Perempuan Berambut Wain
oleh Rafhana Luqman

Kubikel kami hanya berselang tiga baris. Selama tempoh dikurung dalam Kubah Kaca, kami tak pernah bercakap. Aku tahu dia di sana, mungkin dia tahu aku di sini. Bila mata letih mengimbas skrin, aku cari bayangan dia di antara hamba abdi yang lain. Rasa gembira bila melihat rambut wainnya mencelah di antara manusia yang memakai seragam hitam kelabu putih. Aku membayangkan perbualan imaginari kami berlangsung sebelum tidur yang mungkin kedengaran begini:

“Ini warna asal rambut kau?”

Dia ketawa. “Kau kena tipu. Ini rambut palsu. Sebenarnya aku botak.”

Sambil menanggalkan rambut wain paras bahu yang lurus berkilat, kami duduk saling berpandangan. Aku mengusap kepalanya yang selicin bandul besi. Tanpa alis dan bulu menghiasi kelopak mata hijaunya, rupa dia agak aneh seperti manekin. Lagi-lagi dengan kulit pucat yang sedingin marmar. Ulas bibirnya keunguan, aku cuba sentuh dengan bibir sendiri untuk memeriksa suhu sebenar badan kami. Dia tolak aku jatuh ke lantai.

“Kita berdua dah lama mati.”

Perbualan itu tergantung begitu sahaja. Tak pasti siapa yang menuturkan ayat itu, mungkin aku, mungkin dia, mungkin bukan sesiapa yang terperangkap dalam cerita ini.

Aku pejam mata dan menyambung nafas seperti Sisyphus untuk sehari lagi. Kubah Kaca ini mengurung kami, seperti mimpi yang tidak diketahui permulaannya, atau ke mana pengakhirannya.

******

Nama saya Inarah. Saya di sini sebagai penganalisis data, mengunyah angka dan abjad yang masuk ke dalam mata sehingga hancur, kemudian diuli dan digumpal kembali menjadi set-set data yang berbeza untuk disuap ke dalam mulut penganalisis yang lain. Semua yang terperangkap dalam ruangan ini melakukan perkara yang sama dengan patuh, santun dan teratur. Tanpa anarki, tanpa sebarang festival warna-warni. Hanya kelabu, hitam dan putih.

Sehinggalah satu malam selepas tamat waktu kerja, ketika saya berjalan keluar dari kubikel, lelaki berambut kelabu itu menyambar lengan dan menarik saya ke sudut gelap.

“Jom lari. Kita masih hidup dan tak patut berada di sini.”

“Lari ke mana?”

“Ke dunia sebenar.”

Saya tatap iris matanya yang sehitam kopi, ada gelora pusaran memanggil-manggil saya untuk berkubur di dasarnya. Gelora itu menjentik ritma nadi yang selama ini sekata bak getaran kuartz. Saya rasa berdosa bila kulit kami bersentuhan. Jemarinya hangat, ada tenaga lain yang ingin mengalir masuk ke dalam jasad. Dan saya menghayati suasana aneh itu dengan perasaan bingung. Saya tak kenal dia, saya tak ingat kalau pernah nampak dia di sini. Dia berbisik, tapi gemanya bergemuruh dalam ruang koklea. Kami berhadapan terlalu hampir dan saya dapat rasa elusan nafasnya memanaskan pipi dan leher saya.

Sesaat kemudian, dia merentap rambut saya. Dua saat seterusnya, dia terbaring mengerang selepas saya mengilas lengan dan menghentak lutut bertubi-tubi pada perutnya. Reaksi ini terlalu pantas, saya terkejut dengan kawalan badan sendiri yang terlalu cekap seperti polis angkasa.

Ada kod bar yang ditatu pada lengan kiri, saya terbaca: SouL.

Itu nama kau? Automatik saya usap lengan kiri saya yang juga ditatu.

Lampu merah berkerlipan dan siren bingit menjerit. Lima saat berikutnya, sepasang android seragam putih muncul dan mengheret dia selepas merenjat tubuhnya dengan elektrik. Saya menoleh ke arah kamera pada siling. Tiada sesiapa yang lalu-lalang ambil kisah dengan apa yang berlaku, seolah-olah kami berdua hanyalah hologram. Usap kepala, rasa sakit rambut direntap masih ada. Seurat dua rambut gugur dalam tapak tangan, saya buang ke lantai.

Saya berdiri di situ sehingga semua lampu terpadam. Sepantas mana pun reaksi tubuh, lidah masih tak sempat bertanya, kenapa?

Selepas itu, saya tak nampak dia lagi. Saya cari SouL dalam sistem. Namanya tak tersenarai di mana-mana. Saya jadi waspada dengan orang-orang di sekeliling. Tapi segalanya terlalu monokrom, membosankan dan memualkan. Saya baru menyedari, saya tak kenal sesiapa dalam ruangan ini, wajah mereka bagai dikabuskan dan nama mereka dieja dengan simbol-simbol aneh yang tak dapat saya terjemahkan. Saya cuba berinteraksi tapi tiada sesiapa yang peduli, seolah-olah ada tabir kaca antara kami.

SouL mungkin orang pertama yang bercakap dengan saya. Suaranya masih lagi melantun-lantun dalam memori. Saya tak pernah menjejakkan kaki keluar, segalanya berlangsung penuh rigid dan sistematik dalam bangunan ini. Pada dinding Kubah Kaca, terpapar awan kapas dan langit firus, dengan hutan tropika yang menjadi lantai horizon. Pemandangan yang tenteram dan menenangkan. Tapi sebenarnya palsu holografik, syurga untuk para munafik. Saya langsung tak ingat sejak bila saya berada dalam Kubah Kaca. Seolah-olah eterniti melingkungi ruang ini, memberi ilusi yang saya hidup dan takkan pernah mati.

Saya mahu jumpa dia lagi. Saya mahu tahu tentang dunia sebenar. Tapi saya tak tahu ke mana mereka bawa dia pergi. Yang saya tahu cumalah kerja saya yang mengunyah data dan memuntahkan analisis.

******

Jadi itu bukanlah rambut palsu.

Kau usap tiga urat rambutnya yang tertinggal dalam tangan. Alam sedar, alam mimpi; entah apa yang benar-benar pasti. Keduanya tetap kabur dengan garisan fiksi. Kau rasa semuanya disimen fakta kukuh. Tapi minda kau diperdaya deria untuk kekal hidup normal dalam kurungan sama. Terlupa yang kau asalnya bukan seorang banduan, dan Kubah Kaca ini sebenarnya sangat rapuh untuk dipecahkan.

Akhirnya, kau dicampak keluar daripada Kubah Kaca yang selama ini memenjara dengan angka dan abjad yang sebenarnya kosong dan hampa makna. Seperti Lucifer yang jatuh dari syurga, kau merangkak dengan sayap patah di atas gurun yang tak berpenghujung. Matahari menyedut sisa-sisa nyawa yang masih tertinggal. Kau ketawa sambil rasa detak jantung sendiri. Kau tak pasti yang kau masih lagi banduan atau bukan. Kau tak pasti ini kebebasan, atau satu lagi ilusi ciptaan. Kau pejam mata, Kubah Kaca semakin menghilang daripada ingatan.

Kau tahu kau takkan jumpa perempuan rambut wain itu lagi.

Tapi sekurang-kurangnya, kau sempat tinggalkan seketul batu dalam tangannya.

One thought on “Perempuan Berambut Wain
oleh Rafhana Luqman

  1. Graviti says:

    Terbaca dengan Avengers: Infinity War masih segar dalam kepala. Terbayang gadis berambut wain sebagai Gamora, terbayang ketul batu sebagai Soul Stone. Aduh!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *