Kembar Novel Saya
oleh Hadi M Noor

Beberapa bulan lalu, saya jumpa novel The Hike di satu listicle ala Buzzfeed (atau dicadangkan oleh Amazon? Lupa). Premisnya lebih kurang sama dengan novel saya Pengembaraan Laki-Laki Scorpio: Seorang lelaki terperangkap dalam satu alam fantastikal di mana dia berjumpa dengan watak-watak aneh termasuk binatang yang boleh berkata-kata dipersembahkan dalam vignette bersiri.

Laki-laki Scorpio

Dua hari lepas, saya akhirnya ada duit untuk membeli buku The Hike dan membacanya dan holy crap banyak persamaannya.

Watak utamanya, Ben, tersesat ke dalam alam lain ketika dia pergi mendaki bukit di sebuah pekan terpencil. Watak utama Pengembaraan Laki-Laki Scorpio – Hurei – juga tersesat lebih kurang begitu. Mereka ke alam lain tanpa sedar.

Bukan saja premis yang sama tapi ada juga satu babak. Watak utamanya, Ben, berjumpa dengan seekor ketam yang boleh bercakap di tepi pantai lalu menendang pasir kepadanya. Hurei pula berjumpa dengan seekor kucing yang boleh bercakap di tepi pantai lalu mencampak pasir kepadanya.

Novel The Hike diterbitkan pada tahun 2016 manakala Pengembaraan Laki-Laki Scorpio pula 2017. Adakah saya memplagiat novel ini?

Tak. Saya menulis novel saya pada tahun 2014 dan menghantarnya ke penerbit/penulis antarabangsa Sufian Abas pada bulan November 2015. The Hike pula diterbitkan pada tahun 2016. Jadi, Drew Magary yang memplagiat saya.

Adakah emel Sufian Abas digodam dan Drew Magary mencedok novel saya? Atau Sufian Abas menjual idea saya kepada Penguin Books? Betulkah penulis antarabangsa rata-ratanya tak boleh dipercayai?

Saya fikir nak bawa Penguin Books, Drew Magary, dan Sufian Abas ke mahkamah. Saya pasti Sufian Abas telah menjual idea saya kepada Penguin Books dan mereka mengkomisikan Drew Magary untuk menghasilkan The Hike. Tapi, nak bayar peguam mahal, dan saya risau jika saya ke mahkamah mereka akan mengungkit saman-saman trafik saya yang tertunggak.

Jadi saya terpaksa menerima semua ini sebagai satu kebetulan. Lagipun, ia pernah berlaku. Jauh lebih aneh.

The Hike

Pada 12 Mac 1951, dua versi komik Dennis the Menace diterbitkan – satu di Amerika Syarikat, satu di UK. Dua-dua komik ini tentang kehidupan harian seorang budak lelaki nakal bernama Dennis yang tinggal di subbandar.

Tapi dua Dennis ini berbeza. Dennis Amerika lebih kemas dan baik. Dia berambut perang muda, kemas, mukanya comel, dan posturnya baik – tegak, seperti seorang yang berkeyakinan tinggi. Dia sukakan anak kucing dan anak anjing kerana walaupun dia nakal, hatinya suci.

Tapi saya lebih kenal “kembarnya” iaitu Dennis UK yang lebih punk rock. Rambutnya hitam dan serabai. Senyumannya nakal. Dia agak bongkok, seperti hampir semua watak jahat dalam kartun kanak-kanak. Kalau dia seorang manusia yang hidup zaman sekarang, pasti dia menyokong Brexit. Teman sampingannya ialah seekor anjing bernama Gnasher (‘gnash’ bermaksud ‘gerit’ macam ‘menggeritkan gigi’) yang juga nakal dan hodoh seperti tuannya. Bagi seekor anjing kartun, Gnasher tidak berperikemanusiaan; berbeza dengan Snowy, anjing Tintin yang mempunyai hati nurani dan reti membezakan jahat dan baik tetapi kadang-kadang membuat keputusan yang salah sebab dia adalah seekor anjing. Namun, ini boleh dimaafkan sebab dia telah menyelamatkan nyawa Tintin beberapa kali.

Jadi, siapa tiru siapa? Adakah Dennis UK sebuah parodi Dennis Amerika atau sebaliknya? Adakah mereka mencedok daripada sebuah inspirasi yang sama?

Tidak. Pencipta Dennis the Menace Amerika, Hank Ketchum, tak tahu pun watak lebih kurang sama juga sedang dihasilkan di UK. Ian Chischolm dan Davey Law di UK juga tak tahu wujudnya Dennis the Menace Amerika. Mereka mengeluarkan komik mereka pada hari yang sama. Ini semua adalah kebetulan semata-mata. Atau mungkin seorang muse substandard yang tak begitu inventif muncul dalam mimpi artis-artis tersebut dan memberi idea ini pada malam yang sama.

Kembali kepada The Hike dan Pengembaraan Laki-Laki Scorpio: Tak mungkin saya memplagiat The Hike sebab saya menulis dan menghantar manuskrip saya lebih awal daripada dia. Tak mungkin Drew Magary mencilok idea saya sebab takkanlah dia menggodam emel saya dan reti membaca manuskrip Bahasa Melayu. Tak mungkin Sufian Abas menjual idea ini kepada Penguin Books sebab takkanlah Penguin Books nak melayan Sufian Abas.

Sesebuah hasil seni juga boleh ada kembarnya secara kebetulan. Mungkin kerana inspirasi kita terhad. Atau mungkin di zaman ini, kita bergantung pada muse substandard yang tak begitu inventif.


 

Hadi M Nor

Penulis Pengembaraan Laki Laki Scorpio (Roman Buku), Sepucuk Pistol Di Dalam Laci (SFP) dan Family Values (Fixi) Beliau suka menyanyi dan menari.

One thought on “Kembar Novel Saya
oleh Hadi M Noor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *