Faktab.
Wawancara dengan Aqram Terfaktab

31 Disember 2017 adalah hari terakhir Terfaktab Media beroperasi. Kami di Roman mengucapkan apa yang selalu diucapkan di hari-hari menyedihkan sebegini. 


Mungkin saudara boleh jelaskan serba sedikit tentang Terfaktab kepada mereka yang tak mengenali penerbitan saudara.

Well, secara harfiah-nya. Terfaktab adalah TERas FAKulti TABloid

Cuma, kepada mereka yang tak mengenali organisasi Terfaktab ini, aku harap lepas mereka ‘fucked-up’ dalam kehidupan, mereka akan google Terfaktab dan menemui kami.

Aku lebih gemar refer Terfaktab sebagai organisasi yang buat kerja-kerja penulisan kreatif, bukan syarikat buku semata atau penerbit. 

Sebab secara sejarahnya, Terfaktab telah melakukan pelbagai kerja-kerja melibatkan teks, sastera, artikel dan novel– melalui pelbagai medium daripada blog hinggalah ke buku fizikal.

Apakah Terfaktab hari ini masih terfaktab? Maksud saya, Terfaktab bermula sebagai kitab cinta, dan berkisar tentang cinta dan percintaan, subjek yang dekat dan mudah didekati semua orang (tapi dengan prajudisnya sendiri), tapi Terfaktab hari ini, antaranya menerbitakan buku-buku ilmiah dan akademik. 

Terfaktab masih seperti yang dikenali dulu. Kerja-kerja hasilkan buku-buku ilmiah dan akademik ini dibuat sebabnya satu je; Buku ilmiah dan akademik yang berada di pasaran sebelum-sebelum ini sungguh boring. 

Jadi Terfaktab hasilkan buku ilmiah yang lebih fun. Ah, masyarakat sekarang pergi kelas business or kuliah kalau boleh nak penceramah yang boleh buat gembira dan ketawa, jadi apahal buku ilmiah dan akademik kena ikut jadi boring?

Bagaimana dengan audiens Terfaktab? Kelompok yang masih setia dari buku pertama, apakah mereka menerima perubahan pada Terfaktab?

Boleh dikatakan kelompok yang setia daripada buku pertama sudah berlalu pergi, seiring dengan perubahan umur. Yang hardcore, mungkin sebahagian sahaja. Kini lebih ramai audiens daripada generasi baru. Generasi milenials diberi nama.

Tentang perubahan, menurut kefahaman selidik yang telah dijalankan, lebih ramai yang menerima berbanding yang tidak ambil kisah. 

Industri buku, khususnya pasca baucer buku, berada dalam keadaan yang ribut. Apakah ini dialami Terfaktab sendiri? Apa pendekatan Terfaktab untuk mengatasi fenomena ini?

Bukan ribut je sebenarnya saudara. Tsunami. Terfaktab turut menerima badai yang entah bila-lah nak surut. Terutama sekali daripada segi jualan terhadap golongan remaja-dewasa (pelajar universiti) yang tiba-tiba turun mendadak sejak kebelakangan ini. 

Cara Terfaktab nak atasi tsunami ialah; Jangan buat gila berlari meredah tsunami, selamatkan diri dulu ikut flow of market, memperlahankan rentak dan tunggu sehingga badai kembali reda. Fokus pada medium penulisan yang lain seperti media sosial untuk kumpulkan pengikut. Bila badai dah perlahan, barulah kembali menentang arus!

Berkait dengan soalan sebelum, semakin banyak syarikat penerbitan (dan jadi-jadian) mula menjual buku secara lelong atau dengan harga yang terlalu murah. Apa kesannya pada industri buku?  

Kesannya bagi pandangan peribadi aku adalah berbentuk sementara. Terutama ketika negara dalam keadaan inflation rate yang tinggi. 

Barangan keperluan semakin mahal dek pelbagai sebab seperti impak GST dan peniaga terutama orang tengah yang menaikkan harga barangan, tak lupa ambil kesempatan menyimpan barang untuk menaikkan harga. Buku adalah barangan kehendak, dikategorikan juga sebagai produk kosmetik. Kalau orang ramai pentingkan beli barangan keperluan masa sekarang, takkanlah nak jual barangan kehendak maintain mahal macam dulu? Terpaksalah jual buku murah, tambat harga buku pada barangan kehendak lain. 

Aku khabarkan sebagai sementara semua ini, sebab masalah inflation dan harga barangan mahal ini akan diselesaikan juga oleh pihak berwajib. Cuma ia akan ambil masa, aku faham bukan mudah untuk menguatkuasa sistem berbanding menciptanya! Oh, baucar buku kembali semula kan? Oklah tu.

Aha lagi satu, aku bengang juga sebenarnya kalau penerbit yang buat buku paperback tapi letak harga macam buku hardcover. Kakak dia la.

Dan kalau sudah nama paperback, bila lebih 2-3 tahun tak terjual. Harga akan jatuh murah serta-merta sebab kualiti kertas dan sampul hadapan. Tak seperti hardcover yang memang dicipta untuk tahan lama!

Antara masalah utama penerbitan buku adalah penerbit yang tidak membaca, atau menganggap buku adalah satu komoditi. Apakah saudara setuju ini satu masalah? Jika ya, apa caranya untuk memastikan suara penerbit buku tulen lebih didengar? Jika tidak (setuju), mengapa?

Memang masalah pun!

Cuma aku faham bahawa bila kita cakap pasal bahan bacaan, ia melibatkan beribu kategori. 

Ada penerbit yang bikin buku A B C untuk kanak-kanak, ada penerbit buku yang bikin novel romance untuk makcik-makcik kesepian.

Yang penerbit tak membaca ini, mereka mempunyai pemikiran mudah iaitu tak kira terbit apa jenis buku, asalkan jualannya laku. Itulah yang membawa anggapan kepada buku adalah komoditi. Mereka ini mungkin tidak tahu ada sesetengah buku diterbitkan bukan untuk laku bercetak-cetak. Tetapi diterbitkan khas untuk golongan bersasar yang kecil. Niche. Mana la laku sangat.

Nak memastikan suara penerbit buku tulen lebih didengar ini secara lazimnya bergantung kepada bagaimana penerbit buku tulen membina pengaruh dikhalayak pembaca dan kategori-kategori buku sedia ada. Membina pengaruh ini kerja tambahan yang membosankan namun perlu dibuat agar penerbit tulen lebih didengari.

Bagaimana Terfaktab memilih penulis? Apa prosesnya untuk seseorang itu diterbitkan oleh Terfaktab?

Terfaktab mempunyai pelbagai kaedah dan asbab dalam memilih penulis. Tetapi prinsip utama yang dipegang ialah memastikan karya penulis yang hendak dipilih itu cukup bagus untuk ditampilkan kepada pembaca. Aku visikan sebagai ‘3B’ – Bikin Buku Bagus.

Tak guna kalau followers berjuta tapi penulisannya teruk. Nasib baik ada editor-editor yang bijak, karya yang teruk berjaya diperbaiki untuk jadi bagus dibaca. Kata orang; Sesetengah orang ada idea yang bagus dalam kepala tapi tak pandai mengarang dengan baik. Editor lah orang yang berperanan penting dalam menjadikan karya itu bagus.

Tidak dinafikan, kami juga amat cerewet kadang-kala dalam memilih penulis terutama kategori puisi. Kalau boleh penulis yang nak rilis buku puisi, wajarlah pandai menyampaikan puisinya.

Tentang proses, mudah. Buka hebahan pencarian manuskrip, aku dan team editorial nilai-baca, yang bagus dihubungi dan akan diterbitkan. Bagi projek istimewa, aku sendiri akan bertemu dengan penulis untuk nyatakan minat menerbitkan penulisannya.

Sampul hadapan buku-buku Terfaktab kebanyakan direka dengan baik. Apakah wawasan saudara tentang penghasilan sampul? Apakah ia mempunyai pengaruh dalam jualan buku?

Dengan berlagaknya aku nak cakap; Terfaktab ada ‘high-taste’ dalam reka bentuk sampul hadapan buku atau secara umumnya, design. Itulah wawasan yang aku aplikasi ke Terfaktab. Sebab sampul hadapan adalah umpama pakaian bagi buku. Pakaian yang baik, mudah menyerlah pada kaca mata orang ramai. Jika nak sesuatu yang baik, citarasa wajar tinggi, maka ia akan drives our works to another level.

Sememangnya, sampul hadapan yang baik banyak membantu menaikkan jualan buku Terfaktab.

Saya terbaca keluhan saudara tentang nasib Terfaktab di Facebook. Sejauh manakah ini kebenaran, atau sekadar keluhan spontan?

Kalau aku cerita disini, eksklusif sangat la pula. 

Aku boleh katakan, sebuah pengumuman penting akan diberitahu dalam masa terdekat ini tentang nasib Terfaktab pada masa depan.

Dua tahun lagi. Di manakah saudara lihat Terfaktab akan berada? 

To be honest, ketika aku start Terfaktab ini, aku sasar 5-7 tahun untuk Terfaktab berada dalam industri. Tahun ini adalah tahun ketujuh Terfaktab wujud di arena penulisan. Bila kau tanya lagi dua tahun Terfaktab berada di mana. Susah aku nak jawab. Itu yang menyebabkan 2-3 hari aku berfikir nak jawab soalan yang terakhir ini.

Beginilah. Aku ucapkan selamat tinggal, dan jutaan terima kasih atas sokongan selama ini terhadap Terfaktab.

One thought on “Faktab.
Wawancara dengan Aqram Terfaktab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *