Mimpi
oleh Muhammad Fareed

Benny mengalami mimpi aneh selama tiga malam berturut-turut. Dalam mimpi itu, dia melihat dirinya terbaring di atas lantai sebuah apartmen yang gelap-gelita. Anehnya tentang mimpi itu, tubuh Benny bercerai satu persatu lalu hilang ditelan kegelapan. Kemudian, Benny akan terjaga dari tidur dengan tubuh berpeluh-peluh seperti baru bermimpi dikejar hantu.

Sewaktu sedang membaca akhbar di sebuah kedai mamak, ingatan Benny tentang mimpi itu tiba-tiba menjelma. Semuanya gara-gara berita pembunuhan seorang gadis belasan tahun yang menjadi tajuk utama akhbar itu. Dalam berita itu, kesemua anggota tubuh badan mangsa telah dikerat dan dihumban ke dalam longkang berhampiran sebuah kilang bihun.

Selepas menghirup teh tariknya sehingga habis, akhbar itu dilipat dan diletakkan di atas meja. Ketika itu, baru Benny tersedar dompetnya sudah tiada. Seingatnya, dompet itu ada di atas meja sewaktu dia sedang membaca akhbar. Melilau matanya memandang sekeliling, namun dompet usangnya itu tidak juga kelihatan.

Mana pergi pulak dompet aku ni?” desis Benny, kebingungan.

Dia mula mengesyaki ada pencopet yang telah merembat dompetnya sewaktu dia sedang leka tadi. Dan dia pasti, pencopet itu pasti masih berada di dalam kedai. Tapi dia tidak tahu bagaimana ingin menangkap pencopet itu. Dia boleh menuduh sesiapa saja di dalam kedai itu—misalnya seorang lelaki berkemeja flanel lusuh dan berjambang lebat yang duduk selang tiga meja darinya—tapi dia bimbang kalau-kalau telahannya salah.

Tidak lama selepas itu, seolah-olah ada nyalaan mentol di fikiran Benny. Dia tahu taktik tuduhannya mungkin tak akan berjaya. Jadi, dia memutuskan untuk menyusup keluar secara senyap. Sementara orang masih ramai dan suasana masih sibuk; lebih baik dia melarikan diri. Nanti, tak pasal-pasal dia kena jadi tukang basuh pinggan pula di kedai itu.

Taktik melarikan diri itu bukanlah susah sangat. Benny berjaya menyusup keluar dari kedai itu tanpa menimbulkan curiga sesiapapun, khususnya para pelayan. Sudah berada agak jauh dari kedai mamak itu, Benny menghentikan langkah. Nafas lega dihembus, dan dia bersandar pada dinding kaki lima itu sambil menyalakan sebatang rokok seludup.

Sedang leka mengepam asap nikotin ke jantung, Benny didatangi seorang gadis berambut pendek dan berkulit putih mulus. Sekali pandang, tak ubah macam Janna Nick. Bezanya, gadis itu nampak lebih ranggi dengan sepasang jeans yang koyak di bahagian lutut dan baju raglan bertulis ‘I WANT TO LIVE’.

Boleh pinjam lighter?” ujar gadis itu dengan sebatang rokok terkepit di bibir.

Benny tidak berkata apa-apa. Dia hanya suakan pemetik api dan memerhatikan gadis itu menyalakan rokok dengan penuh dramatik; lebih-lebih lagi sewaktu kepulan asap rokok mengaburi wajah anggun itu.

Thank you,” ujar gadis itu, mengembalikan semula pemetik api.

Beberapa minit selepas itu hanyalah momen sepi di antara mereka berdua. Masing-masing leka menghembus asap nikotin sambil merenung di kejauhan. Sehinggalah sedutan terakhir Benny, gadis itu tiba-tiba bersuara.

Abang nak ke mana?”

Benny tercengang seketika. “Nak baliklah.”

Boleh tak temankan saya sekejap?”

Teman? Teman ke mana?”

Tanpa menjelaskan apa-apa, gadis itu terus menghela tangan Benny. Seolah-olah dipukau, Benny membiarkan saja perbuatan gadis itu tanpa sebarang bantahan sama ada secara verbal, ataupun fizikal.

Tidak lama selepas itu, mereka tiba di sebuah kedai alat tulis. Gadis itu membeli sebuah buku nota dan sebatang pen biru. Barang-barang itu kemudiannya diserahkan kepada Benny. Kata gadis itu, “Ini hadiah daripada saya. Terserahlah awak nak buat apa dengan benda-benda ni. Tapi, saya cadangkan awak jadikannya sebagai diari.”

Sejurus itu, mereka singgah pula ke McDonald’s. Berbekalkan secawan McFlurry berperisa Oreo, mereka duduk di sudut premis itu yang suasananya agak sepi. Benny disuap dengan penuh mesra seolah-olah dia adalah teman lelaki gadis itu. Walaupun bingung pada mulanya, tapi Benny diamkan saja kerana tiba-tiba berasa seronok dilayan sebegitu.

Lepas ni nak pergi mana?” soal Benny.

Apartmen saya?”

Tanpa menunggu lama, Benny terus merampas cawan McFlurry itu menghabiskannya selaju mungkin. Sehinggakan kebas-kebas mulutnya dek menahan sejuk aiskrim itu. Mujurlah lidah yang nakal itu tidak terkena frostbite, fikir Benny. Jika tidak, tak dapatlah ia beraksi dengan lidah gadis itu nanti.

Tiba di apartmen gadis itu, hujan mula turun dengan lebat. Benny diminta untuk menunggu di ruang tamu sementara gadis itu masuk ke dalam bilik untuk menukar pakaian. “Jangan segan-segan. Kita dua je ada kat sini. Buat macam rumah sendiri ya?” ujar gadis itu sebelum menutup rapat pintu biliknya.

Benny yang masih dibakar berahi, tak lepas-lepas merenung pintu bilik gadis itu. Imaginasi membayangkan daun pintu dikuak dan gadis itu keluar dengan hanya memakai lingerie yang menggiurkan. Alat kelaminnya menegang serta-merta. Kalau ikutkan hati, hendak saja dia menerjah masuk ke dalam bilik itu. Namun, perhatiannya beralih apabila dia terpandang akhbar di atas meja kopi ruang tamu itu.

Ingatan tentang mimpi aneh yang dialaminya sekonyong-konyong menjelma tatkala dia melihat tajuk utama akhbar itu. Dia mencapainya lantas membaca sepintas lalu berita tentang kes pembunuhan itu. Ketika itu, barulah dia sedar ada gambar kecil diletakkan di bawah berita itu; ia gambar gadis yang dibunuh itu.

Perempuan ni…” Benny tergamam ketakutan. Gadis di dalam gambar itu serupa dengan gadis yang ditemuinya tadi. Lebih tepat lagi, gadis yang sedang berada di dalam bilik apartmen itu.

Abang…”

Benny menoleh, tapi kelibat gadis itu tidak kelihatan. Malah, pintu bilik masih lagi tertutup. Anehnya, suara itu terdengar dekat—seperti gadis itu berada di hadapannya.

Abang jangan takut. Benda ni takkan lama.”

Tubuh Benny tiba-tiba kaku. Anggota badannya mula bercerai satu persatu. Tak sampai seminit, hanya tinggal rohnya sahaja di atas sofa. Anggota badannya yang sudah bercerai, kemudian bercantum semula di hadapannya. Satu persatu sehinggalah menjadi jasad bernama Benny.

Hai Abang…”

Darah Benny berderau (walaupun secara logiknya roh tiada darah). Dia tergamam dan tak mampu berkata apa-apa, melainkan memerhatikan saja tingkah jasadnya itu.

Abang jangan risau.” Jasad itu mengeluarkan sebuah dompet usang dari saku belakang seluarnya kemudian memeriksanya sepintas lalu. “Duit dalam ni masih ada. Saya minta diri dulu, ya? Abang buatlah apa yang patut dengan buku nota dan pen yang saya belikan tadi.”

Benny merenung buku nota dan pen di atas meja sehinggalah jasadnya keluar dari apartmen itu. Sebaik saja kedengaran bunyi pintu ditutup, buku nota dan pen itu dicapainya. Pada saat itu, Benny mula berazam—dia akan menulis riwayat hidupnya sebagai manusia, dan riwayat hidupnya sebagai roh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *