Paling Iqbal dalam Dunia: Antara Dua Personaliti
Wawancara bersama tulangbelakang kugiran iqbal m.

Festival Belia 2010, saya bawa Emak dan adik perempuan menonton persembahan seni di Putrajaya. Saya baca puisi ketika itu. Selesai membuat persembahan, kami duduk di kawasan penonton untuk menyaksikan penggiat seni lain mengambil tempat di atas pentas.

Ruang lobi Kementerian Belia dan Sukan (tempat acara diadakan) itu tiba-tiba riuh dengan kemunculan seorang mamat yang tampil dengan penampilan dan gaya persembahan yang ekspresif. Dia bergerak ke ruang penonton dengan berkaki ayam sambil menyanyi. Butir-butir liriknya jelas kedengaran. Ekspresi wajahnya pelik (membuntangkan mata dan membuka mulutnya lebar-lebar) sewaktu menyanyi dan tenaganya sangat luarbiasa. Melentokkan tubuhnya ke kiri dan kanan. Ada masanya dia memanjat kerusi dan terbaring di atas pentas.

Sehingga satu saat dia bergerak ke arah Emak saya dan meminta Emak memegang alat muzik pianika dan kemudian meniup dan memainkannya. Saya dan adik perempuan seram juga, tapi lihat Emak yang senyum dan seolah terpaksa-rela, kami layankan saja. Emak menjadi sebahagian persembahan itu. Orang ramai yang ada di situ bertepuk tangan. Suasana pecah dengan sorakan. Mamat yang dikenal sebagai Iqbal M. itu kemudian salam dan mencium tangan Emak saya.

Selepas persembahan, dia menghampiri setiap penonton dan menjual ep lagu-lagunya tanpa segan dan malu. Kami juga tak terkecuali mendapatkannya satu. Bukan kerana didesak, tetapi saya betul-betul menikmati persembahannya. Pengkarya sebegini harus disokong. Unik, tersendiri, berani (tak peduli apa orang nak fikir) dan secara peribadi saya nampak sisi rendah hatinya itu.

Ketika pulang menuju ke kereta, Emak bisik ke telinga saya. “Pelik budak tu ye, tapi mak suka. Nanti bawa mak lagi.” Persembahan itu benar-benar menjadi memori buat Emak, kerana sehingga kini dia masih ingat dan memperkatakannya.

Selepas itu, kami ditemukan di acara-acara seni lain. Menjadi sahabat seperjuangan. Sehingga kini Iqbal M. yang saya kenal pertama kali di Putrajaya, kekal begitu. Konsisten berkarya, gila dan masih seorang yang sangat humble. Saya nampak keikhlasannya sebagai anak seni. Dia tak pernah lelah, apatah lagi mengalah. Saya percaya Iqbal M. akan terus bertahan, menjadi contoh kugiran-kugiran baru dan generasi akan datang.

Penting bagi seorang penghibur dan penggiat seni untuk memberi persembahan yang ikhlas. Jujur dari hatinya. Dia faham yang penonton harus dapat sesuatu dari persembahannya. Makna kepuasan bagi setiap orang berbeza, tetapi sebagai pengkarya, adakah kita sudah berikan 100% kepada khalayak? Atau sekurang-kurangnya untuk kita sendiri.


Kenapa Iqbal M.? Nama kau sebenar Iqbal Othman. Adakah membawa makna apa-apa?

Asalnya, kalau orang kenal saya zaman Tembak Tepat memang orang tahu Iqbal M. tu saya sorang-sorang. Sebab nak cari nama glamer, nama pentas macam tu, saya banyak dengar lagu orang-orang lama, macam P.Ramlee, S.Jibeng. Nama saya Muhammad Iqbal Othman, tapi sebab saya bukan sama level macam diorang, jadi saya alihkan M tu ke belakang. Masa tu 2010 ke 2012. Lepas Iqbal M. dah jadi band, menjadi satu unit, M tu membawa maksud 4 ahli. Huruf M ada 4 palang yang mewakili Johan, Fei, Aidil dan Shah. Bila dah jadi band, semua orang pun tak nak tukar nama baru. Sebab nama tu orang dah kenal. Iqbal M. diwakili oleh saya sendiri sebagai vokalis, Johan pemain gitar, Fei gitar, Shah bass dan Aidil sebagai drummer.

Kau tak rasa narsis sangat ke? Guna nama kau sendiri sebagai nama band? Eh aku sendiri pun guna nama sendiri sebagai band (Fazleena & The Lasykar). Haha. Ada tak kau rasa ia sebagai satu beban? Macam terasa berat kat kau?

Zaman awal tubuh band, semua orang masih lagi panggil saya dengan nama Iqbal M. Mana-mana saya pergi pun. Tapi lama-lama saya beritahu yang Iqbal M. tu adalah band. Iqbal tu saya. Lepas tu orang mula fahamlah. Bila ada show pun, kalau hanya Iqbal, memang saya akan main sorang-sorang. Kalau Iqbal M. memang akan perform satu band. Saya taknak orang tertipu kalau saya bawa nama band, tapi perform sorang-sorang.

Jadi start 2010, kau hanya perform solo tanpa band?

Ya. Saya akan panggil orang untuk iring saya main. Panggil session musicians untuk main. Masa ni kira idea, muzik, total semua saya. Diorang hanya bantu untuk main saja. 2013, baru Iqbal M. start band secara official.

Apa makna titik (.) pada penghujung M?

Titik kita akan gunakan sebagai pemati ayat. Sengaja letakkan titik tu konon poyo-poyo bila orang dengar Iqbal M. ni akan jadi band terakhir yang diorang akan dengar. Maksudnya, mungkin orang dah dengar macam-macam, bila dia dengar Iqbal M. dia akan kata “Inilah muzik yang dia patut dengar.”

Peh! Kuat statement tu Bal.

Poyo-poyo je. Haha. Harapannya bila orang dengar Iqbal M. dia akan terpikat dan terus melekat. Macam tu la lebih kurang.

Pengaruh Butterfingers dan MonoloQue sangat kuat dalam diri kau. Dan ramai juga tahu dan faham kau memang peminat besar mereka. Bila kau nak keluar dari kepompong diorang? Atau kau rasa kau dah pun keluar dan menjadi jenama kau sendiri?

Masa awal-awal tubuhkah Iqbal M. dulu, rata-rata band main lagu-lagu bahasa Inggeris. Bila ada band guna bahasa Ibunda, semua nak jadi macam band Indonesia. Tapi tu semua terpulanglah. Tak salah pun, itu masing-masing punya pilihan. Tapi saya taknak jadi macam tu. Saya pun try buat lagu bahasa Melayu. Buat-buat tak jadi. Sebab tak ada orang yang bukakan pintu, tak dapat dengar siapa-siapa untuk jadi rujukan. Sampailah ada kawan yang hadiahkan kaset Butterfingers album pertama Melayu diorang Selamat Tinggal Dunia. Bila saya dengar, benda pertama yang saya cakap, “Takde Indo langsung.” Sangat Malaysia. Macam samseng-samseng sikit, lagunya tak berlakon sangat, ada guna bahasa pasar. Itu memang kena dengan zaman sekarang.

Kami pun memang nak ada bunyi-bunyi Malaysia. Walaupun peratusnya tak banyak. Sikit pun jadi. Bila orang dengar, itu muzik Malaysia. Bunyi nusantara. Semuda-muda kita pun, kita masih nak ada jati diri tu sikit-sikit. Walaupun kita dah tak keluar pakai capal, bertanjak ke apa, tapi kita tetap mahu ada identiti Melayu tu. Kalau akak kata dah keluar ke belum, kita sebenarnya dah keluar. Cuma orang akan tetap bercakap, sebab kita adalah generasi yang keluar selepas mereka. Tapi saya tak nafikan, memang kami berpandukan diorang.

Kau bangga dengan benda tu?

Awal-awal dulu ya. Rasa macam, “Wah! Aku dah sama level dengan diorang”. Tapi bila lama-lama rasa mual juga. Orang kata kita nak tiru Butterfinger la, apa la. Sampai sekarang kami masih minat diorang. Cuma sebenarnya kalau orang (pendengar) tu follow dia akan nampak perbezaannya. Bunyi Melayu memang macam tu. Tak boleh nak lari. Dia ada acuan dia sendiri. Rempah-ratus yang memang kena ada. Jadi bila dengar, ia seakan-akan sama.

Jadi apa sebenarnya konsep muzik Iqbal M.?

Ramai juga yang tanya, diorang tak tahu nak kelaskan muzik kitaorang apa dan macam mana. Itu benda yang best. Kalau orang tak tahu nak letakkan muzik kita kat mana, maksudnya kita fresh-lah. Cuma adakalanya masalah juga, event atau show selalu ada tema dan konsep. Diorang tak tahu nak letakkan Iqbal M. dekat mana. Tapi okay je. Kalau orang suka, dia akan tetap panggil. Tak kisahlah sparring dengan Metal ke apa ke. Kalau orang tanya apa style muzik kitaorang, apa yang boleh saya cakap, “Kami nak main muzik saja.” Bagi saya kita tak perlu hadkan muzik kita. Mungkin ada band dia dah jumpa ideniti muzik dia, takpelah. Tapi kami sentiasa nak cabar diri dalam composition dan nak explore lagi sejauh mana kami boleh pergi.

Kau okay jelah kalau orang klasifikasikan muzik korang sebagai apa saja?

Kalau orang tu nak cakap Iqbal M. main muzik dangdut pun, ikut dioranglah. Sukahati. Kitaorang okay je. Saya rasa rugi kalau kita hadkan muzik kita.

Akak perasan yang lirik-lirik dalam lagu kau ada banyak pengulangan. Memang secara tak sengaja diadakan atau itu style yang memang kau nak dari awal? Dan apakah influence kau dalam penulisan lirik-lirik dalam Iqbal M.?

Kenapa saya suka repeat, sebab macam manusia. Kita jarang nak dengar kalau orang tu cakap sekali je dengan kita. Terutamanya benda-benda yang orang tu tak suka apa benda yang kita buat kan. Kita kena selalu ingatkan. Selalunya benda yang ulang-ulang tu adalah statement. Benda yang nak di-highlight-kan. Kalau orang tak faham keseluruhan lagu, at least orang boleh faham yang itu (bahagian pengulangan). Kalau bercakap pasal influence, saya sebenarnya tak banyak membaca sangat. Awal-awal saya buat lagu, saya berpandukan iklan tv. Lirik Tembak Tepat tu dari iklan raya cina. Sebab tu ada gendang tarian cina. Macam lagu Selamat Malam Encik Akauntan tu terhasil dari perbualan saya bersama seorang akauntan.

Jadi, proses penciptaan lirik Iqbal M. banyak dari kisah-kisah di sekeliling kau dan ia bersifat personal?

Betul. Ia personal. Tapi bila saya tulis, saya bagi ia nampak general. Supaya bila orang dengar, dia nak relate pasal benda lain, sukahati dia.

Kau percaya bahawa lirik yang bagus membawa muzik kau lebih jauh? Atau biar orang enjoy dengan melodi saja, dan lirik tak ada makna?

Saya lihat lirik tu penting. Orang akan menyanyi dengan lirik tu. Orang tak nyanyi line gitar. Zaman saya belajar dulu, lecturer saya kata buatlah sesuatu yang boleh educate orang terutamanya dalam penulisan. Ada orang suka berhibur saja, ada orang nak juga benda-benda yang boleh mengisi jiwa dan minda. Tapi semua tu kita tak boleh paksa. Lain orang, lain cara penerimaannya.

Bagaimana cara kau menulis dan compose lagu? Mana yang datang dulu? Lirik ke melodi?

Boleh datang dalam semua keadaan. Ada yang dah ada lirik, melodi haram takde. Ada melodi tapi lirik takde. Ada juga time main gitar, tiba-tiba keluar lirik sekali. Dari segi penghasilan lagu, biasanya saya yang akan ada draf awal, akan bawa ke band dan kemudian arrange sama-sama untuk cantikkan lagi. Lirik memang saya tulis. Sebab saya nak nyanyi. Saya yang kena bercerita.

Ada tak percubaan ahli band lain untuk tulis lirik?

Dalam album baru ada satu lagu Johan buat. Lirik dan melodi. Saya tukang bagi tajuk je. Awal-awal susah juga, sebab bahasa lain. Saya pun tak faham cara dia tulis. Susah juga. Johan ni mat buku. Kalau orang baca lirik dalam album baru ni nanti, memang orang boleh tahu tu bukan Iqbal yang tulis.

Adakah sebab kau semakin dewasa, dan kau sudah boleh menerima lagu dan lirik orang lain?

Betul juga. Sebab dah terlalu banyak saya buat, sampai masa otak pun dah tepu.

Persembahan kau sangat eksentrik dan teaterikal. Sangat energetik dan ada interaksi yang besar dengan audience. Adakah itu memang style yang kau terapkan dari awal atau gimik semata-mata?

Akak dah tengok saya dari awal-awal saya muncul kan? Memang dari awal-awal saya dah macam tu.

Ya betul! Adakah memang dari awal kau set macam tu? Atau kau secara semulajadi macam tu?

Saya memang semulajadi macam tu. Kalau kat luar saya jenis orang yang biarkan je orang nak ludah muka saya. Orang suruh tepi sikit, saya ke tepi. Walaupun saya tak beralih ke tepi dengan hati yang rela sangat. Saya ni macam Dr. Jekyll and Mr Hyde. Bila perform itulah tempat saya luahkan segalanya. Kat luar (sekarang) ni side baik saya. Masa perform itu yang jahat. Saya ada dua personaliti. Luar pentas dan atas pentas. Cuma diorang tak lepak sekali.

Adakah style persembahan ini kau inspired dari mana-mana penyanyi atau kau create sendiri?

Benda tu tak plan. Ia memang jadi sendiri. Saya faham apa yang saya tulis. Saya pun bukan penyanyi sangat. Saya lebih kepada bercerita. Kalau orang tu mungkin tak faham lirik, tapi dia datang show dia boleh faham emosi yang nak saya sampaikan, melalui ekspresi saya. Lagu-lagu tu setiap kali perform memang 3D untuk saya. Tak pernah lagi 3D tu hilang walau berapa ratus kali pun saya perform. Sampai sekarang belum ada lagi lagu yang saya boring atau dah penat nak nyanyi. Saya harap sampai bila-bilalah macam tu.

Pernah tak kau terfikir apa perasaan audience bila tengok kau perform? Sebab kau bermain dengan personal interaction dengan penonton. Kau akan bergerak ke ruang penonton, tarik diorang nyanyi sekali, ambil handphone diorang dan rekod persembahan. Kau pernah terfikir perasaan diorang mungkin tak suka apa kau buat ke? Atau kau rasa benda yang kau buat tu best untuk menghidupkan persembahan?

Saya pun tak tahu apa reaksi orang. Saya buat spontan tanpa plan. Ada jugalah saya tanya-tanya atau diorang beritahu sendiri. Dulu-dulu, terutama perempuan diorang rasa takut. Diorang takut, apa bendalah mamat ni nak buat. Tapi tu bukan niat saya. Tapi bila lama-lama, diorang jadi sebahagian dari persembahan tu. Kebanyakan fans yang datang, diorang tak rasa diri diorang sebagai fans saja. Tapi jadi sebahagian dari Iqbal M. Sebahagian dari persembahan tu. Dan peminat Iqbal M. memang setia saya perhatikan. Selalu nampak orang yang sama, berturut-turut datang tengok show. Sebab bagi diorang Iqbal M. bukan audio band. Pasang cd boleh dengar dalam kereta dan layan kat rumah. Bukan. Iqbal M. memang live band. Setiap kali show, persembahan mesti lain. Walaupun lagu yang sama, tak tukar arrangement pun.

Kau bertuah kerana ada aura dan pesona pentas. Kau pukau orang dengan persembahan. Jadi kalau orang tak pernah dengar kau pun, kau boleh tarik orang kagum dengan persembahan.

Mula-mula memang diorang akan tertarik dengan persembahan. Lepas tu mungkin diorang akan start cari dan dengar Iqbal M. At least kalau diorang pertama kali tengok Iqbal M. dan diorang enjoy, maknanya kami dah buka pintu untuk diorang masuk dan mengenali muzik kitaorang lebih dalam.

Sejak dua menjak ni akak tengok kegilaan kau dengan pakai costume dan make-up pula ke atas pentas. Adakah ia berlaku secara sponton atau percubaan mencipta gimik dalam persembahan?

(ketawa) Okay yang ini memang plan. Kebanyakkan band dah start tampil dengan konsep masing-masing. Ada pakai suit, pakai baju hawai, baju batik. Band dah start main konsep. Benda tu bagus. Saya memikir apa lagi saya nak buat. Orang banyak kata saya ni perform macam orang gila.

Start situ saya dah jumpa konsep saya. So saya tunjukkan yang saya betul-betul gila. Lagipun saya dah mula bosan dengan apa yang saya buat sebelum ni. Saya pun tahu saya tak hensem. Ramai front man band hensem-hensem. Boleh jual muka juga. Saya nak jadi wakil orang tak hensem yang boleh berdiri sama dengan lain, tapi dengan persembahan yang mantap.

Orang tahu saya suka buka baju semua tu, jadi bila saya buat kemunculan dengan baju hospital ni, orang tertanya-tanya, “Iqbal pakai baju wad yang mana eh nanti? Apa lagi kegilaan yang Iqbal akan buat ye?” Saya nak tengok sejauh mana kegilaan ni boleh pergi. Bila saya tampil pelik macam ni, gambar-gambar pun lawa. Promosi macam ni penting untuk lebarkan lagi perjalanan Iqbal M. Style muzik dan lagu-lagu Iqbal M. sendiri pun sesuai dengan konsep pemakaian dan persembahan yang saya bawa.

Melalui persembahan yang sebegini, penuh konseptual, adakah kau rasa Iqbal M. susah nak tembus pasaran mainstream? Atau kau tak bercadang untuk masuk mainstream?

Kita tak cakap nak lepak kat mana. Orang bagi chance mana-mana pun kita ambil. Mission-nya ialah kita nak share lagu-lagu yang kita buat semaksimum mungkin pada khalayak. Kalaulah hari ni ada orang UMNO panggil kita buat show, kita pergi je. Esok orang Keadilan panggil, kita belasah. Janji bebas propaganda. Kami nak luaskan muzik Iqbal M. pada semua. Besarkan lagi capaian lagu-lagu kami.

Adakah kau rasa laluannya susah untuk memperkenalkan muzik kau berbanding band-band lain dalam usaha menjejak kaki ke industri muzik yang lebih besar?

Benda ni nasib. Rezeki. Kalau kita dah cuba-cuba, Tuhan kata belum. Belum la. Ada orang baru keluar lagu hari ni, esok dah zasss terkenal. Nasib dia baik. Kita cuba saja. Cuba. cuba, cuba dan cuba. Kita memang tak pernah letakkan, “Oh radio nak lagu macam ni, kita kena buat lagu macam ni.” Tak! Kita buat lagu kita suka. Kau nak play, kau playlah. Alhamdulillah. Terima kasih. Kalau tak nak play, takpelah. Kita nak buat apa? Kita buat je. Kita tak pernah hadkan mana kita nak main, memilih dengan siapa yang kita nak main. Kalau nak ajak sparing dengan main dangdut pun, kita on je. Mission kita ialah nak orang dengar muzik kita. Itu je.

Macam mana kau tengok scene Indie sekarang?

Bagus. Ada banyak band tumbuh bagaikan cendawan. Orang akan dapat banyak pilihan. Normal untuk band baru diorang belum jumpa style dan identiti. Khalayak masih nak dengar band-band yang dah establish. Tapi bila diorang dah jumpa nanti, baru akan pecah dan dikenali. Kalau semua band jual benda yang sama, siapa nak beli benda baru? Kena cari keunikan dan kelainan. Kena pastikan apa yang special tentang band tu.

Jarang mendengar palitan gosip dan kontroversi dari band Iqbal M. Aku tak nampak orang complain Iqbal M. datang lewat, bajet rockstar, poyo atau berlagak kat media sosial. Hampir tak ada. Aku tak pernah dengar. Boleh dikatakan korang ni bersihlah. Clean. Adakah ini prinsip Iqbal M. yang korang pupuk dari awal atau memang taknak campur hal-hal gossip dalam scene?

Alhamdulillah. Bertahun-tahun saya main, semangat saya masih macam pertama kali buat show. Setiap kali orang panggil main, saya akan deal dengan excited dan semangat. Sampai sekarang ada masanya esok nak main, malam ni tak boleh tido. Padahal dah main banyak kali. Masih ada rasa nervous tu. Iqbal M. memang rapat gila dengan fans. Kitaorang kalau dengar gosip atau kontroversi malas nak ambil port. Band ni gaduh dengan band ni.

Kami kawan je dengan semua orang. Tak nak ambil pusing benda-benda remeh. Kita tak reti nak mengapi-apikan satu pihak. Itu korang punya pasal. Kami memang rapat dengan peminat. Semua permintaan diorang kami cuba tunaikan. Lambat-lambat pun akan reply. Kadang-kadang diorang minta chords lagu, kita email. Nak minta wish birthday girlfriend ke boyfriend ke, sebab peminat Iqbal M. “Boleh tak hantar video?” semua kami buat. Soalan-soalan kat dm semua kita jawab. Kita cuba sebaiknya. Sebab saya pernah ada kat tempat diorang. Saya tahu perasaan orang yang minat sangat dengan band tu, tapi band tu tak layan kita. Punyalah seronok kalau artis yang kita minat tu reply atau respond.

Semua tu saya pernah lalui. Saya selalu letak diri kat tempat diorang. Iqbal M. tak main show yang sama berulang. Contohnya Apple Fest bikin event tahun lepas ajak Iqbal M. Tahun ni kalau depa ajak lagi, kita tak main. Sebab kita pandang dari side penonton. Kita tak nak penonton jemu. Bagilah selang 3-4 tahun ke. Bagi chance band lain. Tak salah band pun, kalau dia nak terima. Sebab benda ni job kan. Tapi kalau boleh saya elakkan main show yang sama berturut-turut. Scene kita ni kecil je. Semua orang berebut nak masuk. Kalau orang suka, orang akan suka juga.

Jadi kau memang tak respond terhadap kontroversi yang ada dalam scene?

Respond benda yang baik untuk semua orang. Untuk kebaikan scene. Bukan dituju personal pada satu-satu band atau individu. Seluruh ahli band Iqbal M. macam tu. Kami sealiran dan sependapat.

Kau juga guru muzik, ada diploma dalam bidang muzik, adakah kau pernah terfikir untuk berhenti kerja dan menumpahkan seluruh jiwa dan raga kau pada bidang muzik? Bagaimana dengan ahli band yang lain? Adakah mereka ada kerjaya hakiki di luar atau main muzik sepenuh masa?

Semua orang bekerja tapi part time. Senang nak adjust masa main muzik kalau ada apa-apa. Semua mengajar muzik, kecuali Johan. Dia ada tulis-tulis sikit dan sekarang ada buat design buku.

Kau rasa dengan adanya Iqbal M. cukup tak untuk survive? Korang dah main banyak tahun, dan selalu juga setiap bulan mesti ada acara. Adakah payment untuk main cukup untuk kelangsungan hidup?

Sebenarnya tak. Masa awal-awal kita ada band saja. Tapi lama-lama kita dah mula membangunkan band tu. Team pun dah makin besar. Bila ada show nak bawa soundman, nak panggil orang tangkap gambarlah. Kalau boleh kita nak bagi semua orang dengan jumlah yang berpatutan. Supaya diorang bekerja dengan seronok. Payment main muzik yang dapat cukup-cukuplah. Jadi kita tak boleh main muzik fulltime lagi. Apatah lagi semua pun dah kahwin, kecuali Johan. Ada yang dah ada anak semua. Masih ada komitmen. Kalau boleh benda tu seimbang. Main muzik untuk passion dan juga hasil yang dapat pun berpadanan. Kita semua pun nak makan kak.

Aku sebenarnya bangga, cemburu sikit dan macam-macam rasa bila kau dilamar oleh Luncai Emas. Seniman yang paling aku kagumi dan hormati di Malaysia ni ialah M.Nasir. Bila dia sign korang jadi artis rakaman, aku rasa terharu dan perasaannya sangat besar Bal. Aku ikuti perjalanan kau dari 2010, kita berkawan, dan aku selalu tahu yang kau akan jadi something big. Bila aku nampak gambar band kau dengan M.Nasir dan album kau akan dikeluarkan oleh Luncai Emas, aku rasa wow. Tahniah Bal. Aku bangga. Aku faham dan tahu ini semua adalah hasil ketekunan dan semangat korang dalam perjuangan meluaskan muzik korang. Bagaimana kolaborasi ini terjadi dan sejauhmana M.Nasir terlibat dalam pembikinan album ini?

Benda ni jadi sebab diorang tengah cari orang baru untuk produce. Anak dia Ilham, salah seorang yang bekerja dalam Luncai Emas. Mungkin diorang ada tertanya-tanya apa lagi band yang sekarang ada potensi. Dia mungkin ada suggest nama kitaorang. Dari situ diorang start study dan tengok youtube ke apa. Diorang cari band yang main bahasa Melayu. Memang target market diorang macam tu. So, kita pun ada rasa terkejut juga. Selama ini kita tengok kat tv je, lepas tu kena pergi office dia semua. Ada juga rasa segan, “Betul ke diorang ni?”. Lepas tu berbulan jugalah berbincang dengan diorang, apa bagusnya, apa yang tak bagusnya. Gedebuk gedebak, semua orang dah sepakat kita on la. Deal pun okay. Kita main bukan ikat tahun. Main ikat album. Hanya satu album saja.

Jadi ini album korang yang ke berapa?

Untuk album, ini nombor satu. Sebelum ni EP saja. Tembak Tepat, Antara Dua Darjat dan satu lagi tu re-issue untuk album Antara Dua Darjat. Versi re-issue ni kita tukar baju (cover) saja. 2015 saya rasa orang baru start nak dengar Iqbal M. Betul-betul nak tengok dan dengar. Jadi orang cari balik EP Antara Dua Darjat, tapi waktu tu dah habis. So bila ramai yang nak, kita re-print balik.

Apa kelainan album ini dengan EP yang keluar sebelum ini? Apa expectation kau terhadap album ni?

Masa Tembak Tepat keluar ada geng yang suka. Antara Dua Darjat pula ada geng lain. Dia jadi dua kelompok berbeza. Album baru ini secara personal, dia berada antara dua-dua kelompok ni. Berada kat tengah-tengah. Saya harap orang yang suka masa Iqbal M. fasa Tembak Tepat akan suka dengan album ni, dan orang yang dengar Antara Dua Darjat pun akan suka. Iqbal M. dah jadi dua mazhab, jadi album ni yang menyatukan.

Jadi kita letak kat tengah-tengah. Kita ada tambah instrumen lain-lain, lagu pun bukan saya buat total. Ada lagu Johan. Banyak tangan lain juga yang bekerja untuk buat album ni. Ada produser dan lain-lain. Masa dulu 100% otak kita saja yang cakap. Tapi sekarang ni, untuk kita mungkin rasa dah okay. Tapi untuk orang lain, belum. Jadi kita nak cari titik persetujuan tu. Masa mula-mula tu sukar juga, tapi lama-kelamaan saya cuba terima. Semua orang nak yang terbaik. Recording pun saya rasa lebih best dari sebelum-sebelum ni. Banyak masa kita boleh dengar betul-betul. Paling klise, saya boleh cakap yang kita semakin dewasa. Lagu pun lebih matang. Saya dah tak sabar nak bagi orang dengar. Tapi ada orang lain yang belum rasa cukup rempah-ratus dia. Jadi kena tunggu dan sabar.

M.Nasir sendiri ada tak turun padang dalam proses pembikinan album ni?

Saya rasa dia pun ada banyak kerja lain juga nak buat. Dia ada spot check juga. Boleh dikatakan setiap hari dia ada kat office tu. Dia akan tanya progress rakaman. Dah sampai sejauh mana.

Apa feel dia Bal?

Bila time dia masuk, semua orang berhenti buat kerja. Haha. Segan. Break hisap rokok kejaplah, apalah. Sebab kita tahu dia siapa. So seganlah. Tapi kitaorang memang rasa besar hati dapat duduk bawah Luncai Emas. Jadi diorang akan bantu dari segi distribution, promosi dan lain-lain. Kita akan buat promosi cara kita, cuma ada satu lagi bahagian yang akan bantu sekali. Lagi satu diorang tak kacau proses kreatif.

Korang pun dah start bagi hint untuk cover album. Berkolaborasi bersama designer muda yang pernah bikin ilustrasi untuk t-shirt Iqbal M. Mungkin kau boleh ceritakan tentang cover tu sikit?

Kitaorang memang suka dengan sentuhan Fry. Terus jadi peminat kerja-kerja dia lepas dia bikin ilustrasi t-shirt kitaorang. Bila buat album ni, takde orang lain dalam otak saya. Fry tanya saya ada konsep ke atau macam mana. Iqbal M. orang tahu nampak nakal-nakal sikit, tapi nak nampak pandai. Saya minta Fry fikirkan apa yang dia boleh keluarkan. Dia yang keluarkan idea nak guna duit 20sen. Sebab ahli band kitaorang semua nak menghampiri akhir 20-an. Konsep asal dia daripada situ. Lepas tu baru datang imej-imej lain. Saya pun pesan kat Fry jangan buat cover gelap-gelap.

Saya dah bosan tengok rock band tak habis-habis warna hitam. Saya nak sesuatu yang senang didekati. Walaupun orang tak dengar rock, orang boleh suka pada kulit album tu. Dia beli mungkin sebab lawa, lepas tu dia akan cuba dengar. Cover album ni penting. Kalau orang letak banyak-banyak cd atas meja, orang akan tertarik nak beli album tu. Orang yang dengar Iqbal M. tak kisahlah letak warna apa pun, hitam ke lutsinar ke, orang akan beli. Buat apa kita nak cari orang tu lagi. Sebab orang tu dah tahu. Kita nak orang yang baru. Crowd baru.

Zaman teknologi digital ni orang menunggu untuk download atau pun dengar Spotify dari membeli album fizikal. Dengan mengeluarkan album, ada tak kerisauan kau terhadap benda ni?

Tak. Sekarang ni tengah trend geng-geng collector yang akan beli dan simpan. Lagi 5 tahun kalau album ni dah tak dikeluarkan lagi atau dah habis, diorang untung boleh jual dengan harga yang tinggi. Saya yakin kalau orang tu minat dan menyokong kita, dia akan beli album yang original. Tak kisahlah zaman inflasi ke, kejatuhan ekonomi ke, orang yang minat akan beli juga. Apa lagi cara diorang nak hargai muzik? Pergi show boleh bila-bila atau setiap masa. At least diorang dapat satu benda yang boleh dengar bila-bila diorang nak. Tapi yang tak bestnya, beli satu lepas tu copy dekat 10 orang. Benda tu kita tak boleh nak halang pun. Kita boleh cakaplah, “Kau beli, kau simpan untuk kau. Jangan bagi orang.” Tapi kalau dia nak buat juga, kita pun tak boleh nak paksa.

Secara ringkas, apa harapan kau terhadap album baru?

Ada orang yang mungkin tak suka dengar lokal, suka yang luar dari Malaysia, K-pop ke apa ke. Ada orang hanya suka dengar dan obses terhadap muzik Malaysia. Album ni adalah album di antara tu. Album ni memang kita buat untuk semua orang. Takde kategori atau klasifikasi tertentu. Kita tak metal, tapi ada sikit. Kita tak asli, tapi ada asli sikit. Kiranya album ni paling kari sekali (ketawa). Semua kulit kayu manis, herba semua cukup. Kalau dia nak mencari pintu untuk suka yang lain, mungkin dengan album ni. Macam tu la. Kita pun memang dah letakkan seluruh jiwa dan raga. Keringat dan airmata.

Venue impian kau untuk perform? Ada mana-mana tempat tertentu yang kau teringin nak main?

Saya tak kisah venue mana-mana pun. Cuma kalau boleh, impian saya secara peribadi saya nak perform dekat depan orang-orang yang besar menjaga sesuatu benda. Main depan YB ke, Agung ke, orang-orang yang ada status. Kalau boleh satu dewan tu penuh dengan orang-orang macam tu.

Kau patut perform kat perhimpunan UMNO kalau gitu Bal. PWTC (ketawa).

Ha lebih kurang macam tu la. Saya rasa lagu-lagu macam ni tak sampai dekat diorang. Diorang pun tak dengar radio sangat kot. Mungkin nak bagi juga dia rasa macam mana rasa hidup macam orang biasa. Saya percaya dalam hati dia walau duduk dalam istana ke rumah besar ke apa, kalau dia tengok takkanlah dia takde langsung rasa nak berjoget atau bergerak. Mesti dia ada punya. Saya teringin nak tengok. Diorang mungkin lebih stress dari orang biasa, saya nak tengok diorang have fun.

Apakah perancangan masa depan Iqbal M. selepas terbitnya album? Kau tak pernah cuba ke untuk terbang lebih jauh. Go international. Mengembangkan muzik korang ke negara luar selain Malaysia?

Belum ada chance nak keluar. Bukan sebab kita tak ready. Ada yang tanya-tanya bila nak datang ke Singapore atau Indonesia, tapi tu la ada banyak benda nak kena fikirkan. Kalau ada peluang, memang kita nak pergi. Misinya memang nak lebih ramai orang mendengar Iqbal M. Sekarang ni pun kita uruskan segalanya sendiri. Manager pun tak ada. Teknikal ada yang jaga, tapi pengurusan acara masih kami sendiri.

Kata-kata akhir untuk peminat kau yang setia dan peminat yang memperlecehkan kau. Mungkin. Sebab aku tengok komen di youtube banyak juga yang mencaci. Mungkin sebab tak faham muzik kau.

Kepada yang menyokong, teruskan menyokong. Sebab bila awak sokong, itu akan buat kita bersemangat bikin kerja lebih bagus. Kalau kita dapat banyak duit untuk buat benda ni pun bagus, sebab kita boleh tolong orang lain pula. Teruskan sokongan agar kita boleh buat kerja yang lebih berkualiti. Makin bagus, makin bagus dan makin bagus. Untuk Iqbal M. kita tak pernah ada rasa puas. Tinggal kita mungkin tak boleh buat sebab kita takde kemampuan. Barang mahal dan sebagainya.

Untuk yang tak suka pula atau ejek Iqbal M. tak layak ke apa, album ni untuk diorang. Album ni memang untuk diorang. Lagu-lagu album ni bersifat dendam. Dendam yang baguslah. Saya rasa orang yang suka kita ni, bukan buat kita jadi lebih bagus. Orang yang suka kita, kalau kita buat apa-apa pun, dia akan tetap akan kata kita best. Berak atas jalan pun, dia akan kata “Oh artnya kau.” Kepada yang tak suka Iqbal M. tu dengarlah album ni. Kita sama-sama dengar apa yang dia akan kata nanti. Boleh jadi dia tak suka juga, kita boleh cuba lagi. Album ni memang penuh dengan dendam sepanjang 2015 sampai 2017. Jadi dengarlah dan nilai sendiri.

Mungkin kau nak tambah sikit lagi sebelum kita menutup wawancara ni? Harapan kau kepada setiap ahli band ke?

Iqbal M. ni bukan sekadar band saja, dia dah jadi keluarga. Gaduh-gaduh tu biasa. Kena ada toleransi. Tak boleh angkuh dan pentingkan diri sendiri. Kepada peminat seni, pergilah keluar menonton show, pergi tengok movie kalau awak suka, beli buku kalau suka membaca, tunjukkan sokongan. Supaya benda ni akan terus bergerak dan berkembang. Kalau tak, habislah. Industri seni akan mati.


Fazleena Hishamuddin

Penulis, penggiat teater dan pemilik ruang acara Markas KD. Buku terbaru FH, Tari Pasar Perempuan keluaran Roman Buku kini sudah boleh ditempah di laman web Roman atau terus daripada penulis sendiri melalui whatsapp 012-6619386

2 thoughts on “Paling Iqbal dalam Dunia: Antara Dua Personaliti
Wawancara bersama tulangbelakang kugiran iqbal m.

  1. Asarudin Marican says:

    Cara iqbal berfikir sebijik mcm saya. Bukan nak cakap bohong tapi itulah saya fikirkan. Impian dia jugak sama mcm saya. Cuma nya saya takde band. Saya teringin hendak share ape yg saya fikir, impian dan rasa bangga nya saya terhadap industri muzik lokal ni terutama indie/underground. Membesar dgn lagu2 diorang selama 20 tahun ini sangat mengujakan. Budak2 dulu berebut, merengek meminta parents diorang belikan mainan, sedangkan aku berusaha memujuk ibu saya utk membeli kaset lagu Linkin park, limp bizkit, mcr, dan juga album ACAB pada waktu itu. Pengalaman menyaksikan show Kugiran Masdo buat pertama kali di im4u buat saya terharu. Dulunya hanya mendengar lagu mereka tatkala masih The Lipstik, sekarang masdo. Sungguh luar biasa. Menangis bila Modread perform live depan mata saya masa di Publika berjaya buat saya menangis kerana dulu pernah bawak lagu modread utk battle of the band tatkala masa itu saya masih berumur 14 tahun, dan selalu jamming lagu diorang. Perasaan itu dtg sendiri. Menangis. Dan dapat jugak bergambar dgn frontman modread, fami masa jelajah masdo di sarawak dekat Miri, sekali lagi terharu dan hampir menangis. Cinta saya terhadap muzik, impian saya utk menjadi seperti diorang harap tercapai kerana saya ingin menginspirasikan org sekeliling saya, dan menjadi seperti Iqbal M..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *