Temuduga
oleh Regina Ibrahim

Mak bagipun chek pi, mak tak bagipun chek nak pi jugak.” Menjadi Pramugari adalah cita cita, tidak mungkin aku akan tersadai di Sungai Patani selamanya. Resepi dua jenis kuah laksa, Laksa Kedah dan Siam biarlah jadi kemahiran kenangan di usia 19 tahun. Aku perlu capai cita cita, tidaklah aku menghina mata pencarian kami sekeluarga setelah ayah meninggal. Manusia harus berusaha ke titik yang lebih baik bukan? Lagipun mak nanti akan dibantu adikku Rozaina bila dia tamat tingkatan lima nanti. Berilah aku peluang untuk melihat dunia. 

Namaku Rashidah, Rashidah binti Ismail.

Tiket bas ekspres siap dibeli, mak membekalkan duit tambahan 50 ringgit, jadi semuanya 150 termasuk wang simpanan yang ada di dalam tas tangan hitam yang aku pinjam dari kak long. Pada kak long aku beritahu awal awal yang tudung akan dibuka nanti. Pramugari, mana boleh bertudung kan?

6 jam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, awal awal lagi kakak kaunter Tunas Baru Ekspres memberitahu bahawa bas tidak akan berhenti tunggu tunggu orang di Butterworth pada aku yang hampir separuh usia tidak pernah kemana mana. Bas selesa, maklumlah bas baru. Terlelap aku keletihan, maklumlah kelmarin demi menghargai restu emak aku siapkan awal awal kuah Laksa.

Laksa Kedah untuk tiga hari, Laksa Siam biarlah kak long buat, benda santan santan ni kalau buat awal nanti basi. Maafkan aku emak kerana jadi begitu nekad dan berani sekali. Bas akan sampai waktu subuh di Hentian Putra, rencananya tunggu sebentar, kemudian terus pergi temuduga, tamat semua, malam atau petang aku akan beli tiket pulang.

Hidup kena berani. 

Turun di R&R yang aku tidak pasti di mana, janganlah buat buat ciwi aku berpesan pada diri. Terbangun tidur bagai orang bengong, melepaskan hajat di tandas cantik berkilat, aku keluar mencari kelibat bas Tunas Baru. Terkesima sebentar sambil menelan air liur; bas tak nampak bayang. Jantung berdegup.

Pelik, akukah yang salah lokasi?

Ya Allah, takut berdebar jadinya. Aku berdiri lagi tercanggak canggak bagai orang bodoh yang tercari cari. Lama juga jantung berdup dap dup dap! Kerisauan, sambil sambil menyalahkan diri. Rasanya aku tidak lama mana di tandas tadi.

Membuat sungguh la… susunan hari untuk aku.” 

Tiada pilihan, kuhampiri wakaf kayu untuk duduk, tenang dahulu ambil nafas, memberanikan diri bertanya pada lelaki yang sedang merokok, nampak atau tidak bas Tunas Baru? Aku ceritakan dengan suara kerisauan padanya.

Menggelengkan kepala sambil memperkenalkan diri, Nizam orang Alor Star, juga menghala ke Kuala Lumpur yang peliknya dia juga tertinggal bas. Bermulalah sesi temuramah tidak rasmi, sambil sambil Nizam merungut tentang R&R yang tidak boleh merokok lagi. 

“Tak masuk akai depa ni… ada beg tinggai dak?”

Aku diam seketika, aku risau pasal bas, beg tot sepersalinan baju, seikat kad perniagaan laksa lengkap yang aku dan Kak Long cetak konon kononnya kami CEO Laksa Sejati dan novel baru di dalamnya pasti lesap begitu sahaja, nasib baik tas tangan ada bersama.

Nizam masih marah marah pasal tidak boleh merokok. Tak ada kaitan langsung…

“Masa pun ada lagi, mai ikut Zam. Kita naiklah mana mana bas kosong, semua bas ni pi KL,”

Apa pilihan yang aku ada?

“Sampai KL nanti kita cari bas Tunas Baru na. Tulong saya na Zam?” Berani sungguh, padahal aku jenis paling pemalu dengan lelaki. Nizam nampak baik mahu membantu aku yang buntu.

Entah bas ekspres kosong mana yang kami curi curi naik, tidak sempatpun melihat nama bas, memilih untuk duduk di belakang sambil aku berhati hati takut kalau kalau Nizam fikir aku bohsia atau apa. Orang perempuan, kenalah berjaga jaga. Nasib baiklah dia jenis yang bukan merapu. Berhemah tinggi orangnya. Amboi! Cepat sungguh aku memuji. Orang Kedahlah katakan, tak gitu?

Katanya tidak ada jadual apa apa di KL, berjanji akan menemani aku ke Bangunan UAB di Jalan Bangsar. Dia mahir dengan kota KL, kakaknya tinggal di Cheras. Ah! Leganya aku memang dilahirkan bernasib baik…

Bas Tunas Baru tidak ditemui sewaktu di hentian akhir. Sudahlah, takat sepasang baju kurung dan novel hilang atas bas berbanding diri yang selamat, aku legakan hati menghadapi insiden tersebut. Yang penting Nizam ada, siap berjanji untuk membantu aku sampai ke tempat temuduga. Itu lebih penting, daripada aku tercangak cangak.

Aku syak Nizam anak orang ada ada; naik teksi dan melintas kaunter LRT semua jadi mudah. Aku ikut sahaja. Entah entah dia anak dato? Hidup memang begitu, kalau semua orang kenal semua orang tahu, kita akan dihormati, dua tiga kali dia mendepa tangan suruh aku masuk atau lintas dahulu.

Mata aku liar mengagumi kota Kuala Lumpur sambil sambil merakam di minda sistem hidup di sana. Mereka kelihatan kalut, masing masing macam robot berwajah kelat, ini agaknya yang dikatakan peak hours, tidak sama seperti pasar pagi di Sungai Patani yang saling kenal dan bertegur sapa. 

Lokasi temuduga UAB Bangsar ditemui mudah. Beratus ratus manusia, masing masing mahu jadi pramugari. Aku mula merasa tidak sedap hati, rasa yakin bagai disentap sentap. Sepanjang tempat duduk di lobi menanti, aku lihat mereka cantik cantik duduk bersilang kaki. Rambut pendek warnanya kemerahan, kuku berkilat, bibir merah menawan, berskirt pensil seolah olah mereka sudah pernah terbang di awan biru.

Mengenangkan aku datang dari jauh, berbaju kurung kain kapas, wajah hanya berbedak dan alit bibir kugagahi juga berjalan menuju ke meja panitia Penerbangan Asiaone. Sah, aku tidak dilayan.

Lama aku berdiri di situ, wanita gempal pendek yang bersolek tebal itu buat tidak tahu sahaja, menyombong, bagai aku ini tidak wujud. Mulanya aku fikir dia sibuk, tapi bila bila dia tersenyum pada gadis baru sampai yang lampai seperti model, terus membawanya ke bahagian ukuran tinggi, aku faham faham sendiri. Begitu rupanya sifat orang Kuala Lumpur. Sedihnya Tuhan sahaja yang tahu. Rasa hina sangat.

Meluru keluar cepat cepat aku cari Nizam. Dia sedang merokok di luar. Aku ceritakan segalanya.

“Allahai… Idah, takat berebut nak gheja bancuh kopi, cuci mangkuk tandas, lap muntah orang atas langit tu, jangan dok frust sangatlah!”

Aku diam. Kecewa, Nizam tidak faham!

“Senyum sikit, kita dah sampai KL ni, alang alang tak pernah mai, jom kita pi jalan jalan, Zam bawa Idah tengok tengok, pramugari tu esok esok depa nanti offer lagi, Idah bukannya tua mana, jom. Jom toksah dok buat muka dua kupang,” 

Mampuihlah kalau depa di SP tau aku, takpi interview.” 

Pergilah kami ke sana sini menikmati kota Kuala Lumpur yang megah hebat. Sekejap ke taman, sekejap ke Pasar Seni dan terlopong jugalah melihat kompleks membeli belah yang besar besar.

Bagaimana rasanya? Tentulah kagum, tambah tambah melihat kawasan KLCC yang megah, orang orang bergaya di Pavillion. Aku gembira dan pelan pelan menerima hakikat bagaimana kampungan sekali suasana aku selama ini, bukanlah menghina diri sendiri cuma terpana jadinya seketika. Rasa teruja ini bagaikan sesuatu yang magik. Tidak makan, tidak lapar rupanya apabila hati merasa gembira dan bahagia.

Nizam yang baik sekali sekala tersenyum melihat gelagat aku. Aku yang bagai orang leka mencerap aura kota sambil membanding bandingkan kehidupan di minda.

10 malam.

Punyalah ralit, terlupa telefon keluarga. Ibuku sudah tidur selalunya waktu waktu begini, Kak Long lagilah awal lelap kerana dia tunggak pada perniagaan laksa kami di Taman Sejati. Aku sudah mula resah, tidak sedap hati, merindui Sungai Patani. Pelik bukan sifat manusia, kuat bernostalgia, itu baru seharian kalau bertahun harus pergi? Terbang sebagai Pramugari bagaimana?

“Zam, Idah nak baliklah… tolong hantar na… hantar kat Hentian Putra pun takpa.”

Lelaki ini hebat orangnya. Menurut dengan senang hati, malah ditawarkan pula mahu ikut menemani hingga ke Sungai Patani, dari sana dia akan pulang ke Alor Star. Ya Rabbi… kalaulah aku jenis tergesa gesa mencari pasangan, pasti Nizam yang aku pilih.

Entah entah dia ada menaruh hati pada aku? Manalah tahu kan? Sayangnya aku perempuan yang bercita cita, tidak dapat dibayangkan mahu berumah tangga muda seperti di zaman emak emak kita. Dalam bas aku tertidur begitu sahaja akibat keletihan meronda kota Kuala Lumpur.

Nizam hantar aku hingga ke depan rumah, dari Sungai Patani dia akan pulang ke Alor Star. Tidak perlu risau, banyak bas menghala ke sana.

“Zam tak mau singgah dulu ka?”

“Tak payah kot, bila bila kita jumpa lagi, Idah masuklah tengok famili, depa rindu tu…,”

Anehnya pagi ini, meskipun sudah hampir pukul 9 pagi jiran jiran kelihatan berlegar legar, macam ada kenduri arwah di kawasan. Hari bekerja kenduri apa? Empat lima orang berada di bahagian hadapan rumah kami.

Aku yang baru sampai tidak bertudung naik segan dan melangkah cepat masuk, ada jiran jiran perempuan pula di dalamnya. Aku mula syak bahawa emak sedang sakit. Kedengaran sayup sayup tangisan emak di bilik utama, aku meluru ke dapur dahulu, kak Long sedang mengacau kuah laksa siam, membisu tidak menegur aku, matanya merah bagaikan baru menangis.

Pelik! Aku meluru pula masuk ke bilik utama mahu bertanya pada emak apa cerita sebenar? Sapaan tidak berjawab, dia juga bagaikan tidak melihat aku, dua tiga jiran ada di situ, Mak Mah kawan rapat emak mengurut urut belakangnya. Emak berwajah sugul, matanya merah bengkak… aku tanya lagi kenapa? Masih tidak berjawab

“Depa sampai dah. Depa sampai dah…” tiba tiba terdengar jeritan kuat suara jiran lelaki.

Melihat semua kaum perempuan keluar, akupun ikut sekali, emak dipapah oleh Mak Mah paling depan berjalan menuju ke arah van. Aku kekal berada di sisinya, sambil terdengar suara suara jiran mengomel…

“Kesiannya, naik bas malam lagu tulah, depa la ni bawa baih cemerkap,”

“Dia nak pi interview, nak pi jugak jugak, Kak Zah nak halang pun tak bulih,” terang Puan Zainab peminat laksa siam keluarga kami.

“Interview gheja apa Nab jauh sampai lagu tu?” jiran yang satu lagi bertanya

“Pramugari kot… cita cita dia Kak Zah kata.”

“Astagfirullah, Inalillahiwainahirijiun benda nak jadi no… kesian muda lagi,” sambung jiran yang ghairah tadi

Kak Long kekal berdiri diam di belakang aku. Wajahnya tetap sugul. Aku sesungguhnya bingung saat ini. Sehinggalah aku ikut emak ke bahagian belakang van jenazah. Bila ditarik aku lihat emak teresak esak mencium aku yang siap dibaluti kain kafan dari hospital di Perak.

“Gaung di Changkat Jering dekat dekat nak sampai Kuala Kangsar, kerap sangat aih jadi…,” rungut jiran lelaki yang tidak dikenali pada pemandu van.

“Kita bawa teruih pi masjidlah na. Semayang di sana, teruih bawa pi kuboq, mandi kafan semua lengkap dah ni…,” Haji Mat ketua kawasan Taman Sejati meminta persetujuan dari emak walaupun dia kelihatan seolah olah meminta persetujuan ramai yang ada.

Aku tercari cari di mana agaknya Nizam, dia masih ada di hujung simpang, merokok. Cepat cepat aku melangkah sambil melambai pada dia, aku perlukan teman untuk bercerita, dia juga melangkah tersenyum mahu menemui aku.

“Alhamdulilah depa jumpa Idah, lega. Saya ni sampai bila pun tak taulah, bas saya terlepaih nak dekat setahun lebih dah,” Nizam seolah olah tahu apa yang mahu aku ceritakan.

Kami berdua lenyap begitu sahaja dalam sinar matahari pagi terik berbalam di langit Sungai Patani.

Regina Ibrahim

Regina adalah penulis Perjalanan, Cerpen, Delima oleh Fixi. Mak Nyah oleh Terfaktab dan beberapa buah buku lain.

One thought on “Temuduga
oleh Regina Ibrahim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *