Zombi & Gusti
Wawancara dengan Adib Zaini

Saya memandu ke Saujana Utama dari Subang Jaya untuk “breakfast” bersama Adib Zaini… pada pukul 4 petang. Jurugambar rasmi Roman mencadangkan kami ke Puncak Alam untuk berwawancara sambil makan soto yang sedap. Saya tak sampai hati untuk memberitahu dia yang satu-satunya benda orang nak dengar daripada seorang jurugambar ialah “klik” kameranya.

Saujana Utama adalah tempat yang sederhana dan aman, agak kekampungan. Berbeza betul dengan latar dalam novel-novel Adib yang urban dan moden. Adib berkata yang dia tak sukakan tempatnya dan selalu keluar dari situ. Malah, dia tak pernah makan di KFC yang kami pergi walaupun dekat dengan rumahnya.

Dia memakai baju-t Stone Cold 3:16, seluar pendek, dan topi. Cuma tak cukup sebotol Mountain Dew dalam tangan untuk melengkapi imej seorang redneck Amerika. Dia makan Chizza, hidangan ayam goreng dengan topping keju, sos, dan nanas; produk yang grotes tapi laku seperti novel-novelnya. Saya minum Milo ais sambil menyesal sebab tak pergi ke Puncak Alam untuk makan soto.


Bila mula menulis?

Dalam 2006 macam tu kot. Lepas baca Y: The Last Man oleh Brian K. Vaughn untuk kali pertama. Mostly influenced daripada komik. Time tu aku di kolej study computing dekat Asia Pacific Institue of IT.

Ada ritual atau dewa yang kau sembah sebelum mula menulis?

Nak kata ritual macam kena pusing dua tiga kali tak ada. Duduk, kalau ada idea, bantai tulis. Dan biasa kadang-kadang macam buka dan stalk Twitter orang, maki-maki orang lepas tu sambung menulis.

Ada outline ke macam mana?

Depends. Lain cerita lain cara. Kadang-kadang ada guna outline, kadang-kadang pakai bantai je dulu, bila dah siap baru edit balik. Zombijaya tak pakai outline. Memang buat chapter by chapter. Ilusaniti boleh dikatakan ada outline. Start dengan awal, lepas tu buat ending, lepas tu baru buat tengah. Masa start Ilusaniti memang tau konsep dia apa: Weird Horror. Yang first chapter tu memang buat betul-betul bagi siap dulu. Bila sampai bab ketiga, tak tahu cerita nak ke mana, so aku start tulis ending dia dulu supaya tahu hala tuju dia. Videotape pun start dengan ending dulu baru pergi ke beginning.

Novel-novel kau selalunya ada sekumpulan kawan dan banyak dialog antara semua watak-watak ini. Kenapa? Dan apa cabarannya dalam menulis watak yang banyak?

Boleh dikatakan watak-watak tu melambangkan time-time lain dalam hidup aku. Kumpulan dalam Videotape macam kawan-kawan sekolah aku, Ilusaniti lebih kurang macam zaman uni. Zombijaya pula zaman lepas habis uni, masa aku tengah menganggur. Watak-watak ini ada elemen campuran daripada orang betul dan daripada sesetengah aspek diri aku juga. Ada aku campur dua, tiga orang lain buat satu watak. Cabarannya ialah nak bagi suara setiap watak itu berlainan. Kalau tak buat betul-betul, nampak macam semua suara aku. Aku nak setiap watak itu suara dia berlainan.

Boleh dikatakan watak-watak tu melambangkan time-time lain dalam hidup aku.

Dalam karya kau, kau banyak reference pop culture. Bila mula minat pop culture ni?

Sejak kecil lagi. Sejak pertama kali aku tengok gusti. Sepanjang zaman, top three aku ialah Bret Hart, (Big Van) Vader, dan juga Raven. Minat aku daripada kecil sampai besar sentiasa bertukar. Yang kekal cuma gusti saja. Lepas tu komik, lepas tu siri TV. Dalam siri TV aku tengok watak-watak dia macam mana. Yang bagi influence paling banyak mungkin adalah siri Angel.

Dalam novel-novel kau semua ada humor. Jenaka-jenaka ni dirancang atau datang masa menulis?

Kadang-kadang ada punchline yang aku fikir daripada awal. Aku buat scene mengikut punchline tu. Ada yang humor tu datang sendiri masa menulis. Dalam Videotape di mana watak Razak bercakap, “Kau bukan watak penting pun. Diamlah!” Itu tak dirancang. Itu memang datang masa tengah menulis. Idea tu muncul. Ayat itu sendiri aku pernah guna in real life juga sebenarnya. Bila orang menyampuk dalam satu perbualan, aku akan cakap, Kau watak tak penting, jangan campur.

Kenapa kau benci Ready Player One oleh Ernest Clyne? Semua orang puji buku tu termasuklah New York TImes. Dan adakah kau akan tengok filem dia (arahan Steven Spielberg) nanti?

Aku akan tengok juga. Kadang-kadang benda yang aku benci pun aku akan tengok. Sama ada untuk menambahkan benci atau mengubah pandangan. Buku tu satu-satunya buku yang aku habis baca tapi aku benci. Biasanya kalau aku benci buku tu aku akan berhenti membaca. Cerita tu namedrop semata-mata nak namedrop. Aku ingat ada satu bahagian macam scene Delorean. Dekat satu muka surat pasal nak menceritakan kereta tu je lepas tu tak refer apa-apa balik kat situ. Tak ada kena mengena dengan cerita. Namedrop nama orang sampai dekat satu perenggan penuh dengan nama orang je. Macam nak tunjuk pada semua orang, “Kau nampak aku buat apa?” Macam *’Member Berries dalam South Park Pop culture tu dekat dengan aku. Itu lagi satu sebab aku benci. Aku mengharapkan cerita itu lagi bagus.

*  ‘Member Berries adalah buah beri dalam siri kartun South Park yang boleh bercakap. Ia selalu mengajak orang yang memakannya untuk bernostalgia tentang benda-benda silam dalam pop culture.

Penulis antarabangsa, penulis tempatan kontemporari yang kau suka?

China Mieville. Ridhwan Saidi.

Apa yang buat kau suka pada novel-novel China Mieville dan Ridhwan Saidi? Dan macam mana diorang influence cerita-cerita kau?

Aku suka dia punya world-building. Bila aku membaca China Mieville aku ditarik masuk ke dalam dunia dia. The total opposite of apa aku rasa masa baca Ready Player One (Alang-alang kita mengutuk Ready Player One, kan?) Dia ada buat World-Building dunia dia yang sebenar tu tapi tak ada nak fokus pada dunia tu. Dia mencipta dunia tu semata-mata nak masuk dalam game bodoh tu je. Aku lagi interested dengan apa yang jadi dalam dunia sebenar dia daripada dunia game tu, tapi Ernest Clyne tak explore langsung dunia tu.

Balik ke Videotape. Kenapa pilih pita video? Teknologi yang dah pupus?

Idea asal tu dah lama ada dalam kepala aku. Teknologi tu wujud masa aku tengah membesar. Aku rasa lebih sesuai guna pita video untuk cerita tu sebab ada kait dengan aku, supaya cerita itu lebih dekat dengan aku.

Dalam Videotape kisah cinta Razak kuat dan real berbanding novel-novel kau yang lain. Adakah memang kau nak tulis cerita cinta? Tengah bercinta? Kau tulis sebab kau nak kahwin?

Sebenarnya aku nak fokus lebih pada kisah Razak dan kawan-kawan dia dan niat aku untuk menulis cerita cinta tu secondary. Tapi bila rasa cerita itu makin menaik jadi aku explore cerita cinta tu.

Apa benda yang kau pentingkan dalam penulisan? Setiap kali kau duduk untuk menulis novel, apa yang kau nak capai?

Aku rasa yang paling penting dalam sebuah cerita, dalam apa-apa pun, ialah watak-watak dia. Orang akan maafkan cerita yang tak sedap kalau watak-watak dia kuat. Bila kau baca dan kau boleh relate dengan watak tu — tak semestinya kau setuju dengan watak tu. Kalau watak tu buat benda bodoh, kau masih simpati dengan dia.

  Aku rasa yang paling penting dalam sebuah cerita, dalam apa-apa pun, ialah watak-watak dia

 

Macam mana kau membahagikan masa menulis, main game, tengok gusti, tengok siri TV, tengok filem, menulis skrip, semua bendalah yang kau buat?

Bab-bab buat jadual ni memang bukan dalam diri aku. Aku bangun tidur, aku tak ada plan nak buat apa. Apa hari tu jadi, jadilah. Kalau hari tu aku menulis, aku menulis. Kalau main game, main game. Boleh dikatakan aku bukan seorang yang merancang masa depan. Sebab tu buku Ilusaniti tiga tahun baru siap padahal aku janji dengan Amir Muhammad tiga minggu. Masa pertama kali aku jumpa Amir Muhammad, FIXI baru ditubuhkan. Aku buat Ilusaniti dua bab. Aku usulkan kepada dia. Dia berminat dan ajak berbincang. Bila jumpa, dia tanya agak-agak bila boleh siap. Aku buat dua bab tu dalam masa seminggu. Jadi aku bagitau dia dalam tiga minggu boleh siap. Dia terkejut sebab aku cakap tiga minggu. Dia ingatkan tiga bulan. Tapi akhirnya nak dekat tiga tahun untuk aku siapkan. Sekarang Amir pun tahu bila aku tabur janji tu dia akan iyakan je. Sekarang, aku tak janji apa-apa.

Kau mula menulis Ilusaniti sebelum Zombijaya?

Masa tu, FIXI belum keluarkan apa-apa buku lagi. Aku baca tweet Amir Muhammad, dia buka rumah penerbitan baru dan dia mencari manuskrip. Masa aku baca tu baru aku mula menulis. Zombijaya datang dalam tiga, empat bulan selepas tu. Masa aku bersembang dengan Amir, somehow, aku terbuka topik zombi. MJ Woo nak buat filem zombi dan dia bersembang dengan Amir dan Amir teringatkan yang aku suka zombi. Jadi dia ajak aku datang berbincang dengan MJ. MJ kata nak buat buku dulu. Ilusaniti lambat nak siap sebab aku asyik tukar direction.

Kau tulis buku khusus untuk FIXI?

Aku tak tulis buku dengan laju. Kalau setahun satu buku pun ajaib bagi aku. Setakat ni, aku selesa dengan FIXI. Aku faham dengan diorang, diorang faham dengan aku.

Bila dah jadi penulis bestseller, dengan Zombijaya, ada dipengaruhi penulisan kau? Ada tekanan lepas tu? Contoh macam reviu novel-novel sendiri.

Tekanan ada tapi aku cuba ignore. Kau tak boleh totally ignore benda tu. Ia tak pengaruh aku punya penulisan. Baca juga reviu novel sendir ikadang-kadang. Tapi tak ada la macam sentiasa menanti-nanti. Aku tau setengah orang memang totally avoid reviu tapi aku nak tahulah pendapat orang tentang apa yang kena dan apa yang tak kena. Aku tak ambil serius sangat tentang reviu tapi aku tetap nak tau apa orang rasa. Tapi janganlah totally bergatung pada apa orang rasa. Tulis untuk diri sendiri.

Kau memang anticipate orang akan terima genre Weird Horror di Malaysia? Dan kau pelik tak orang boleh terima?

Aku tak rasa pelik sebab cerita yang niche macam mana pun akan ada pembaca dia. Kadang-kadang orang underestimate, “Oh, cerita ni tak ada siapa nak,” atau, “Oh, cerita ni orang kampung tak faham.” Akan ada juga pembaca. Cuma besar atau niche jelah pasaran dia.

Hadi M Nor

Penulis Pengembaraan Laki Laki Scorpio (Roman Buku), Sepucuk Pistol Di Dalam Laci (SFP) dan Family Values (Fixi) Beliau suka menyanyi dan menari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *