Jalan Pahang
oleh Abul M. Salleh

Hampir satu tahun saya menggunakan Jalan Pahang ini. Berulang-alik berjalan kaki dari rumah ke tempat kerja di Institut Perubatan Respiratori, dan saya sama sekali tidak menyangka akhirnya ia meledakkan kebencian di dalam diri saya.

Jalan Pahang tidak pernah sepi di Kuala Lumpur. Seawal lima pagi, jalan ini mulai sarat kenderaan. Jelang petang, jalan kian sesak. Meskipun setiap haluan telah dibesarkan tiga lorong, kenderaan tetap bergerak lambat bagai kura-kura mengantuk. Bagi penunggang motosikal pula, tidak cukup menyelit di celahan kereta, dengan semberononya mereka juga meredah laluan pejalan kaki. 

Pernah terlintas di kepala saya, kebingitan di Jalan Pahang adalah serpihan-serpihan teriakan dari neraka. Sesungguhnya ia mengazabkan telinga.

Justeru itu, tidak hairanlah rata-rata pejalan kaki termasuk saya, menyumbat fon telinga. Yang tiada pula, masing-masing merengus. Itu tidaklah mengejutkan. Saya akan lebih hairan jikalau ada pejalan kaki yang tertawa. Tidak mungkin ada yang boleh ketawa saat melalui jalan ini. Apalagi tanpa fon telinga. Kalaupun ada, sayalah orang pertama yang akan menepuk bahunya dan menanya—mengapa dia boleh segembira itu? Tetapi hingga sekarang ternyata tidak ada.

Bagaimanapun adakalanya fon telinga juga mendatangkan stres. Setiap hari saya menyumbat fon telinga. Bermacam lagu telah saya dengar berulang kali. Ada beberapa buah lagu yang dulunya saya gemari, sudahnya memualkan. Semenjak itu, saya memainkan lagu secara rambang. Jika nasib saya kurang baik, saya kekal murung. Ini kerana sejumlah lagu juga terbukti berpotensi merosakkan pendengaran manusia. Buktinya telinga saya nyaris mengalami kontusi. Lantaran tidak terlalu serius, saya abaikan saja. Seteruk apa pun sesebuah lagu, setidaknya ia masih punya melodi berbanding derum kenderaan yang lebih menyakitkan hati.

Saya berani bertaruh, Jalan Pahang bakal jadi pengalaman terburuk mereka di Kuala Lumpur.

Menurut firasat saya juga, sekiranya orang luar pertama kali menjejak kaki ke Kuala Lumpur, sebelum sampai ke Jalan Pahang, mereka pasti menyangka ada pesta besar-besaran dengan paluan puluhan genderang. Hiruk-pikuk di jalan ini dapat didengari hampir lima puluh meter jauhnya. Saya berani bertaruh, Jalan Pahang bakal jadi pengalaman terburuk mereka di Kuala Lumpur. Saya juga tidak terkejut kalau ia menjadi igauan ngeri mereka setiap malam. Kerana igauan ngeri itu sendiri telah menghantui saya hingga sekarang.

Kisahnya begini. Hari itu, tepat jam tujuh pagi, saya selaku pengawal keselamatan syif malam terus pulang. Sewaktu berjalan, saya cekut telefon bimbit dan fon telinga dari poket celana. Fon telinga saya sumbat. Irama lagu mulai gamat. Sambil mendengar lagu saya membelek laman sosial.

Saya berjalan santai mengikut rentak lagu melewati kaki lima KPJ Tawakkal, Sekolah Jenis Kebangsaan Chiao Nan, Petron dan McDonald’s. Saat tiba di depan McDonald’s, ada seorang lelaki di ruang parkir sedang menghidupkan motosikalnya—Yamaha LC.

Selepas memulas pendikit beberapa kali, dia beredar dan berhenti seketika di pinggir jalan. Dalam remang sorot lampu jalan, saya sempat melihat sekelebat wajahnya ketika lalu di sebelahnya. Dia merogoh poket celana mencari sesuatu. Setelah melepasinya dua tiga tapak, saya melirik ke belakang. Dari ekor mata, saya melihat dia masih merogoh poket celana. Saya terus berjalan dan hanyut dibuai lagu sembari melihat gambar-gambar di Instagram.

Kenderaan mulai banyak. Pejalan kaki belum ramai. Untuk kesekian kali, saya melirik ke belakang dan lelaki tadi menunggang laju seakan-akan mahu menghimpit. Spontan saya beranggapan dia pasti telah menekan hon agar saya berjalan lebih tepi. Untuk memastikan, saya lucut sebelah fon telinga dan dia semakin menghimpit—saya elak—secepat kilat dia merentap telefon di tangan saya.

Saya bagaikan terpukau dek magis. Tiada jeritan apalagi melawan. Ajaibnya waktu itu, saya masih mampu bertenang. Antara tidak percaya ataupun pasrah, saya tidak tahu. Namun ketenangan itu umpama gerimis yang singgah sebentar. Mendadak saya merasa sebal. Saya sempat melihatnya memecut dan menyelit sebelum menghilang bak pelesit. Insiden itu sepertinya tidak disaksikan sesiapa. Setelah satu tahun saya berjalan kaki di Jalan Pahang, kenapa baru hari itu ia berlaku?

Fikiran saya culang-caling. Saya marah. Betul-betul marah. Bagaikan ada onggokan kayu api dibakar di dalam hati. Ia berpijar-pijar menyulut kemarahan. Saya kembali melangkah. Selama satu tahun berjalan di situ, itu adalah langkah saya yang paling panjang. Saya bergegas ke kafe komputer berhampiran tempat tinggal saya, Pangsapuri Mawar. Pangsapuri itu bukanlah milik saya mahupun keluarga. Ia milik syarikat buat para pekerja dari luar kota.

Tibanya di kafe, saya terus membuka Facebook untuk melepas marah yang sedang meluap-luap.

“Celakalah peragut yang meragut telefon saya sebentar tadi! Semoga keturunanmu menjadi anjing! Ya, anjing!”

Post!

Saya tidak peduli kalau ada komen mengatakan saya harusnya bersyukur kerana saya tidak diapa-apakan. Hanya telefon menjadi korban. Ya, saya syukur dan ya, saya marah! Dua hal itu tidak boleh disamakan. Sudah semestinya saya bersyukur kerana tiada luka-luka. Sudah semestinya juga saya berhak marah kerana telefon saya diragut manusia celaka! Sesungguhnya ada kemarahan yang tidak wajar dipendam.

Seterusnya saya menukar kata laluan baru. Risau disalah guna peragut itu. Usai itu, saya terus pulang. Di rumah, saya masih marah. Saat mandi juga, saya masih marah. Sambil menyapu busa sabun ke seluruh tubuh, saya menyumpah seranah.

Usai mandi, saya bersila di atas tilam. Marah saya belum berkurang. Insiden itu benar-benar menghantui saya. Rentapan kasarnya masih saya rasakan. Saya berbaring. Marah saya berkurangan dan tidak semena-mena saya merasakan kamar itu terlalu sepi. Sampaikan saya boleh mendengar degup jantung sendiri. Dag… dag… dag….

Saya turut sedar kipas di siling berkeriut perlahan seperti bisikan. Saya tidak pasti bila kali terakhir saya merenung siling lama-lama begitu. Ketiadaan telefon membuatkan saya merasa sunyi. Ia tidak menenteramkan sebaliknya menakutkan. Lebih menakutkan daripada kematian. Mungkin mati sendiri itu lebih mudah berbanding hidup terkoteng-koteng dihambat kesunyian. Kesunyian itu juga menyedarkan saya, bahawasanya saya tidak ramai teman. Ada telefon mahupun tiada, tiada siapa yang mencari. Mengenangkan itu, rasa marah meluap semula. Sudahnya, saya tidak dapat melelapkan mata.

Menjelang petang, dengan kepala yang berdenyut, saya gagahkan diri berjalan ke tempat kerja. Tiada lagi dendang lagu di telinga. Kebingitan di Jalan Pahang seolah-olah mencurah minyak memarakkan lagi kemarahan di hati saya. Sementelah, cuaca petang itu panas terik. Jalan Pahang yang sememangnya kekurangan pohon-pohon rendang di pinggir jalan menjadikan petang itu semakin berbahang.

Mungkin kerana itu setiap kali melihat motosikal lalu, saya jadi benci. Bagaikan anti. Apalagi Yamaha LC. Alangkah bagusnya jikalau saya boleh mendapatkan selaras sniper. Saya mahu membidik dan meletupkan satu per satu kepala penunggang Yamaha LC dari tingkat atas Pangsapuri Mawar. Tentunya itu sama sekali tidak terjadi. Justeru itu, saya bertindak lebih realistik.

Sebelum memulakan perjalanan sebentar tadi, saya berjongkok, menyorok di antara kereta di ruang parkir. Setelah yakin tiada pasang mata yang melihat dan tiada kamera pengawasan di kawasan sekitar, saya cekut pisau di dalam beg silang. Lantas saya toreh beberapa tayar Yamaha LC.

Tidak cukup dengan itu, di rumah juga saya nyaris meludah kahak ke dalam air botol dan sisa-sisa makanan di dalam peti ais milik teman serumah. Memikirkan mereka teman sekerja saya, niat itu saya batalkan.

Benih benci di dalam hati berdetus-detus umpama bertih jagung. Saya mendadak benci terhadap kesemua penunggang Yahama LC walaupun mereka teman serumah saya.

Saya juga semakin berjaga-jaga ketika berjalan kaki. Tatkala mendengar deruman motosikal dari belakang, spontan saya siap sedia untuk menyiku. Insiden ragut itu benar-benar merubah saya.

Saat lalu di depan McDonald’s pula, saya merasakan seperti ada manusia sedang terkekeh mentertawakan saya di balik dinding premis dua tingkat itu. Hati kecil saya yakin salah satu pekerja di situ berkomplot dengan lelaki yang meragut saya. Hati saya menggelegak marah. Tidak tahu mahu dilepaskan ke mana sebelum timbulnya idea untuk makan di situ.

Petang itu, buat pertama kalinya saya masuk ke McDonald’s berkenaan lalu memesan satu set Double Cheeseburger. Lewat petang, kebanyakan orang lebih selesa membungkus di lorong pandu lalu. Barisan kereta yang menunggu, memanjang hingga ke Jalan Pahang. Menambahkan lagi kesesakan lalu lintas. Mungkin kerana itu, di dalam premis agak lengang.

Di tingkat atas, hanya ada saya. Saya duduk di ruang tepi menghadap Jalan Pahang agar mudah untuk melihat motosikal milik pekerja di kawasan parkir. Saya meneliti kesemua motosikal yang ada. Meskipun saya tidak sempat melihat nombor pendaftaran motosikal peragut itu tetapi saya cam benar warna dan modelnya.

  Mujur saya tidak berkeinginan mencuri. Andai mencuri jalan yang saya pilih, pasti saya kaya mengalahkan peragut lain.

 Sejenak saya terfikir. Kenapa lelaki sesihat itu meragut? Mangsanya pula orang-orang seperti saya—pejalan kaki yang tidak kaya. Bahkan saya sendiri tidak punya motosikal seperti dia. Kenapa bukan rumah orang-orang kaya? Sudah tentu lebih lumayan. Mujur saya tidak berkeinginan mencuri. Andai mencuri jalan yang saya pilih, pasti saya kaya mengalahkan peragut lain.

Setelah meneliti kesemua motosikal, tidak ada yang mirip seperti yang saya cari. Sebelum beredar, saya cabik-cabik burger yang saya pesan. Selepas itu, saya taburkan di atas meja lalu dipenyek-penyek. Air berkarbonat saya tuang separuh di atas meja. Selebihnya di kerusi dan lantai. Hanya kentang goreng yang saya jamah. Sengaja saya memesan burger itu untuk berbuat demikian. Lagipun saya tidak sukakan keju. Baunya saja sudah meloyakan.

Sebelum keluar, saya menatap wajah pekerja di tingkat bawah. Terasa puas membayangkan salah seorang daripada mereka membersihkan kekotoran itu nanti. Buat seketika, peragut itu saya lupakan. Ada hal lain yang lebih merisaukan saya. Entah bagaimana caranya mengharungi 12 jam di tempat kerja tanpa telefon malam itu. Apalagi berkawal sendiri di stor belakang. Semestinya kesunyian bakal meratah saya lagi. Mujurlah esoknya pinjaman syarikat diberikan. Dapatlah saya membeli telefon baru.

Insiden saya diragut tersebar di kalangan teman sekerja. Semuanya gara-gara status di Facebook saya. Malam itu, pegawai saya mengatakan dia juga pernah ternampak seorang wanita diragut di hadapan pintu pagar tempat kerja saya. Menurutnya, wanita itu sedang bercakap di telefon. Sekonyong-konyong telefon itu disambar dari telinganya. Dia melolong meminta tolong. Malangnya tiada siapa menyedari kejadian sepantas kilat itu. Lolongannya tenggelam dalam keriuhan lalu lintas.

Saya terus bertanya, “Motosikal LC?”

“Bukan. Honda.”

Hati saya tiba-tiba panas. Rupa-rupanya Jalan Pahang lubuk peragut dan mereka menunggang pelbagai motosikal. Jika ragut tidak berlaku terhadap saya, mungkin hingga sekarang saya tidak akan tahu hal itu. Mungkin juga, saya tidak pernah peduli.

“Kakak juga sebenarnya pernah kena,” celah Kak Noraida. Dia teman sekerja dan satu syif dengan saya. Dia pernah diragut ketika membonceng motosikal kawannya.

Beg tangan yang dipeluk bersahaja direnggut mengejut. Tali beg yang terjulur keluar memudahkan lagi kerja para peragut itu. Katanya lagi, yang meragut itu dua orang. Selepas begnya direntap, tunggangan kawannya hilang kawalan. Mereka tersungkur di tengah Jalan Pahang. Sejenak dia berhenti bercerita sebelum mengucap syukur berulang kali. Sambungnya lagi, ketika mereka terjatuh di tengah jalan, mujur kereta di belakang tidak laju. Jika tidak, mereka pasti digilis. Saya menggeleng kasihan.

“Kenapa baru sekarang kakak cerita?”

“Kakak takut. Setiap kali ingat, tangan kakak menggeletar. Kerana itu kakak tidak suka cerita.”

Para peragut itu memang celaka. Kakak Noraida juga mengatakan dia telah membuat laporan polis. Saya baru teringat, saya belum membuat laporan polis. Sejujurnya saya memang tidak berniat untuk membuat laporan.

Di Jalan Pahang ini, saya sering melihat polis. Tetapi saya tidak pernah berharap pada mereka selepas melihat segelintir daripada mereka lebih gemar menahan warga asing daripada mencari pelaku jenayah. Menahan warga asing untuk menunjukkan yang mereka tidak makan gaji buta. Padahal selepas disuguhkan wang, warga asing itu dilepaskan. Gejala itu berlaku di mana-mana. Kerana itu saya semakin kurang percaya pihak berkuasa.

Hal ragut di Jalan Pahang pastinya telah lama wujud. Cuma saya yang baru tahu selepas menjadi mangsa mereka. Mendengar cerita Kak Noraida dan pegawai maka saya memutuskan untuk memburu para peragut itu dengan cara sendiri. Alangkah baiknya jika saya orang kaya, akan saya tempatkan kamera pengawasan di sepanjang Jalan Pahang. Tetapi jika saya kaya, berkemungkinan besar saya tidak peduli kehilangan telefon murah seperti itu dan saya tidak mungkin berjalan kaki.

Keesokannya, saya membeli telefon baru. Seperti biasa, sebelum berjalan kaki ke tempat kerja, saya berjongkok di antara kereta di ruang parkir. Selepas memastikan tiada mata-mata, beberapa tayar motosikal saya toreh. Kali ini saya tidak peduli tentang model. Asal namanya motosikal, saya toreh. Ketika lalu di depan McDonald’s, kekehan itu mengusik lagi. Bahkan saya seperti mendengar teriakan di sebalik tembok premis itu—`Bodoh! Kau takkan dapat tangkap aku!’

Ia terngiang-ngiang dalam kepala. Ikutkan hati, ingin saya toreh kesemua tayar motosikal di situ. Namun tempat parkir di situ terlalu terbuka. Maka saya sumbatkan fon telinga mendengar lagu-lagu di telefon baru. Cepat-cepat saya masukkan telefon ke dalam poket celana. Mendengar lagu sedikit sebanyak meredakan kemarahan.

Lewat petang itu, saya bersila di jejantas. Memerhatikan gerak-geri penunggang motosikal yang lalu. Dari senja hingga ke malam saya mengamati setiap susuk tubuh. Susuk tubuh peragut itu masih jelas di benak ingatan. Tetapi sayang, raut wajahnya tidak saya lihat. Malam itu, saya ponteng kerja semata-mata hendak mengawasi jikalau ada hal-hal mencurigakan.

Di atas jejantas, saya tidak bersendirian. Di kiri dan kanan, ada gelandangan tidur bertilamkan kotak. Semalaman saya memerhati. Namun tiada hal-hal yang mencurigakan. Patutkah saya mengupah seseorang dijadikan umpan? Andai saja wang saya berkepuk-kepuk. Sebelum subuh, saya pulang ke rumah.

Esoknya, sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja, saya terpaku sejenak melihat kenyataan yang ditampal di papan notis di tingkat bawah. Pihak pengurusan Pangsapuri Mawar menyarankan penduduk berhati-hati dan memberikan kerjasama jika ternampak pelaku yang menoreh tayar motosikal baru-baru ini.

Selain itu, kamera pengawasan juga bakal diperbanyakkan sekaligus membatalkan niat saya menoreh tayar motosikal hari itu dan hari-hari seterusnya. Dalam perjalanan ke tempat kerja, saya tekad, biar saya sendiri menjadi umpan. Itu satu-satunya cara menarik perhatian peragut di Jalan Pahang.

Tibanya di depan McDonald’s, saya keluarkan telefon dan berpura-pura membuat panggilan. Kerana berjalan songsong arus maka telefon itu saya pegang di tangan kiri. Saya jalan perlahan-lahan. Telefon masih lekat di telinga. Saya gerakkan bibir seolah-olah sedang berbual di talian. Jalan Pahang semakin sesak. Berduyun-duyun kereta bergerak lambat. Motosikal lincah menyelit. Saya mendongak melihat langit dan pura-pura leka. Dari jauh kedengaran bunyi motosikal meletup-letup seperti meriam batang paip. Melalui bunyi itu, saya tahu ia laju. Semakin lama bunyi itu semakin mendekat. Seolah-olah ia menuju ke arah saya.

Satu saat…

Dua saat…

Tiga saat…

Saya melihat ke depan. Motosikal itu laju dan ia betul-betul menuju ke arah saya. Saya kerahkan sepenuhnya tenaga lengan kanan lalu melepaskan satu tumbukan ke helmet penunggang itu saat dia tiba di sebelah saya. Walaupun tumbukan sedikit meleset, sudah cukup membuat kepalanya terteleng. Tangannya terlepas daripada stereng. Dia tersungkur. Motosikal terseret menghasilkan percikan api kecil. Susuk tubuhnya persis lelaki yang meragut saya. Beberapa kereta terhenti. Hon sabung-menyabung. Saya terus memecut walaupun tiada siapa mula mengejar.

Saya menyelinap bagaikan lipas kudung di celahan beberapa pejalan kaki. Melepasi stesen minyak Petron dan sekolah rendah sebelum membelok di selekoh dan masuk ke lorong belakang bangunan kedai. Saya teruskan berlari, lari dan lari hingga tiba di stesen LRT Titiwangsa.

Di situ, saya berhenti tercungap-cungap. Peluh membasahi muka. Larian tadi merupakan larian pertama saya di Jalan Pahang. Saya tahu lelaki tadi bukanlah orang yang meragut saya. Walaupun susuk tubuhnya sama tetapi motosikalnya berlainan. Atau mungkin dia menggunakan motosikal lain?

Tidak tahu apa yang merangsang saya hingga sanggup melepaskan tumbukan. Melihat motosikal itu merapat mengingatkan saya kepada peragut itu yang turut merapati saya sebelum meragut. Mungkin kerana itu tangan saya jadi ringan. Setelah saya bertenang, saya melihat telefon. Ada mesej dari ayah saya.

`Ayah ada terbaca coretan kamu di Facebook. Usahlah tulis begitu. Kita mesti matang berfikir dan bertindak. Syukurilah apa pun nikmat dan sabar dengan apa jua ujian. Menyumpah-nyumpah dalam apa keadaan pun tidak patut dilakukan. Sumpahan itu akan naik ke langit. Jika ia tidak setimpal dengan kesalahan orang itu maka sumpahan itu akan turun ke bumi menemui orang yang menyumpah. Itulah perlunya kita kawal rasa marah. Rilekslah. Bukan masalah besar pun tiada telefon untuk sementara waktu.’

Pipi bagaikan ditampar. Telinga terasa bengal. Kulit muka seperti terbakar selepas membaca mesej itu. Amat jarang ayah saya menghantar mesej panjang sebegitu. Saya lekas membalas.

`Waktu itu saya tengah marah. Nanti saya padam.’

Saya meneliti buku lima. Terdapat calar-balar kecil di jari. Mungkin tergeser sesuatu pada helmet ketika menumbuk tadi. Rasanya seperti menumbuk batu. Namun baru sekarang ia berdenyut sakit. Kali terakhir saya menumbuk orang sewaktu di sekolah rendah. Bergaduh dengan teman sedarjah. Mengenangkan itu, saya tersenyum sendiri. Tanpa sedar senja telah pun terbenam.

Saya berjalan semula perlahan-lahan sebelum singgah sebentar di kedai runcit membeli sesuatu. Saya teruskan berjalan. Melalui lorong-lorong belakang. Hingga tembus semula ke Jalan Pahang.

Saya menuju ke McDonald’s. Sekotak paku tekan yang saya beli di kedai runcit, saya taburkan berhati-hati di ruang parkir motosikal. Cahaya kuning lampu jalan dan kerakusan manusia di dalam premis, sedikit pun tidak menyedari perbuatan saya.

Selepas itu, saya jenguk semula tempat lelaki itu terjatuh. Terdapat bekas darah di atas jalan. Kesan seret motosikal juga masih kelihatan. Siapa tahu, kalau lelaki itu adalah orang yang meragut saya? Kalau ya, saya harap dia mati akibat pendarahan. Kalau bukan, saya harap dia tidak apa-apa. Selagi belum benar-benar pasti, saya tidak akan berhenti mencari.

Tiba-tiba telefon bergetar. Terpapar nama ayah. Saya biarkan. Sesungguhnya dalam diri setiap orang ada iblis dan jangan sekali-kali dibangunkan. Kerana tiada siapa tahu, kejahatan jenis apa yang iblis itu sanggup lakukan.

Malam itu, saya bersila di atas jejantas. Seperti malam semalam, saya juga tidak bersendirian. Ada gelandangan berbaring. Ada juga yang duduk di tangga seakan meratap nasib. Di selekoh sebelah sekolah rendah, sekawanan anjing keluar menggonggong galak. Jalan Pahang masih sesak. Malam itu, saya ponteng kerja lagi.

Jalan Pahang, Kuala Lumpur

25 Jun 2016

2 thoughts on “Jalan Pahang
oleh Abul M. Salleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *