup masuk jika mereka mahu. Tabiat sudah menjadi naluri; menjalani hidup dengan andaian tiap bunyi yang dibikin sedang didengar, dan kecuali di dalam gelap, tiap gerakan diteliti.

Winston memalingkan badan dari teleskrin. Lebih selamat begitu, meski dia tahu belakang badan juga mempunyai rahsianya tersendiri. Satu kilometer dari situ, Kementerian Kebenaran, tempat dia bekerja, tinggi membayangi lanskap kotor-bolor rumahnya itu. Ini, fikir dirinya, dengan sedikit rasa mual, adalah London, bandar perdana Airstrip One, yang merupakan daerah ketiga paling padat penduduk di Oceania. Dia cuba mengingati zaman kanak-kanaknya: apakah London memang dari dahulu begini? Apakah vista rumah-rumah kurun kesembilanbelas yang sedang mereput, dengan dinding ditambak dengan balak, tingkap ditampal manila kad, atap yang berkarat, dan pagar laman yang melayut ke semua arah adalah sesuatu yang lazim sepanjang kehidupannya? Dia terus meniliti tapak-tapak bekas bom melihat debu-debu plastik berpusar di udara dan herba willow menyelit menerusi timbunan batu-bata. Di kawasan di mana bom telah membuka ruang yang lebih besar, muncul koloni berkayu menjijikkan seakan reban ayam. Apakah semua ini sudah wujud dahulu? Tapi sia-sia saja, dia tak berdaya untuk mengingati: tidak ada apa tinggal lagi dari zaman kanak-kanaknya kecuali satu siri tablo yang berlaku tanpa latar dan sebahagian besarnya tidak dapat difahami.

Bangunan Kementerian Kebenaran-Keben, dalam Tuturbaru [Tuturbaru adalah bahasa rasmi Oceania. Untuk penjelasan tentang struktur dan etimologi sila rujuk apendiks.] adalah sangat berbeza daripada mana-mana objek yang berhampiran. Ia merupakan sebuah binaan berbentuk piramid gergasi dengan dinding konkrit putih berkilat meninggi teres demi teres, 300 meter ke udara. Dari tempat Winston berdiri, boleh dibaca, dalam font putih dan anggun. tiga slogan Parti:

PERANG ITU DAMAI

KEBEBASAN ITU PERHAMBAAN

KEJAHILAN ITU KEKUATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *