Hal kelambu Melayu dikoyak-koyak internet
oleh Johan Radzi

Seksualiti melayu barangkali adalah sifat yang paling ditekan-tekan di negara ini. Seksualiti ini yang kita maksudkan dengan cerita-cerita dalam kelambu yang tak elok dikisahkan kepada umum, tentang kejantanan atau keperawanan, bentuk tubuh, serta nafsu yang dikekang dasar-dasar akhlak Timur Tengah. Hal ini juga berlanjutan kepada tata pemakaian, tutur perbualan, malahan juga kepada hasil karya-karya seni samada muzik, filem, teater, sastera, serta lain-lain.

Hati saya terasa tergeletek apabila mengenangkan nama-nama tempat seperti Batang Berjuntai atau Pantai Cinta Berahi yang terpaksa disopankan atas sebab nama-nama yang sebegitu bisa mengundangkan eros warga tempatan. Barangkali juga Malaysia antara negara yang masih menubuhkan sesebuah jabatan semata-mata untuk menangkap khalwat.

Bukanlah mahu mengatakan bangsa lain tidak menekan seksualiti kaumnya sendiri, tetapi darjah kongkongan melayu ini begitu ketara dalam bangsa ini.

Bukanlah mahu mengatakan bangsa lain tidak menekan seksualiti kaumnya sendiri, tetapi darjah kongkongan melayu ini begitu ketara dalam bangsa ini. Seksualiti adalah satu perkara taboo yang harus kita elak untuk dibicarakan – terutama di dalam ruang awam. Tapi adakah benar orang melayu memang tandus seksualiti?

Saya ada satu kisah yang barangkali agak lucu untuk diceritakan. Begini, beberapa bulan lalu saya ada bikin satu akaun Tumblr. Melaluinya saya mengikuti beberapa akaun tumblr lain yang sarat memuatkan perkara-perkara berkaitan sastera, antropogi, sukan tinju, serta lain-lain. Saya melihat tumblr sebagai wahana bagus untuk menelaah isi-isi ini selain daripada beberapa portal lain di laman web. Nak dijadikan cerita, pada suatu ketika saya baca tentang amalan Bushido kaum Jepun.

Maka saya teringatkan tentera mereka yang dimansuhkan pasca Perang Dunia Kedua serta kejahatan-kejahatan yang mereka lakukan kepada warga Asia Tenggara. Oleh kerana semangat nusantara yang menebal ketika itu, saya menaip kata M-E-L-A-Y-U dengan hatisuci di carian tumblr dan mengetik cari. Saya hanya manu membaca pula mengenai kebudayaan-kebudayaan pribumi. Betapa naifnya saya ketika itu.

Kerana apa yang dihidangkan di depan mata saya bukanlah sejarah anak bangsa atau busana tradisional Minangkabau atau perkara seumpama, tetapi adegan-adegan lucah serta foto-foto ghairah yang bias membuatkan setiap tahfiz negara tutup kerana malu dengan bangsa yang lahir dari rahim islam ini. Saya sendiri hampir-hampir tidak percaya dengan mata kepala sendiri. Saya menatal ke bawah, jika-jika post berkaitan apa yang saya hajati timbul di lautan eros melayu itu. Saya menatal ke bawah… ke bawah… ke bawah… dan buat-buat faham sajalah apa yang terjadi kemudian sebab – sambil menyelam minum air, kan bang?

  Saya menatal ke bawah… ke bawah… ke bawah… dan buat-buat faham sajalah apa yang terjadi kemudian

Daripada sini saya dapati bukan sekadar foto atau video saja yang dipaparkan, malahan juga id wechat atau nombor telefon beberapa gadis untuk anda dapatkan ‘penamat kebahagiaan’ dengan hanya bayar beberapa keping ringgit dan semangat kejantanan yang berkobar-kobar. Atau dalam bahasa Kuala Lumpur kami hanya sebut ‘pergi kongkeklah cikaro itu sial.’

Tapi mengapa ruang ini begitu sarat dengan seksualiti? Saya teringatkan sebuah rencana karangan Tuju Malbaru berjudul ‘Seks Melayu: Represi Seksual Masyarakat Melayu’. Seingat saya ia ditulis awal-awal dekad ini. Di dalamnya penulis membincangkan trend carian seks melayu atau melayu bogel atau awek melayu melancap yang begitu popular di enjin carian internet.

Pautan di yahoo sahaja mencapai kurang lebih dua juta. Maka dari sini kita boleh memahami bahawa seksualiti melayu yang meledak membanjiri ruang peribadi seperti tumblr ini bukanlah trend yang baharu. Internet adalah wahana pelepasan segala nafsu ghairah melayu yang terpendam akibat kongkongan awam – baik dari Daulah, masyarakat, agama, sekolah, dan lain-lain.

Di ruang internet di mana tiada siapa pun mengetahui jika anda seekor anjing, memuat naik turun media-media seperti ini bukanlah satu masalah untuk dirisaukan kerana tiada siapa yang akan mengetuk pintu rumah anda semata-mata kerana menjamu porno. Wahana seperti tumblr menjadi pasar selera orang-orang melayu yang terkongkong nalurinya. Ia meriah dan riuh, dengan setiap hari kemaskini bahan-bahan baru untuk dijadikan modal menikmati voyeur melalui skrin laptop mereka.

Saya tak mahu bincangkan tentang soal penghukuman seksualiti kerana biarlah budak-budak yang bergulung-gulung ijazah pengajian islam dari Timur Tengah itu yang selesaikan. Atau dalam erti lain aku tak minat pun. Cuma saya kira bagus untuk kita berbalik kepada persoalan utama: adakah melayu selamanya tidak seksi?

Saya beranggapan ya untuk satu tempoh yang panjang, sehinggalah saya menemui sebuah pantun yang dikompilasikan dalam Kumpulan Pantun Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Salah sebuah pantunnya berbunyi gini:

Tanam padi di Bukit Jeram
Tanam Keduduk atas batu
Macam mana hati tak geram
Menengok tetek menolak baju

Atau, baca pula ini:

Ke Teluk sudah, ke Siam sudah
Ke Mekah saja aku yang belum
Berpeluk sudah, bercium sudah
Bernikah saja aku yang belum

Sekarang, mata anda terjegil, bukan? Ya, bagaimana kaum yang luhur budi pekerti ini boleh menghasilkan pantun yang sebegitu lucah? Adakah nenek moyang kita tak beradab? Sampai hati mereka berirama tentang payu dara dan bercium peluk. Bernikah pula belum? JAIS Kesultanan Melayu Melaka tak buat kerjakah? Betapa kurang ajar. Betapa tak berakhlak. Sabar, kawan. Ada sebuah lagi untuk saya suakan.

Kerengga di dalam tubuh
Serahi berisi air mawar
Datang hasrat di dalam tubuh
Tuan seorang jadi penawar

Jika pantun pertama dan kedua melampirkan seksualiti melayu secara tersurat, ketiga ini pula lebih kepada tersirat. Malahan sensualiti melayu juga dikemukakan dengan begitu puitis sekali. Keindahan seperti ini hanyalah boleh disampaikan oleh tangan-tangan penyair melayu, seperti kata Salleh Ben Joned. Serahi, yang boleh difahami sebagai bekas takungan, adalah perlambangan terhebat bangsa melayu tentang keghairahan yang dinyatakan secara halus dan berkelas tinggi. Mawar bererti wangi dan ‘tuan’ yang dinyatakan ini barangkali pasangan si penyair yang boleh melunaskan rindu. Ia nakal, tetapi penuh gaya. Anda pasti akan berbangga dengan kebijaksanaan nenek moyang.

Jadi, bagaimana melayu yang dahulunya begitu meraikan seksualiti, dikongkong sehebat ini? Malahan jika ada sebuah karya dengan kata ‘onani’, ‘tetek’, atau yang mencadangkan jimak tanpa nikah sudah tentu akan meletuskan kemarahan masyarakat madani kita. Seruan-seruan untuk mengharamkannya akan menyusul kemudian.

Saya tidak tahu. Beberapa sahabat menyalahkan kebangkitan islam sekitar 70an via ABIM rentetan Revolusi Iran di Tehran (kelakar juga bila budak-budak ini kutip semangat Ayatollah Khomeini bila sosok ini sebenarnya Syiah, tapi biarlah ini cerita lain). Pada ketika itu gadis melayu diajar berlitup tudung dan sebagainya. Iklan-iklan yang memaparkan gadis berskirt singkat dipadamkan. Pengawalan moral secara raksasa dilancarkan di seantero tanahair. Begitu kuatnya islamisasi ini sehinggakan hal-hal seperti naluri seksualiti juga ditekan habis-habisan. Malahan kegiatan ini dilanjutkan sehingga ke hari ini. Tiada bulan yang berlalu tanpa aktiviti-aktiviti ‘tangkap basah’ yang dilakukan atas slogan Amar Makruf Nahi Mungkar.

Tetapi seperti kata Faisal Tehrani dalam sebuah acara Sister In Islam yang saya hadiri tempoh hari, sesebuah revolusi islam yang mengongkong akan sentiasa dijawab oleh sesebuah revolusi seksual kaumnya. Ini juga barangkali terjadi di Malaysia – meskipun dalam skala kecil. Dalam karya-karya sastera, dalam media sosial, hatta dalam tumblr sekalipun.

Maka dari sinilah wahana seperti tumblr menjadi suaka bagi keinginan seksualiti mereka. Saya menulis ini bukanlah untuk membela mereka tetapi sekurangnya kita fahami seperkara yang jelas – seksualiti bukanlah sesuatu untuk kita malukan habis-habisan. Ia sebahagian daripada naluri manusia, sebahagian daripada binaan yang wujud dalam diri kita.

Tiada salahnya jika kita meraikan sisi ini – meskipun saya bukanlah mencadangkan anda agar mengarang novel aktiviti berjimak anda dengan lelaki bersut latex atau mendaftar untuk industri filem dewasa esok hari. Terutamanya dalam kesusasteraan, sifat-sifat semulajadi insan tak perlu dihambat habis-habisan atas nama agama atau segala-gala yang sendu.

Nenek moyang kita dulu pun nakal dan tak kalut mana pun. Segala yang semulajadi dibiarkan mengalir semulajadi, sesuai dengan fitrah kita. Saya tiada apa-apa pesan moral yang hendak disampaikan. Cuma barangkali agak menarik untuk kita merenung semula ke cermin dan berfikir sejenak, apalah yang nak kita takutkan sangat dengan tubuh jasmani kita sendiri, kan?


Johan Radzi

Penulis Tinju & Peluru terbitan Roman Buku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *