Simpang-Siur Fasal Malaysiana Tektonik
oleh Anas Mohd

Ini bukanlah perkara yang saya mahu dengar dari mulut seorang kawan, lagi-lagi yang datang dari tempat kelahiran Bulgakov atau Kharms atau Gogol, dan ia jadi bacul kerana kenyataannya dikeluarkan sewaktu menghantar dia ke Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur. Kami menunggu ketibaan bas di platform sepatutnya, saya belikan dia 100 Plus kerana dia sukakan rasanya, entah kenapa minuman semacam ini dia kata tak akan jumpa di Eropah Timur atau Amerika Latin. Mungkin teorinya tiada siapa di luar sana yang percayakan minuman isotonik jika mereka sudah mempunyai coklat tenaga, yang manis berlemak malah diyakini ramai.

Dia teguk air isotonik itu dua-tiga kali sebelum saya mengharapkan terima kasih yang tersembul dari mulutnya, tapi jangkaan saya meleset, apa yang dia kata walaupun telah saya sedari sekian lama, tetap juga menjadi ejekan buat saya. “Beca anda tidak Malaysiana.”

Beca atau Lanca, sama ada ia Malaysiana atau tidak, langsung tiada argumen tentang itu. Beca bukanlah simbolik kepada Malaysiana itu sendiri, ia sejenis pengangkutan awam klasik yang selain Penang, Melaka juga masih terpanggil untuk mengekalkannya namun saya tak pasti pula kalau ini antara kriteria utama untuk menjadi bandar warisan dunia Unesco atau sebenarnya satu lagi konspirasi perikatan negeri-negeri selat. Kalau bercerita tentang Kereta Lembu mungkin ya, mungkin itulah Malaysiana sebenar.

Katanya, dia jadi tak senang kerana hiasan beragam macam Hello Kitty atau Pokemon dan muzik dentam-dentum yang berpunca dari beca. Ada ketika dia terdengar lagu Oppa Gangnam terpekik-pekik dan ada masa dia kata, dia hampir berjoget mendengarkan Pikotaro. Kalau di Russia dan jika dia terdengar penari Kozachok menari dengan berlatarkan irama Macarena, darah mereka adalah halal baginya – ini fatwanya sendiri.

Saya rasa lucu mendengarkan kata-katanya, tapi terkadang saya juga kurang selesa dengan irama yang memantul-mantul keluar dari kotak bunyi yang terletak di belakang beca. Minggu lepas ketika berpeleseran di Banda Hilir, lagu Shark-doo-doo sedang bergema dengan cemerlangnya. 

Minggu lepas ketika berpeleseran di Banda Hilir, lagu Shark-doo-doo sedang bergema dengan cemerlangnya.

Seolah-olah beca sekarangnya seakan medium keraian kepada setiap muzik viral di dunia. Mungkin anak saudara Gorbachev yang bau-bau bacang ini mahu diperdengarkan rentak Chakunchak atau lagu Dondang Sayang atau Jingkli Nona, atau kalau dia mahukan artis lokal – mainkan saja lagu-lagu jenaka legenda Ali Mamak.

Saya sebenarnya tiada masalah sangat tentang hal ini, saya punya kenalan yang bekerja sambilan sebagai pengayuh beca menyambung legasi keluarga, malah anak murid ayah saya juga memilih untuk mengayuh beca selepas tamat sekolah. Demi kelangsungan hidup dan segala macam beat tektonik yang berdentum dari beca mereka hanyalah tarikan untuk anak-anak kecil dan pelancong sekitar. Mereka turut berhabis beribu ringgit untuk menghias beca dan kata kuncinya di sini adalah: cari makan. Lagipun majoriti pelancong yang datang pun bukannya pelancong seni, mereka adalah pelancong yang makan angin dan sekadar mahu berswafoto juga meletakkan tandapagar di sisi kapsyen.

Saufie J, seorang Melaka tulin (dikhabarkan ada kaitan dengan susur-galur Hang Lekiu) pernah memberitahu saya tentang pelancong dari Jerman (bukan Expatriat – nama lain untuk imigran, dalam kes ini konon-kononnya untuk yang lebih profesional – yang kebanyakkan mereka menetap di kejiranan berbudaya tinggi Jonker Walk) merungut-rungut tentang Bangunan Merah atau nama arkaiknya Stadthuys yang kini bertransisi menjadi pseudo-Disneyland. Kenyataan Deutschlander berkenaan setelah diperhalusi oleh Saufie mungkin merujuk kepada budaya serta sejarah yang telah disaluti warna terang-benderang bertemakan pesta riang ria dengan monumen yang dibina khas untuk swafoto, makanan artifisial dalam pasu dan lampu lip-lap-lip-lap di setiap susur pejalan kaki. Ini sebetulnya bukan cerita pasal industri pelancongan, tapi sedikit sebanyak ia memberikan pencerahan tentang Malaysiana yang saya tak fahami pada awalnya.

Namun ada geram yang masih tersisa kerana dengan lambakan kebudayaan dan tinggalan sejarah di Melaka ini, yang menarik perhatian minah Russia itu tetaplah beca dan muzik tekno. Tak lama selepas bas yang dinaikinya beredar dan menghala ke KL (saya syak tujuan utamanya ke ibukota hanyalah untuk mengemis secara busking sebelum sambung kembara), barulah saya sedar yang saya terlupa untuk menuntut semula duit tambang beca yang saya pinjamkan kepadanya kelmarin.

Seraya memerhatikan bas itu menjauh, saya mula memikirkan perihal Malaysiana dan kenapa ada orang ambil pusing akan benda-benda semacam ini. Persoalan ini menghantar saya kepada pasca tayangan Retrospektif Binfilem bersama seorang penulis versatil Malaysia. Waktu itu kami bercadang pergi mengeteh dan kerana tiada pilihan, maka kami melepak di kedai tomyam yang mana kalau membuat pesanan, saya akan menghindar dari memesan dua jenis makanan ini: nasi goreng kerana generik rasa hampir di setiap kedai mereka di seluruh Malaysia, dan tomyam yang selalunya penuh dengan sampah sarap (baca: hampas sayur). Malahan sekarang, setiap lima kilometer dalam perjalanan, peluang untuk kamu terserempak dengan kedai tomyam adalah 90% keberkesanannya. Kalau begitu, adakah kedai tomyam juga boleh diperakui sebagai sebahagian daripada elemen Malaysiana?

Saya masih buntu dalam memilih menu, jadi kami berbual mulai cerita Kaoss Pad meloncat kepada Lesung Batu lalu menyelit tentang Projek Rabak dan terjerumus kepada lain-lain isu nonsensical sehinggalah seorang kawan dengan nama jolokan Rambo Jasin bertanyakan soalan kepada Ridhwan Saidi tentang Malaysiana (saya rasa soalan ini telah diajukan di sesi Q&A selepas tayangan, saya tahulah sebab saya moderator, cuma lebih spesifik). Kalau tadi soalannya pasal Malaysiana dalam hasil kerja Binfilem, kali ini pula berkisarkan apakah filem tempatan yang paling Malaysiana pernah beliau tonton.

Kata Ridhwan: Malaysiana ini boleh jadi tentang tabiat atau emosi (saya ingat-ingat lupa tentang jawapan ini, saya harap Ridhwan berlapang dada). Contoh bagi Ridhwan adalah Sri Mersing, dalam filem itu kita ada ciri emosi Melayu paling dahsyat iaitu merajuk, bukan merajuk geli-geli, tapi ini merajuk membawa diri yang akan makan hari makan minggu makan bulan seterusnya makan tahun. Ridhwan juga ada cerita yang mana seorang pengarah filem telah bakar segala rel filemnya (atau sebenarnya campak ke dalam sungai?). Pengarah tersebut merajuk kerana tayangan filemnya yang tidak mendapat sambutan atau entah kerana apa (sekali lagi saya minta maaf kerana saya tak berapa ingat sangat konten perbualan kami di malam itu).

Dalam perbualan yang berselang-selikan teh tarik, Rambo Jasin atau nama sebenarnya Abdul Hafidz telah memberikan kami contoh yang paling comel yakni tentang keberkesanan Upin Ipin menjadi ejen Malaysiana yang paling menonjol di Indonesia; barangkali kerana ciri-ciri unik kekampungan yang membuatkan mereka merasa dekat atau mungkin juga tak pernah dapat.

Bercerita perihal emosi atau tabiat, ini samalah macam kes Melatah di mana geng kolonial dalam pendudukan mereka pada sekitar kurun ke-18 menjadi teramat hairan dengan tabiat latah yang langsung tidak pernah mereka temukan di celahan kota London dan merekodkan insiden istimewa itu ke dalam jurnal mereka. Situasi aneh yang menjadi pengalaman seumur hidup Mat Salleh itu turut dicatatkan olehnya – telah dilihat buat pertama kali berlokasi di Melaka.

Saya bayangkan antara catitan tersebut berbunyi seperti berikut: “Inilah benda paling Malaysiana/nusantara yang pernah aku jumpa dan lihat. Aku fikir kita harus berhati-hati dengan orang-orang pelik ini. Don’t mess with them!” Saya percaya, kejutan adalah pengalaman yang sebenar-benarnya mahu dilalui oleh setiap pengunjung baik penjajah mahupun pelancong. Berbalik kepada melatah, Barat juga punya terma khas untuk melatah yang dikenali sebagai Jumping Frenchmen, namun saya percaya dengan nama yang seganas itu, ia tidak akan pernah menjadi sebrutal Latah. Cuma kerana terma yang sedemikian, maka saya terbayangkan kalau-kalau Maupassant atau Lautréamont juga ada masalah sebegini – secara literal? Apa pun, melatah tampak lebih autentik, lasak, dan humor berbanding Jumping Frenchmen.

Ketika kelaparan melancarkan berontak dan menjerut perut, saya akhirnya memutuskan untuk memesan satu set nasi putih, telur goreng dan kicap manis – dan ini sahaja sudah cukup Malaysiana bagi saya – lagi-lagi di sebuah kedai tomyam di pekan kecil bernama Jasin yang terletak di pinggiran negeri Melaka, Malaysia.


Anas Mohd

Anas Mohd ialah penulis Tentang Aku & Perempuan Sigaret terbitan Roman Buku.

3 thoughts on “Simpang-Siur Fasal Malaysiana Tektonik
oleh Anas Mohd

  1. Steffeu says:

    Sugu tinggi dan marek empang-inspired gears dalam foto featured buat aku klik artikel ini.

    Buat aku teringat juga pada liburan fusion moden dan tradisional Dayak di sekitar Kuching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *