Menjilat Sufian Abas
oleh Syafiq Ghazali

Oh, tajuk di atas cuma umpan-klik (belum digazetkan DBP). Sebab sekarang jilat sudah trendy, seperti fidget spinner, cuma sampai kiamat ia tak berhenti berputar. Soal jilat menjilat ini, saya serahkan kepada akar umbi parti politik kita. Lidah saya terlalu pendek untuk itu.

Kembali pada tajuk, hal Sufian Abas itu. Tentang isinya, yang belum pun saya fikir. Hidup perlu impromtu dan impulsif, kan? (Tidak perlu buat thread jika anda tak setuju).

Okey, hal Sufian Abas. Sesuatu yang berkaitan menjilat beliau. Ia tentang buku beliau sebenarnya: Kasut Biru Rubina, yang berkaver perempuan tak tutup aurat, kaver yang akan menipiskan lagi peluang beliau untuk masuk syurga (Lagi pun aku yakin sebagai manusia khatulistiwa dia akan lebih menyukai hawa panas neraka).

Dah, kembali pada Sufian Abas. Buku beliau. Kasut Biru Rubina (Terbitan Dubook Press). Kumpulan cerita pendek yang akan dicarut oleh peminat puisi sebenar apabila membaca cerita beliau bertajuk Di KL, cerita yang ditulis sepanjang dua satu perempat baris. Jika ada orang tangkap-skrin (belum juga digazetkan DBP, rasanyalah) mukasurat itu, awal-awal lagi kita sudah dapat jangka komen-komen seperti “Membazir kertas,” “Buku sampah,” dan “Macam ni nenek aku pun boleh tulis” akan bersipongang di abyss Twitter.

Baik, Kasut Biru Rubina. Buku nipis yang akan menggemukkan imaginasi anda, jika tidak pemikiran anda, dengan cerita-cerita yang aneh dan manis. Mungkin saya jenis yang malas membaca, tapi setakat ini saya belum jumpa buku seumpamanya di pasaran kita. Kalau ada pun, mungkin sekadar bayang-bayangnya, dan perbezaannya akan dapat anda fahami secara absolut sekiranya anda melihat urat di kepala Tomok sewaktu dia menyanyikan lagu Anggapanmu bersama Ziana Zain di pentas AF Megastar Homecoming tempoh hari.

Soal tajuk ceritanya pula: sebagai seorang yang selalu memilih tajuk-tajuk yang berbau 70-an (diakui oleh seorang penulis antarabangsa, baru-baru ini), tajuk-tajuk cerita Sufian Abas sudah tentu melahirkan rasa iri tajam di nubari ini. Atma terasa sempit membayangkan tajuk-tajuk yang effortless tapi menarik itu, seolah-olah ia ditarik keluar dari poket seorang hipster dengan penuh bergaya. Perhatikan tajuk-tajuk ini: Gadis dengan Pandangan Mata berahi Berapi; Dia Buat Hatiku Mahu Pop; Matanya Teleskop, Hatinya Kapal Dalam Botol Kaca. Kedengaran fun tapi juga bijak.

Lihat pula macam mana Sufian membuka cerita Nafasnya Seperti Angin ini: Dia melagukan hujan, tap tap tap, memerhati daun kering membuai. Di atas ribanya seekor kucing, yang dia usap, tanpa sedar. Kerusi plastik. Oh, belakangnya sakit. Sudah lama sakit?

Dia melagukan hujan, tap tap tap, memerhati daun kering membuai. Di atas ribanya seekor kucing, yang dia usap, tanpa sedar. Kerusi plastik. Oh, belakangnya sakit. Sudah lama sakit?

Dapat tak awak rasa tenaga yang deras itu? Dapat tak awak rasa adrenalin awak mengangguk-angguk kepalanya selaju orang alim bertasbih? (jika jawapannya tidak, rujuk para ke-2). Sufian tidak membuang masa. Dia terus masuk ke dalam cerita. Kerana yang paling penting dalam sesebuah cerita adalah cerita itu sendiri. Selain dari itu wajar kita kafankan (tiada masalah jika anda tak setuju, tapi tidak perlulah buat thread). Dari sini kita sudah dapat tebak yang Sufian ini seorang penulis yang punya taste. Dan taste beliau bukan sembarangan, terbukti melalui wajah gadis-gadis cantik yang beliau selalu like di Twitter. Anda mungkin rasa ayat pembukaan cerita di atas biasa-biasa saja, tapi ketahuilah ia adalah hasil gaulan bermacam perisa buku yang beliau banyak baca selama ini. Ada perisa humor, perisa meta-fiksyen, perisa realisme magis, perisa parodi.

Cukuplah setakat ini. Lebih dari ini tidak terjangkau oleh lidah pendek saya. Tapi masih sempat untuk saya selitkan kata-kata pujangga ini buat anda semua di luar sana: saya tak tahu wajah sastera kita sekarang macam mana. Masih kabur dalam pandangan saya. Tapi saya harap ia seiras Sufian Abas.


Syafiq Ghazali

Syafiq Ghazali (atau lebih mesra dipanggil SG di twitter) adalah penulis Debu Bidadari (Roman Buku), Bahagia Di Dalam Balang Kaca (ITBM - penerbit buku Vida I am Me)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *