Jalan Sempit Mencari Rahmat; di Sebalik Sejuta Topeng Amerul Affendi
Wawancara dengan Amerul Affendi

Teater Misery dengan lakon layar William Goldman (adaptasi daripada novel Stephen King) yang dibawa ke pentas tempatan oleh Zakaria Ariffin membawa saya ke panggung Aswara untuk menikmati persembahan dalam Siri Penilaian Pelajar Tahun Akhir (PETA) pada tahun 2008.

Persembahan itu dijayakan oleh dua pelakon lelaki. Yang dinilai lakonan mereka. Sepanjang menonton, saya kagum dengan peran yang membawakan watak Annie Wikes. Hampir percaya pelakon itu adalah perempuan. Cara berjalan, suaranya, pandangan mata, gerak-tubuhnya, kelembutan dan kecamuk jiwanya, sedang yang memerankan watak itu adalah seorang lelaki tulen.

Misery adalah tentang Paul Sheldon, seorang penulis terkenal yang telah mencipta watak bernama Misery Chastain yang begitu berkesan dalam siri buku bestsellernya. Hidup Paul berubah kerana Misery dan di waktu yang sama terancam, saat ia bertemu dengan Annie, “peminat nombor satunya.” Dia dipenjara oleh Annie yang menyeksanya kerana tidak setuju dengan tindakan Paul untuk mematikan watak Misery.

Selepas persembahan saya diberitahu nama pelakon yang memegang watak Annie itu ialah Amerul Affendi. Sehingga kini persembahan itu masih melekat kuat dalam ingatan saya. Macam mana lakonan boleh mengubah manusia itu menjadi 100% bukan dirinya? Bentuk latihan yang bagaimana telah dilalui? Besar sungguh bakat yang Tuhan telah anugerahkan padanya. Saya kagum.

Sejak itu saya mengikuti perkembangannya. Saya pergi apa saja teater yang tertera namanya. Saya menonton semua filem lakonanya. Sehinggalah kami akhirnya berkawan. Terlibat dalam filem pendek bersama (walaupun bukan dalam frame yang sama), itu sudah cukup menggembirakan. Bila sudah kenal, semakin jatuh cinta lagi. Merul (panggilan saya untuk dirinya) penuh dengan kerendahan hati dan sikap humble-nya.

Saya percaya menjadi seorang pelakon itu adalah dengan berusaha menjadi manusia sebaik-baiknya. Kerana kita belajar untuk memahami tingkahlaku dan psikologi individu lain. Meminjam dunia mereka. Menerima jiwa mereka seadanya. Kita sedang meminjam kebahagiaan dan penderitaannya. Dan berusaha sebaik-baik untuk menterjemahkan perasaan mereka. Inilah magis lakonan yang membuat kita benar-benar kembali ke fitrah manusia.


Adakah lakonan merupakan bidang yang kau cintai sejak kecil dan memang bercita-cita nak jadi pelakon?

Tak mula sejak kecil. Dia start masa form 6, kat Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh. Nama cikgu tu Cikgu Zakaria. Dia nak buat kelab teater masa tu. Jadi kitaorang ni first batch la. Lepas dia tubuhkan tu, terus masuk pertandingan teater negeri Pahang. Panggil penasihat waktu tu sebab kitaorang memang tak tahu apa-apa. Cikgu Zakaria pun pengetahuan teater tunggang-langgang.. Lalu kitaorang panggil Roslan Madun. Dia penggiat teater yang aktif kat Pahang. Dia pun datang bagi advice dan share ilmu pasal lakonan.

Kitaorang bawa skrip Jalan Sempit. (buku Komsas Sastera tingkatan 5). Guna skrip tu untuk pentaskan di pekan teater negeri Pahang. Jalan Sempit ni cerita pasal orang kampung Melayu, dan ada seorang orang India jual roti. Diorang ada masalah dengan satu jalan ni, yang dinamakan Jalan Sempit. Aku jadi orang India tu (ketawa).Masuklah bertanding. Set kitaorang masa tu ruang tamu rumah tok penghulu, lampu buka general semua. Tempatnya di Pusat Kebudayaan Negeri Pahang kat Kuantan. Show masa tu kitaorang rasa entah apa-apa sebab takde pengalaman berbanding kumpulan lain. Bila tengok persembahan orang lain, rasa gempak gila. Macam peh menakjubkan! Start pada tu rasa bestnya buat teater ni. Maksudnya kalau dapat buat macam orang lain buatlah. Bukan yang macam kitaorang buat masa tu (ketawa).

So apa jadi dengan Jalan Sempit tu?

Jalan Sempit tu kitaorang menang satu hadiah. Pelakon pembantu lelaki terbaik (menunjukkan jari telunjuk ke dada, sambil ketawa).

Kau? Peh! (tepuk tangan) Apa perasaan kau waktu tu?

Fuh! Rasa macam aih menang? Terkejut weh! Lepas tu bila balik, kitaorang buat show kat sekolah pula. Itu first time dalam diri aku selama aku bersekolah, aku rasa aku orang penting kat sekolah.

(ketawa berirama)

Watak tu macam mana? Lawak ke?

Tak. Watak tu serius. Kena cakap slang India. Jadi sejak peristiwa tu aku rasa hidup aku bestlah. Orang mula perasan yang aku ada kat sekolah tu. Benda tu trigger untuk rasa, “Benda ni aku nak. Aku nak buat. Berlakon.” Lepas tu Cikgu Zakaria bagi aku borang, kalau betul nak belajar buat teater, masuk sini. Borang tu ialah borang masuk ASK (Akademi Seni Kebangsaan).

Jadi kau masuk ASK (Aswara – nama terkini), lepas habis sekolah? Kau ambil pengkhususan teater. Teater jadi tapak kepada perjalanan kau dalam industri lakonan. Apakah kelebihan teater yang kau lihat sebagai seorang pelakon? Adakah ilmu teater membantu kau menjadi pelakon layar yang baik dan berkaliber?

Yang aku sedar, bila tengok orang yang start berlakon dengan teater dibanding orang yang start berlakon dengan kamera, ada perbezaannya. Masing-masing ada kebaikan dan kelemahan. Untuk teater, kita perlu guna keseluruhan tubuh kita dan kita harus menguasai ruang di mana kita berada supaya lakonan kita nampak hidup. Reaksi dan respon yang diberikan oleh pelakon teater ni berlaku secara terus. Rehearsal dibuat berulang kali. Di samping itu ada sesi bedah skrip, bedah karektor. Prosesnya khusus.

Sepatutnya bila depan kamera pun, proses ini perlu ada. Cuma pelakon yang start dengan camera, dia tak biasa dengan penggunaan keseluruhan tubuh dia. Dia hanya guna beberapa bahagian sahaja daripada tubuh dia. Sebab lazimnya tak ada latihan khusus yang diberi untuk membantu. Bila kita menggunakan seluruh tubuh kita, setiap pengucapan, pergerakan, nafas akan lain jika dibandingkan dengan memberi fokus kepada anggota-anggota  tertentu sahaja. Ini bukan benda baru. Sejak zaman dulu lagi sudah ada. Satu teori Sufi misalnya, ada berkata, untuk tiap satu gerak akan ada 9 akibat daripadanya..

Jadi dengan memiliki ilmu teater, apakah ia memberi kelebihan untuk kau tembus ke arus perdana?

Aku anggap satu tuah memiliki ilmu teater. Ia banyak membantu. Tapi macam aku sendiri, Namron yang perkenalkan dengan orang-orang industri. Bila kitaorang habis belajar di ASK, dia kata, “Korang kena buat something untuk orang luar sedar tentang kewujudan korang. Korang kena buat show. Nanti aku panggil orang-orang dalam industri untuk datang tengok.” Tu yang kitaorang buat Rumah Anak Teater (RAT). Buat show dekat luar. Satu show yang banyak membantu ialah  Teater Koken di Stor DBP. Kebetulan Dain Said ada datang untuk tengok aku dan Bob (Zahiril Adzim) berlakon. Lepas tu  dia panggil berlakon filem Bunohan. Dialah orang pertama panggil aku berlakon, Dan ini semua sebab Namron buka jalan.

Selalu aku baca kat suratkhabar atau majalah kau dianggap pelakon yang underrated. Bagus, berkarisma tetapi kurang dikenali. Apa yang kau rasa?

Aku tak kisah tak dikenali. Belum peluang. Belum rezeki lagi la senang cerita. Kita dah cuba, tapi kalau belum rezeki, kita terima saja. Sebenarnya, aku betul-betul dikenali selepas Polis Evo. Orang mula kenal siapa Amerul Affendi. Sebelum ni orang hanya kenal watak-watak yang aku bawa saja. Aku tak kisah orang nak label aku pelakon yang tak dikenali atau terpinggir, asalkan rezeki aku masih ada dalam bidang ni.

Adakah kau rasa susah nak membina nama dalam industri seni hiburan?

Ia susah sebenarnya. Masa aku belajar kat ASK, aku tak diajar bagaimana untuk menjual diri. Bila keluar, tak tahu macam mana nak buat. Nak pergi ke mana eh? Tak tahu. Mereka tak jelaskan bagaimana keadaan sebenar industri, sedangkan kita tahu ASK ni dibuat untuk melahirkan graduan-graduan yang akan menjadi penggiat dalam industri. Dia (ASK) memang bagus mengajar ilmu lakon dan pengurusan produksi, tetapi ia terputus pada tahap bagaimana untuk tembus industri.

Mungkin sekarang dengan nama ASWARA benda tu dah diperbaiki. Ia bergantung juga kepada lecturer. Kalau lecturer tu sedar benda ni penting, dia akan kongsi. Sekarang ni ramai dah orang dalam industri dijemput untuk bagi talk dan sebagainya, tapi zaman aku dulu tak ada. Namronlah yang banyak mengajar dan berkongsi tentang industri. Jadi aku nak bina nama mengambil masa yang agak lama. Sebab tak tahu lubang, tak tahu mana nak dituju. Aku ni dahlah PR tak bagus, dengan pemalunya. Memang susah.

Lakonan kau ada weight. Penuh fokus dan penghayatan. Ada juga panggil kau sebagai seorang ‘method actor’. Apakah persediaan yang kau lakukan setiap kali menerima watak dan skrip untuk sesebuah produksi?

Alhamdulillah. Orang dok kata aku ni method. Kaedah-kaedah yang aku gunakan semuanya benda yang aku belajar dari ASK. Benda tu membantu aku untuk mewujudkan watak-watak yang aku bawa selama ini. Kaedah memang banyak, tapi untuk menguasai kaedah tu dia perlukan latihan yang banyak. Alhamdulillah selama 3 tahun kat ASK aku memang fokus buat lakonan. Buat sikit pengurusan. Aku tengok pengurusan aku memang hancurlah. (ketawa) So aku fokus kat lakonan je. Waktu tu yang mengajar lakonan kami Ahmad Yatim, Marlia Musa, Namron, Rohani Yusof.

Kalau kat luar negara, pelakon-pelakon yang dikenali sebagai method actor akan buat macam-macam untuk persediaan watak. Mengasingkan dirinya, masuk gua, bermeditasi dan sebagainya. Apa yang kau buat sebagai persedian sebelum penggambaran?

Masalahnya pelakon di Malaysia ni, selalunya kita akan dapat panggilan last minute (ketawa). Jadi banyak benda tak sempat nak buat. Kita hanya sempat faham permukaannya saja. Paling best aku pernah buat ialah Bunohan. Kitaorang ada proses yang panjang. Untuk jadikan badan seperti orang main tomoi, belajar gerak dan sebagainya. Prep untuk pelakon saja hampir 3 bulan. Itu proses yang paling bestlah aku rasa.

Jadi, kalau skrip itu sampai last minute, apa persediaan yang kau akan buat?

Aku cuma boleh buat apa yang ada dalam skrip. Benda last minute ni paling susah ialah nak maintain watak dari scene ke scene. Sebab watak tu masih fragile. Tak betul-betul solid. Jadi untuk skrip yang dapat last minute, ini apa yang aku boleh kongsikan: ini orang bodoh punya style lah (ketawa). Baca skrip, kemudian tengok watak tu apa sifatnya. Sebab setiap orang, lain-lain sifatnya. Apa motivasi dan tujuan dia. Fokus kat benda tu. Dengan masa yang singkat, itu saja yang boleh dibuat. Sepatutnya banyak lagi yang boleh explore kalau masanya panjang. Tapi tulah.

Bagaimana kau melihat industri TV dan filem tempatan?

Nampak gayanya sekarang ni, macam tv dah start sedar yang suara kat luar sana (khalayak) dah besar. Permintaan masyarakat yang tengok drama kat tv, dah bijak dan taste mereka dah meningkat. Ramai yang bukan jenis mudah terhibur lagi. Best la. Dah nampak sikit demi sikit perubahan tu. Sekarang kita dah ada pilihan HBO Asia, ada iflix, Netflix. Pasaran tu lebih terbuka. Tapi ini untuk TV saja. Untuk filem kita ada masalah.

Kita ada pembikin yang baik, tapi duit ada yang diberikan pada orang yang salah. Kita nak salahkan orang tu pun tak boleh juga, sebab diorang ni rajin. Diorang buat kertas kerja, pergi pitching. Yang penggiat kreatif, masalah mereka takda pengurusan yang baik. Ini yang kurang kat Malaysia: tak ramai penerbit yang bagus. Kita ramai orang kreatif, tetapi kita tak ada orang yang boleh membawa karya tu ke depan. Harap orang kat luar sana sedar, jangan nak jadi pengkarya saja. Jadilah orang yang menguruskan pengkarya-pengkarya ni. Sebab orang kreatif tak boleh buat semua tu. Nak menyakinkan orang yang nak keluarkan duit tu, susah. Kita bagi contoh Indonesia, diorang betul-betul asingkan–pengkarya dan pengurus/produser. Orang yang buat sinetron takkan masuk buat filem.

Sebagai pelakon, adakah kau juga merasa tempiasnya?

Sebagai seorang pelakon tak terasa. Tapi sebagai seorang yang nak tengok industri filem sihat, memang akan rasa. Sepatutnya yang kena fight benda ni, persatuan-persatuanlah. Masalahnya, ramai yang nak masuk dalam persatuan sebab ada kepentingan peribadi. Sepatutnya bila kita masuk persatuan, kita ketepikan kepentingan peribadi. Kena perjuangkan untuk generasi ke depan. Beri tumpuan pada pelapis-pelapis yang akan masuk dalam industri. Semua orang nak kejar diri sendiri. Dunia kita sekarang ni laju sangat. Semua orang saling mengejar status dan kedudukan.

Bagaimana kau lihat pengarah-pengarah muda tempatan. Adakah perjalanan mereka masih jauh untuk mengangkat dan menyuburkan industri filem Malaysia?

Tak jauh kalau pengarah-pengarah muda sekarang sedar dan ambil pengajaran dan pelajaran apa yang generasi sebelum ni dah tempuh. Kalau diorang ambil pengajaran dari situ, masa akan jadi sekejap. Kalau diorang tak ambil apa-apa pengajaran dari situ, ia akan jadi lambat atau mungkin akan collapse. Aku faham yang muda memang angry dan berjiwa rebellious. Tapi apalah salahnya mengalah dan belajar demi industri

Adakah dengan memilih karier sebagai pelakon di Malaysia ni, boleh cari makan? Atau saat ni kau masih lagi struggle untuk mengimbangi ekonomi keluarga?

Masih struggle. Sebab dari segi kebajikan masih tak selamat. Tak ada EPF semua tu. Oleh itu standby la benda-benda lain (ketawa).

Bila kau sedar benda tu Merul?

Sejak dah berkeluarga. Rasa tanggungjawab tu lebih lagi. Jadi pelakon ni tak menentu. Macam nelayanlah. Kadang-kadang dapat ikan banyak, kadang-kadang pulang dengan airmata. Memang kena ada back up plan. Sangat perlu sebagai persediaan. Pernah ada satu masa, 2014 kot masa tu, aku decide untuk berhenti. Aku nak masuk mengajar kat sekolah seni. Masa tu aku dah kahwin. Aku rasa jadi pelakon tak cukup. Memang bahaya sangat. Aku pergi interview, dapat. Lepas tu aku fikir-fikir balik, rasa macam tak boleh nak tinggalkan lagi dunia lakon ni. Ada benda lagi tak dapat. Jadi aku teruskan berlakon.

Adakah masa tu karier lakonan kau tengah merudum?

Slow. Masa tu slow. Dia bukan tak ada. Tapi slow sangat. Tak cukuplah.

So sekarang ni kau dah boleh demand harga?

Tak juga. Kat Malaysia ni dia akan pergi pada siapa popular. Still. Berdasarkan apa yang aku deal sekarang ni, masih lagi tengok siapa paling popular. Kalau ensemble cast, still akan dibayar ikut siapa yang paling popular. Yang popular akan dapat lebih. Benda ni peliklah. Anugerah tu tak ada apa pun. Itu hanya akan jadikan orang taknak ambil kau dah. Orang akan kata kau mahal. Maknanya dengan terima anugerah tu orang tak hargai kau pun.

Ramai sekarang ni pelakon yang berjinak-jinak jadi pengarah. Kau ada teringin ke arah tu?

Tak kot. Aku takkan jadi pengarah. Aku tak pandai bercerita. Aku pernah cuba sekali direct teater waktu zaman belajar, kelas pengarahan. Itu je. Aku sedar diri dan sedar ruang (ketawa).

Watak yang memberi kesan pada kau samada teater atau filem sepanjang penglibatan kau sebagai pelakon?

Paling terkesan waktu buat Penilaian Tahun Akhir (PETA) di ASK. Life aku: aku ada 6 orang adik-beradik. 5 orang lelaki, seorang perempuan iaitu kakak. Serius, aku tak kenal perempuan. Kawan aku ramai lelaki. Aku start bercinta pun form 6. Itu pun sebab ada orang bagi contact number, dia suruh call. Kalau tak sampai ke sudah aku tak rasa nak bercinta semua ni. Jadi teater Misery memang memberi watak yang paling berkesan pada aku. Aku kena faham psikologi watak dan kena tukar fizikal sebagai perempuan. Benda tu susah. 4 bulan untuk training watak tu. Start kena pakai baju perempuan, berjalan, emosinya. Aku nak kena serap perasaan jadi perempuan tu. Sedangkan aku memang tak faham langsung. Bangun pagi aku dah sarung baju perempuan, berjalan ke lrt pakai gaun. Memang aku rasa, susahnya lahai jadi perempuan. Lama juga aku nak recover lepas bawa watak tu.

Kalau filem, setakat ni masih belum ada yang betul-betul beri kesan mendalam. Hampir sama-rata kepuasannya.

Kau memilih watak tak? Mungkin kalau dah terlalu banyak watak yang sama, kau pilih untuk tak buat. Sebab taknak stereotype mungkin. Atau kau main belasah je semua?

Aku tak memilih watak, tapi kalau watak tu terlalu banyak sangat yang sama aku pernah buat sebelum ni, aku tolak. Sebab dah tak ada apa yang aku boleh offer.

Sekarang ni semakin ramai pelakon yang muncul. Asalkan ada rupa, badan sedap, boleh muncul tv/filem. Apa pendapat kau?

Benda ni jadi sebab ada permintaan. Bagi aku semua orang nak cari rezeki masing-masing. Tapi bila dah terlalu banyak, benda ni tak bagus. Jadi tak sihat. Melainkan diorang ada inisiatif untuk membangunkan diri. Untuk improve diorang punya bakat. Asah bakat tu. Janganlah asah badan je (ketawa). Kita meraikan muka-muka baru, tak ada masalah. Tapi kualiti mesti jaga.

Artis atau karyawan dunia pasca moden ni memang tak terlepas untuk update diri diorang kat media sosial. Tapi kau nampak lebih tenang dan low profile. Adakah kau memang memilih life yang sebegitu?

Bukanlah pasal low profile ke apa. Aku rasa aku lebih kepada, “Ikut suka akulah.” (ketawa). Orang tahu serba-sedikit cukuplah. Aku kongsikan juga personal life, tapi terkawal. Aku tak rasa kena please atau tunduk kepada permintaan-permintaan duniawi.

Apakah kejayaan sebenar seorang pelakon?

Bagi seorang pelakon, kejayaan dia adalah apabila dia berjaya dapat yakinkan orang mengenai watak yang dibawa. Itu paling penting. Dan kedua ialah hidup stabil. Hahaha.

Aku dengar kau membina madrasah di kampung dan kau juga menjadi penternak moden. Adakah itu sebagai back up plan bila kau dah pencen nanti atau pun ia adalah cara kau menampung ekonomi keluarga disamping berlakon?

Sebelum aku masuk ASK lagi, aku belajar tentang teater untuk pendidikan. Aku minat dengan term tu dan cara kaedah yang digunakan untuk belajar seni agar dapat memberi sesuatu kepada masyarakat. Aku suka benda tu. Sejak tu aku nak simpan duit, satu hari aku akan buka sekolah seni. Lepas tu aku jumpa Wanji. Bila aku jumpa Wanji, kefahaman aku tentang acting jadi bulat. Kalau sebelum ni, semua teori yang aku belajar ada yang tak cukup lagi. Wanji cerita tentang konsep seni dalam Islam. Kebanyakkan teori yang kita belajar semua dari Barat. Dipertemukan dengan Islam, baru ia jadi bulat. Teori Barat mengambil intipati teori Islam, tetapi memutuskan bahagian tauhid. Kepercayaan kepada Tuhan. Bila aku dengar Wanji terangkan aku tentang seni dari sudut sufi, aku dapat penjelasan yang jelas. Kalau ada orang kata kat aku main seni ni haram apa semua, aku nak cakap, “Tak haram. Kita meraikan apa yang Tuhan bagi pada kita.” Itu selepas aku faham konteks seni dalam Islam. Itu sebabnya aku nak bina madrasah. Aku nak mengimbangi antara kesenian dan agama Islam.

Jadi pembinaan madrasah tu sejak bila?

Kitaorang start 2016. Dekat tanah ayah aku kat Temerloh. Start dengan pakai duit sendiri. Simen bancuh sendiri semua. Aku dengan kawan-kawan tolong-menolong. Bangunannya besar Boleh dikatakan lebih kepada masjidlah. Sekarang ni dah siap asasnya. Rangka. Cuma bumbung tu banyak makan duit.

Apa sebenarnya objektif madrasah ni?

Pendidikan. Seni dan agama. Dua perkara ni yang akan dititik-beratkan.

Kau sendiri yang akan mengajar kat sana?

Ya! Salah seorang.

Siapa pelajar yang akan terlibat? Anak-anak di sekitar kampung?

Terbuka kepada semua. Secara percuma. Takkan ada yuran. Diorang cuma keluarkan duit untuk buku saja. Bergantung apa yang diorang nak belajar. Sasaran kepada parents yang tak mampu nak hantar anak diorang ke sekolah. Kat kawasan tu juga ada tanaman. Ada kerbau, ada ikan sangkar. Supaya orang yang datang situ ada aktiviti, dan diorang juga ada income untuk hidup diorang hari-hari. Ternakan dan tanaman tu semua juga untuk tampung pengurusan madrasah tu nanti. Jadi kalau aku tak ada shooting, aku balik kampung dan menguruskan pembinaan madrasah. Kalau aku tak ada, ada kawan-kawan dan famili aku jaga kat sana.

Apa harapan kau terhadap madrasah ni?

Aku harap ia akan jadi sebuah tempat untuk generasi-generasi masa depan agar boleh belajar untuk hidup dalam keseimbangan dunia dan akhirat.

Perkembangan terbaru kau sekarang ni? Ada filem baru yang nak keluar atau tengah shooting?

Baru lepas wrap KL Gangster Underworld, 6 episod untuk iflix. Lepas ni shoot filem Paskal, jadi lanun. Lanun moden. Yang akan datang di pawagam, One Two Jaga dan Mencari Rahmat.

Oh ya. Aku sebenarnya nak tanya soalan ni. Kau dengan Bob (Zahiril Adzim) dari dulu lagi dari zaman ASK sama-sama. Masuk industri sama-sama. Sangat brotherhood gitu. Dan kalau korang ada dalam satu frame atau scene, chemistry tu memang sangat kuat. Hubungan kau dengan Bob, macam mana sebenarnya?

Hubungan kitaorang memang baik. Sama-sama satu batch. Sama-sama explore tentang dunia lakon. Sama-sama memang bangang gila tak tahu macam mana nak berlakon. Itulah punca bila nampak kitaorang berdua dalam frame, chemistry tu terus jadi. Waktu belajar pun aku banyak pergi rumah Bob, sebab kampung aku kat Pahang. So aku lepak dan tidur rumah dia kalau cuti. Kenal baik dengan mak ayah dia. Adik-beradik semua.

Apakah harapan kau terhadap industri seni tanahair?

Semoga masyarakat menghargai pengkarya-pengkarya kita. Baik pelakon, penyanyi, penulis. Menghargai work diorang. Work tu semua bukan datang dari diorang. Dari Tuhan. Tuhan yang bagi ilham dan inspirasi. Hargai benda tu. Bukan tengok luaran, life style macam mana. Itu hal dia dengan Tuhan. Dia nak ke laut dalam ke, biar. Semua orang akan suka dengan benda-benda kesenian ni. Jadi hargailah ia. Dari segi industri, harap ada orang yang betul-betul muncul untuk fight membangunkan industri bukan sekadar kepentingan peribadi. Pengkarya muda juga harus belajar dari yang lama. Ambil kesilapan mereka sebagai panduan dan pengajaran. Jangan terlalu ego atau syok sendiri. Sebenarnya paling penting sekali ialah bergabung. Duduk atas dasar yang sama.

Untuk menutup wawancara ini, mungkin ada anak-anak muda yang jadikan kau sebagai idola dan teringin mengikut jejak langkah kau sebagai pelakon. Apakah nasihat untuk mereka-mereka ini, untuk adik-adik kita ini?

Pertama sekali check balik betul ke niat tu. Kuasai segala ilmu. Belajar. Jangan gebang je lebih (ketawa). Better tak payah banyak sangat bercakap. Buat, buat, buat dan buat.

Fazleena Hishamuddin

Penulis, penggiat teater dan pemilik ruang acara Markas KD. Buku terbaru FH, Tari Pasar Perempuan keluaran Roman Buku kini sudah boleh ditempah di laman web Roman atau terus daripada penulis sendiri melalui whatsapp 012-6619386

2 thoughts on “Jalan Sempit Mencari Rahmat; di Sebalik Sejuta Topeng Amerul Affendi
Wawancara dengan Amerul Affendi

  1. Enol says:

    Soalan-soalan yang menarik dan dijawab dengan jawapan yang juga membuka satu lagi sudut pandang saya ke arah seni teater. Well done Kak Faz & Amerul!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *